Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui Malaysia Board of Technologists (MBOT) telah menubuhkan Majlis Pembangunan Profesional Teknologi dan Teknikal (TPDC) sebagai usaha strategik bagi memenuhi permintaan industri yang berkembang pesat.
Menterinya, Yang Berhormat (YB) Tuan Cang Lih Kang berkata pelancaran TPDC mencerminkan komitmen Malaysia dalam memacu bidang sains, teknologi, dan inovasi yang selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) 2021-2030 yang bertujuan menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara berteknologi tinggi.
YB Tuan Cang Lih Kang turut mendedahkan bahawa lebih 30 peratus pekerjaan di Malaysia akan dipengaruhi oleh kecerdasan buatan (AI) dalam tempoh 10 tahun akan datang.
Pada masa yang sama beliau berkata, negara dijangka memerlukan lebih 500 000 pekerja mahir tambahan menjelang tahun 2030, sementara lebih 600 000 pekerja perlu menjalani kemahiran semula dalam tempoh tiga tahun hingga lima tahun untuk kekal relevan dalam pasaran kerja yang semakin kompetitif.
“Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada kerjasama strategik antara MBOT dengan Pembangunan Sumber Manusia Berhad (HRD Corp) yang memainkan peranan penting bagi memastikan tenaga kerja dalam bidang teknologi dan teknikal memperoleh peningkatan kemahiran yang berkualiti dan diiktiraf,” katanya.
Selain itu katanya, TPDC juga bertujuan untuk memastikan jaminan kualiti dan piawaian pensijilan kursus jangka pendek dalam bidang teknologi dan teknikal bagi menghasilkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi.
Buat masa ini, YB Tuan Cang Lih Kang berkata tiada badan khusus yang memastikan jaminan kualiti kursus jangka pendek yang ditawarkan.
MBOT melalui mandat daripada Akta Teknologis dan Juruteknik 2015 (Akta 768) telah mengambil inisiatif untuk menubuhkan TPDC bagi menilai aspek seperti kualiti pengajar, kandungan dan pendekatan kursus serta aspek penilaian.
MBOT juga hanya memberikan pengiktirafan kepada kursus yang mengandungi sekurang-sekurangnya 70 peratus elemen teknologi dan teknikal.