Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Unit Kualiti dan Akreditasi telah menganjurkan Majlis Sambutan Hari Inovasi dan Penghargaan Staf UiTM Cawangan Perlis Tahun 2024 dengan penuh meriah semalam.
Majlis ini dihoskan oleh Bahagian Pengurusan Fasiliti dan Bahagian Infrastruktur yang diketuai oleh YBrs. Pengarah Program, Encik Mohamad Hamdi Hamdan dan Timbalan Pengarah Program, Encik Mohd Junaidy Ilyas serta membawa tema Retro Formal UiTM 50 Tahun yang menyerlahkan keunikan sambutannya.
YBrs. Ketua Unit Kualiti dan Akreditasi, Dr. Aznoora Osman dalam ucapannya berkata, majlis ini memberikan penghargaan terhadap usaha kolektif warga UiTM Cawangan Perlis dalam meningkatkan standard prestasi universiti yang bertunjangkan elemen kreativiti, teknologi dan inovasi.
Ujar beliau lagi,
Penyertaan warga kampus dalam inisiatif seperti Kumpulan Inovasi dan Kreativiti (KIK), Kecemerlangan Operasi (OE), Anugerah Kualiti Naib Canselor (AKNC) dan Anugerah Akademik Universiti (AAU) serta pelibatan dalam proses pengakreditasian program akademik telah menjadi pengukuh budaya kerja berkualiti dalam kalangan warga UiTM Cawangan Perlis.
Sementara itu, YBrs. Rektor UiTM Cawangan Perlis, Profesor Madya Dr. Ahmad Nizan Mat Noor menyeru warga kampus untuk terus mengamalkan budaya inovasi dan kreativiti demi memartabatkan nama kampus dan universiti dengan menekankan keberanian berfikir di luar kotak.
Ujar beliau,
Keberanian untuk berfikir di luar kebiasaan dapat memenuhi kehendak dan harapan pelanggan melalui penjanaan idea kreatif dan inovasi. Pada masa yang sama, kita juga perlu terus mengamalkan budaya kerja yang pantas, tepat dan berintegriti demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada semua pihak.
Majlis ini turut meraikan sebanyak 28 orang pesara wajib bagi tahun 2023 dan 2024, 45 orang penerima Anugerah Khidmat Setia dan 54 orang penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2023 di samping memberikan Sijil Anugerah Tokoh Atlet kepada olahragawan dan olahragawati dan Anugerah Staf Harapan bagi staf akademik dan pentadbiran.
Majlis ini turut menyaksikan pelancaran logo Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) UiTM Cawangan Perlis dan penganugerahan EKSA tahun 2024 kepada para pemenang kategori pejabat (Bahagian/Unit) dan kategori Bilik Kakitangan Akademik.
Pengisian lain yang menyerikan majlis ini termasuklah Pameran Nostalgia oleh Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan, sesi lafaz Ikrar Kualiti Universiti Teknologi MARA, persembahan nyanyian oleh warga UiTM Cawangan Perlis, persembahan muzik komersial daripada kumpulan Buskerband, cabutan bertuah dan anugerah Busana Retro bagi kategori lelaki dan wanita.
Turut hadir dalam majlis ini ialah Barisan Jawatankuasa Eksekutif Negeri dan tetamu undangan yang memberikan sokongan kepada usaha memartabatkan budaya inovasi serta penghargaan dalam kalangan warga UiTM Cawangan Perlis.