Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Program Little Explorers: Adventure and Outdoor Activities for Kids telah dianjurkan dengan jayanya di Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis yang melibatkan pelajar Diploma Pengurusan Sukan dan Rekreasi semester lima, Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi sebagai penganjur utama.
Sebanyak 33 peserta berusia antara sembilan tahun hingga 12 tahun dari Perlis dan Kedah telah menyertai program ini yang bertujuan memberikan pendedahan awal kepada kanak-kanak mengenai kepentingan aktiviti rekreasi luar dan menggalakkan mereka melibatkan diri dalam aktiviti yang bermanfaat.

Program ini telah dirasmikan oleh Koordinator Program Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, Dr. Ahmad Dzulkarnain Haji Ismail yang memuji usaha ini sebagai platform berkesan untuk mendidik kanak-kanak mencintai aktiviti rekreasi luar dan menghargai alam sekitar.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada pihak penganjur atas dedikasi mereka dan menyampaikan penghargaan kepada penaja serta ibu bapa yang telah memberikan sokongan penuh terhadap program ini.
Menurut pengarah program, Muhammad Syafiz, pendedahan terhadap aktiviti fizikal harus dimulakan sejak kecil bagi mencegah kemerosotan prestasi fizikal serta membentuk generasi yang aktif, sihat dan bertanggungjawab.
Beliau turut menyatakan bahawa pepatah Melayu, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya,” amat sesuai dalam konteks mendidik anak-anak mengenai kepentingan aktiviti fizikal dan nilai kehidupan sejak usia muda.
Antara aktiviti menarik yang disediakan dalam program ini termasuklah berkayak, aktiviti tali rendah dan sukaneka yang dirancang untuk mencabar keberanian serta membina kepercayaan diri peserta.

Puan Amalia Faiqah dan Encik Nuril Haziq telah menyampaikan taklimat mengenai peralatan, keselamatan dan formasi asas berkayak, di samping memberikan peluang kepada peserta untuk mempraktikkan asas pengendalian kayak secara langsung.
Aktiviti tali rendah pula menyediakan lima cabaran utama seperti criss cross, monkey swing, high postman walk, flying fox dan hanging walk yang memerlukan peserta menunjukkan fokus, kesabaran dan keberanian tinggi untuk mengatasinya.
Sesi taklimat keselamatan dan penggunaan peralatan bagi aktiviti tali rendah dikendalikan oleh Puan Alani Fatini, manakala peserta turut mempelajari ikatan asas seperti reef knot dan figure of eight sebagai persediaan menyelesaikan cabaran.
Keunikan program ini terserlah apabila Unit Ladang UiTM menyediakan perkhidmatan traktor untuk membawa peserta ke lokasi berkayak sambil mereka menikmati keindahan dusun yang menenangkan sepanjang perjalanan.
Mohamad Hanifah, peserta dalam program ini menyifatkan aktiviti berkayak sebagai pengalaman yang menyeronokkan dalam hidupnya, walaupun aktiviti tali rendah lebih mencabar kerana memerlukan fokus dan keberanian tinggi.

Sementara itu, Nur Sabrina pula berpendapat bahawa program ini memberikan pengalaman berharga untuk meningkatkan keyakinan diri, bertemu dengan rakan baharu dan memperoleh ilmu yang bermanfaat.