4 Januari 2025, 09:11

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Motosikal memainkan peranan penting sebagai mod pengangkutan utama bagi jutaan rakyat Malaysia, sama ada di kawasan bandar dan luar bandar. Lebih daripada 15 juta motosikal berdaftar di negara ini. Data ini menjadikan motosikal sebagai majoriti pengguna jalan raya dan elemen penting dalam sistem pengangkutan.

Selain menawarkan fleksibiliti dalam pergerakan, motosikal juga merupakan pilihan yang lebih murah berbanding dengan kenderaan lain. Namun begitu, penggunaan motosikal turut membawa risiko yang lebih tinggi kepada penunggang dan pembonceng.

Statistik menunjukkan bahawa lebih daripada 60 peratus kemalangan maut di Malaysia melibatkan motosikal. Angka ini amat membimbangkan kerana puluhan nyawa terancam pada setiap hari akibat kemalangan motosikal.

Faktor seperti kurangnya infrastruktur mesra motosikal, sikap penunggang yang cuai dan keadaan jalan yang tidak selamat menjadi penyumbang utama kepada kadar kemalangan yang tinggi. Kesan daripada kemalangan ini bukan sahaja membawa penderitaan kepada mangsa, tetapi turut memberikan kesan yang mendalam kepada keluarga mereka serta beban ekonomi kepada masyarakat.

Keperluan untuk menangani isu keselamatan motosikal di jalan raya tidak boleh diabaikan. Langkah proaktif dan kerjasama antara pihak kerajaan, masyarakat dan sektor swasta adalah penting untuk mengurangkan risiko kemalangan. Usaha ini juga bertujuan memastikan keselamatan pengguna jalan raya secara keseluruhan. Analisis terhadap faktor utama penyumbang kemalangan, kajian kesan kepada masyarakat dan cadangan langkah penambahbaikan perlu diutamakan bagi meningkatkan keselamatan jalan raya di Malaysia.

Statistik dan Gambaran Keselamatan Motosikal

Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) melaporkan lebih daripada 500 000 kes kemalangan jalan raya di Malaysia pada setiap tahun. Motosikal menyumbang sekitar 20 peratus daripada jumlah ini, lalu menjadikan kategori kenderaan ini paling berisiko di jalan raya. Purata lapan hingga 10 kematian penunggang motosikal berlaku pada setiap hari. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya keselamatan penunggang motosikal di Malaysia dan hal ini menuntut langkah lebih proaktif untuk mengatasi isu ini.

Kawasan bandar seperti Kuala Lumpur, Selangor dan Johor Bahru mencatatkan kadar kemalangan motosikal tertinggi. Kepadatan trafik yang tinggi dan reka bentuk jalan yang tidak mesra motosikal menjadi faktor utama penyumbang bagi kes ini. Di kawasan ini, motosikal sering berkongsi lorong dengan kenderaan besar seperti lori dan bas yang meningkatkan risiko kemalangan. Kekurangan lorong khas untuk motosikal di lebuh raya utama turut menyumbang kepada jumlah kemalangan yang tinggi.

Golongan muda yang berusia antara 16 tahun hingga 25 tahun merupakan kumpulan paling terdedah kepada kemalangan motosikal. Kajian mendapati bahawa penunggang dalam kumpulan umur ini sering mengambil risiko tidak perlu seperti menunggang laju, melanggar lampu isyarat dan tidak memakai helmet. Kurangnya pengalaman dan tekanan masa, khususnya bagi pekerja penghantaran makanan turut menjadi punca utama kemalangan. Dalam usaha mengejar masa untuk memenuhi pesanan, mereka cenderung mengabaikan peraturan jalan raya, sekali gus meningkatkan risiko kemalangan.

Cuaca buruk juga menjadi penyumbang utama kepada kemalangan motosikal. Hujan lebat, kabus dan permukaan jalan yang licin meningkatkan risiko kehilangan kawalan, terutamanya bagi motosikal kecil yang mudah tergelincir. Dalam keadaan ini, keterlihatan penunggang berkurangan secara signifikan, lalu menjadikan mereka lebih terdedah kepada risiko perlanggaran. Faktor cuaca ini sememangnya menuntut perhatian yang khusus dalam usaha meningkatkan keselamatan penunggang motosikal.

Faktor Penyebab Kemalangan

Kemalangan motosikal di Malaysia sering berpunca daripada kesilapan penunggang yang melibatkan tindakan cuai seperti melanggar lampu isyarat, tidak memakai helmet dan menunggang melawan arus. Penunggang yang tidak mematuhi peraturan jalan raya sering kali berada dalam situasi berbahaya, terutamanya di kawasan trafik yang sibuk. Golongan muda yang kurang pengalaman biasanya tidak dapat menilai risiko dengan tepat, lalu menyebabkan mereka cenderung mengambil tindakan yang tidak wajar seperti menunggang melebihi had kelajuan yang dibenarkan.

Persepsi bahawa motosikal ialah kenderaan mudah dikawal dan kurang berbahaya turut menyumbang kepada sikap cuai penunggang. Hakikatnya, penunggang motosikal tidak dilindungi oleh kerangka kenderaan seperti pemandu kereta. Hal ini menjadikan mereka lebih terdedah kepada kecederaan serius dalam kemalangan.

Selain kesilapan penunggang, keadaan jalan raya yang tidak memadai juga merupakan faktor utama penyumbang kemalangan. Masalah seperti jalan berlubang, permukaan tidak rata dan ketiadaan lorong khas untuk motosikal meningkatkan risiko penunggang hilang kawalan, terutamanya ketika cuba mengelak halangan atau menukar lorong. Di kawasan luar bandar pula, pencahayaan jalan yang tidak mencukupi pada waktu malam  menambahkan risiko ini kerana bahaya seperti haiwan liar atau halangan lain sukar dikesan.

Cuaca buruk menjadi satu lagi faktor yang meningkatkan kadar kemalangan motosikal. Hujan lebat dan kabus mengurangkan keterlihatan, bukan sahaja bagi penunggang motosikal tetapi juga bagi pemandu kenderaan lain. Permukaan jalan yang licin dalam keadaan basah meningkatkan risiko motosikal tergelincir, terutamanya bagi motosikal kecil dan ringan.

Interaksi dengan kenderaan berat seperti lori dan bas turut menyumbang kepada kemalangan motosikal. Kenderaan berat mempunyai titik buta yang luas dan menjadikan penunggang motosikal sukar dilihat, khususnya di kawasan persimpangan atau ketika menukar lorong. Situasi ini bertambah berbahaya apabila pemandu kenderaan berat tidak memberikan isyarat atau membuat pergerakan secara tiba-tiba.

Tekanan masa juga sering dialami oleh penunggang yang bekerja sebagai penghantar makanan atau barang yang terpaksa mengejar tempoh penghantaran. Keadaan ini menyebabkan mereka melanggar peraturan jalan raya seperti melanggar lampu isyarat atau menunggang pada kelajuan yang tidak selamat. Tekanan masa yang tinggi menghasilkan situasi amat berisiko bagi penunggang motosikal.

Kesan Kemalangan Motosikal

Kemalangan motosikal sering mengakibatkan kecederaan fizikal yang serius, khususnya kecederaan kepala yang kekal sebagai jenis kecederaan paling lazim. Kecederaan ini sering membawa kepada kecacatan kekal atau kematian.

Penunggang motosikal yang tidak memakai helmet berkualiti tinggi lebih terdedah kepada impak langsung semasa kemalangan. Keadaan ini berisiko menyebabkan trauma otak atau kehilangan nyawa. Selain itu, kecederaan seperti patah tulang, kecederaan tulang belakang dan trauma dalaman memerlukan rawatan perubatan yang rumit dan jangka masa panjang yang sering melibatkan kos rawatan yang tinggi.

Bagi sesetengah mangsa, kecederaan yang dialami mungkin menyebabkan kecacatan kekal. Kehilangan mobiliti atau keupayaan bekerja bukan sahaja menjejaskan mangsa dari segi fizikal tetapi turut memberikan kesan kepada kestabilan kewangan dan emosi mereka. Proses pemulihan yang panjang dan menyakitkan menambah tekanan, lalu menyebabkan mangsa kehilangan keyakinan untuk kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Kesan psikologi akibat kemalangan motosikal turut mendalam. Mangsa sering mengalami gangguan stres pascatrauma yang memberikan kesan negatif kepada kesihatan mental mereka dalam jangka masa panjang. Gejala seperti ketakutan untuk menunggang semula, mimpi ngeri dan kebimbangan melampau merupakan perkara biasa. Gangguan ini bukan sahaja mengurangkan kualiti hidup mangsa tetapi turut menjejaskan hubungan sosial dan profesional mereka. Ahli keluarga mangsa juga mengalami kesan emosi, terutamanya apabila kemalangan melibatkan kehilangan nyawa atau kecacatan kekal.

Pada skala nasional, kemalangan motosikal menyumbang kepada kerugian ekonomi yang ketara dan dianggarkan mencapai tiga peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar pada setiap tahun. Kos ini merangkumi rawatan kecemasan, pemulihan, insurans dan kehilangan produktiviti akibat kecacatan atau kematian.

Selain itu, sistem kesihatan awam berpotensi terjejas kerana perlu menampung rawatan bagi mangsa kemalangan yang tidak mampu mendapatkan rawatan di hospital swasta. Kerugian infrastruktur akibat kerosakan jalan raya dan kenderaan juga menambahkan kos kepada kerajaan.

Langkah Penambahbaikan

Untuk meningkatkan keselamatan motosikal, beberapa langkah penting perlu diambil. Pertama, infrastruktur jalan raya perlu diperbaik. Pembinaan lorong khas untuk motosikal di lebuh raya utama dapat mengurangkan risiko interaksi motosikal dengan kenderaan besar. Selain itu, penyelenggaraan berkala seperti pembaikan permukaan jalan dan pemasangan pencahayaan tambahan di kawasan gelap adalah langkah signifikan untuk memastikan jalan raya lebih selamat.

Seterusnya, penguatkuasaan undang-undang yang lebih tegas perlu dilaksanakan. Hukuman lebih berat wajar dikenakan terhadap pelanggaran peraturan jalan raya seperti tidak memakai helmet atau melanggar lampu isyarat. Malah, penggunaan kamera pemantauan automatik boleh membantu merakam dan menguatkuasakan pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.

Di samping itu, penggunaan teknologi pintar juga harus diwajibkan bagi meningkatkan keselamatan. Sebagai contoh, sistem brek antikunci (ABS) dan helmet pintar dengan penderia kecemasan perlu menjadi keperluan bagi semua motosikal baharu. Kajian membuktikan ABS mampu mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan motosikal sebanyak 25 peratus. Tambahan pula, aplikasi navigasi yang memberikan amaran tentang bahaya jalan raya atau cuaca buruk dapat membantu penunggang membuat keputusan yang lebih bijak.

Akhir sekali, pendidikan dan kesedaran masyarakat perlu diperkasakan. Program pendidikan keselamatan jalan raya wajar diperkenalkan di sekolah dan komuniti. Pada masa yang sama, kempen kesedaran melalui media sosial, televisyen dan radio boleh membantu menanamkan budaya keselamatan jalan raya dalam kalangan masyarakat. Tidak kurang pentingnya, latihan praktikal mengenai teknik menunggang selamat perlu diberikan, khususnya kepada golongan muda yang baru berjinak-jinak dengan motosikal.

Kajian Kes Antarabangsa

Pengalaman dari negara-maju seperti Jepun, Belanda, Taiwan, Australia dan Jerman membuktikan bahawa pendekatan bersepadu mampu meningkatkan keselamatan penunggang motosikal. Setiap negara telah melaksanakan langkah inovatif yang disesuaikan dengan keadaan tempatan mereka. Hal ini menunjukkan bahawa keselamatan jalan raya dapat ditingkatkan melalui pelaburan dalam infrastruktur, teknologi dan pendidikan.

Di Jepun, latihan keselamatan wajib diperkenalkan untuk semua penunggang motosikal yang merangkumi ujian praktikal dan teori yang ketat sebelum lesen motosikal dikeluarkan. Langkah ini memastikan penunggang memahami peraturan jalan raya, teknik penunggangan yang selamat dan cara mengendalikan motosikal dalam cuaca buruk. Latihan keselamatan ini juga berjaya mengurangkan kadar kemalangan motosikal sebanyak 20 peratus. Selain itu, kempen kesedaran keselamatan secara besar-besaran melalui media massa dan komuniti dijalankan secara berkala untuk menanamkan budaya keselamatan jalan raya.

Belanda pula memberikan fokus kepada infrastruktur yang mesra penunggang motosikal. Lorong khas untuk motosikal dibina di hampir semua lebuh raya utama, lalu mengurangkan interaksi berbahaya antara motosikal dengan kenderaan besar seperti lori dan bas. Langkah ini membantu menurunkan kadar kemalangan sebanyak 30 peratus. Sistem pencahayaan jalan raya yang baik, lebih-lebih di kawasan luar bandar meningkatkan keterlihatan penunggang pada waktu malam dan menjadikan sistem jalan raya Belanda sebagai antara yang terbaik di dunia.

Taiwan yang mempunyai bilangan motosikal per kapita yang tinggi menggunakan pendekatan teknologi untuk meningkatkan keselamatan jalan raya. Sistem brek ABS diwajibkan bagi semua motosikal baharu yang terbukti mampu mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan motosikal sebanyak 25 peratus. Taiwan juga memperkenal aplikasi navigasi yang memberikan amaran kepada penunggang tentang cuaca buruk dan keadaan jalan yang berbahaya. Ciri ini membantu mereka untuk membuat keputusan lebih bijak semasa menunggang.

Australia pula menumpukan usaha kepada pendidikan keselamatan jalan raya. Program pendidikan ini bermula sejak peringkat sekolah rendah apabila pelajar diajar tentang peraturan jalan raya dan keselamatan pengguna jalan. Latihan khusus untuk penunggang motosikal, termasuklah teknik defensif dan pengendalian dalam situasi kecemasan diwajibkan sebelum mendapatkan lesen motosikal. Langkah ini berjaya meningkatkan kesedaran dan kemahiran penunggang, sekali gus mengurangkan kadar kemalangan. Kempen kesedaran awam mengenai keselamatan motosikal juga dilaksanakan secara konsisten melalui televisyen, radio dan media sosial.

Di Jerman, kerajaan melaksanakan pendekatan teknologi dan peraturan untuk meningkatkan keselamatan motosikal. Had laju khas untuk motosikal ditetapkan di kawasan tertentu bagi mengurangkan risiko kemalangan. Selain itu, teknologi seperti ABS dan kawalan kestabilan elektronik (ESC) diwajibkan bagi semua motosikal baharu. Langkah ini bukan sahaja meningkatkan keselamatan penunggang tetapi juga mengurangkan kadar kematian akibat kemalangan motosikal. 

Sebagai kesimpulannya, keselamatan motosikal di jalan raya memerlukan pendekatan menyeluruh yang menggabungkan peningkatan infrastruktur, penggunaan teknologi pintar, penguatkuasaan undang-undang dan pendidikan masyarakat. Pengalaman dari negara maju seperti Jepun, Belanda dan Taiwan membuktikan bahawa langkah bersepadu mampu mengurangkan kadar kemalangan dan meningkatkan keselamatan jalan raya.

Malaysia wajar mengambil inspirasi daripada pendekatan ini untuk melaksanakan langkah yang berkesan. Usaha kolektif ini dapat membantu negara mencapai visi kematian sifar atau zero fatalities dan mewujudkan jalan raya yang lebih selamat untuk semua pengguna.

 

Kapten Boey Chin Kat,
Pelajar Sarjana,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Dr. Norfarah Nadia Ismail,
Pensyarah Kanan,
Universiti Teknologi MARA.

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff,
Pensyarah Kanan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.