Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur — Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini telah menjalin kerjasama strategik dengan Kerajaan Negeri Melaka menerusi perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka (KDM).
Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Fahmi Fadzil berkata kerjasama antara SKMM dengan Kerajaan Negeri Melaka dalam pelaksanaan inisiatif ini bukan sahaja menjadi pencapaian penting bagi Negeri Melaka, malah sebagai langkah strategik dalam merealisasikan visi negara untuk memastikan setiap kediaman di negara ini mempunyai alamat yang lengkap dan seragam.
“Melalui perjanjian ini, kita dapat memperkukuh hubungan strategik dan kerjasama erat dalam membangunkan teknologi serta infrastruktur digital yang mampan. Usaha ini pasti akan memberikan manfaat besar, bukan sahaja kepada masyarakat setempat tetapi juga kepada kemajuan negeri Melaka secara keseluruhan,” ujar beliau dalam Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara SKMM dan Kerajaan Negeri Melaka yang berlangsung di Hotel Grand Hyatt, petang semalam.
Inisiatif Kampung Digital Melaka merupakan langkah strategik untuk memastikan setiap premis di Negeri Melaka dilengkapi dengan alamat yang lengkap dan sistematik.
Perjanjian ini akan menjadi pemangkin kepada pembangunan teknologi dan infrastruktur digital yang lebih mampan di Negeri Melaka serta memberikan manfaat besar kepada komuniti setempat.
Inisiatif Kampung Digital ini adalah yang pertama di Malaysia dengan penggunaan kod QR bertujuan memodenkan sistem alamat rumah di 623 kampung tradisional di Negeri Melaka serta meningkatkan kualiti akses data perkhidmatan rakyat.
Projek ini telah menerima pengiktirafan Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) dan cap dagangan logo, lalu menjadikannya model kampung digital di seluruh negara.
Di bawah inisiatif ini, MCMC akan bekerjasama dalam aspek sokongan teknikal di samping perkongsian maklumat dan data untuk pelaksanaan Sistem Alamat Nasional (NAS) yang akan menjadi sistem tunggal yang berautoriti, seragam dan berpusat untuk menguruskan lebih daripada 12 juta alamat di seluruh negara melalui kerjasama antara pelbagai pihak.
Kerjasama antara SKMM dengan Kerajaan Negeri Melaka melalui inisiatif ini adalah amat penting dan diharapkan dapat terus diperkukuh.
Projek ini bukan sahaja memberi impak positif kepada Negeri Melaka, malah dijangkakan menjadi model kepada negeri lain di Malaysia dalam membangunkan ekosistem digital yang lebih inklusif dan berdaya saing.
Majlis Pertukaran Dokumen Perjanjian Inisiatif Kampung Digital Melaka antara Pengerusi SKMM, YBhg. Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din dengan Setiausaha Kerajaan Negeri Melaka, YB Dato’ Azhar Haji Arshad telah disaksikan oleh Ketua Menteri Melaka, Yang Amat Berhormat Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Menteri Komunikasi, YB Fahmi Fadzil.
Hadir sama ialah Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital Negeri Melaka, YB Datuk Fairul Nizam Roslan; Pengarah Urusan SKMM, YBhg. Dato’ Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus dan Timbalan Pengarah Urusan SKMM, YBhg. Datuk Zulkarnain Mohd Yasin.