Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Penyakit hMPV ialah jangkitan saluran pernafasan disebabkan oleh human metapneumovirus yang berasal daripada famili Pneumoviridae dan memerlukan penjagaan rapi seperti kerap mencuci tangan, menutup mulut ketika batuk dan memakai pelitup muka, menurut Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Dalam kenyataan rasminya semalam, KKM menyatakan bahawa jangkitan hMPV bukanlah penyakit baharu serta tidak wajib dilaporkan atau dinotifikasikan mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342].
KKM menjelaskan bahawa jangkitan saluran pernafasan akan terus wujud dalam komuniti, justeru semua pihak perlu sentiasa berwaspada menghadapinya.
Orang ramai dinasihatkan supaya proaktif menjaga kesihatan diri serta mencegah penularan jangkitan kepada orang lain, khususnya di kawasan yang tertutup dan sesak.
KKM juga akan sentiasa memantau perkembangan jangkitan saluran pernafasan di dalam dan luar negara serta meningkatkan kesiapsiagaan untuk mengambil tindakan sewajarnya.
Sepanjang tahun 2024, KKM berjaya mengesan 327 sampel positif human metapneumovirus yang jumlahnya dilaporkan meningkat berbanding dengan 225 sampel pada tahun 2023.
Pada ketika ini, penularan virus hMPV di China berada pada tahap membimbangkan sehingga menjejaskan beberapa negara Asia lain.
Pihak berkuasa kesihatan China melaporkan bahawa hospital di negara itu penuh sesak dan sistem penjagaan kesihatan tertekan akibat penularan pantas virus tersebut, terutamanya di kawasan utara China.
Berikutan itu KKM menjangkakan peningkatan jangkitan saluran pernafasan akut pada hujung dan awal tahun, sejajar dengan peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara lain, khususnya yang bermusim sejuk seperti China.
Pemantauan sentiasa dilakukan bagi pencegahan dan kawalan jangkitan oleh KKM, sama ada di dalam dan luar negara, termasuklah kuman yang menyebabkan COVID-19, influenza dan jangkitan saluran pernafasan lain.
Mereka yang mengalami gejala berpanjangan atau semakin teruk disarankan mendapatkan rawatan segera di kemudahan kesihatan kerajaan ataupun swasta terdekat.
Orang ramai juga dinasihatkan memakai pelitup muka, terutamanya mereka yang berisiko tinggi atau berada di kawasan sesak.
Sementara itu, bagi jangkitan COVID-19, tiada kematian dilaporkan sejak 25 April 2024 dengan varian SARS-CoV-2 di negara ini masih Omicron dan subvariannya.
Tiada kes baharu varian Omicron dilaporkan dari 24 November 2024 hingga akhir tahun.