Oleh Masne Kadar
1 Januari 2025, 17:34

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seri Kembangan – Kemudahan dan perkhidmatan yang mesra orang kurang upaya (OKU), terutamanya kanak-kanak berkeperluan khas amat penting dalam memastikan golongan tersebut mampu mencapai potensi optimum mereka serta mendapat perkhidmatan berkualiti yang sewajarnya.

Demikian seperti ditegaskan oleh Ahli Dewan Negara Parlimen Malaysia, Yang Berhormat (YB) Senator Tuan Isaiah D. Jacob ketika kunjungan hormat ke Smart Rise Therapy Center di Astetica Residences.

Ketibaan Ahli Dewan Negara, Parlimen Malaysia, YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob disambut oleh Pengasas dan Pengarah Smart Rise Therapy Center, Encik Muhammad Ismail Ibrahim,

Dalam sesi ini, YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob meninjau proses pengubahsuaian yang sedang dijalankan di pusat ini bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan mesra OKU dan menepati piawaian yang ditetapkan.

Sebelum itu, YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob telah diberikan taklimat berkenaan operasi dan perkhidmatan yang ditawarkan di pusat tersebut oleh Pengarah Smart Rise Therapy Center, Encik Muhammad Ismail Ibrahim dan ahli terapi cara kerja di pusat tersebut, Puan Sharifah Haura Uzzahra Syed Abdul Rahman.

YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob diberikan penerangan berkenaan ruang yang terdapat di Smart Rise Therapy Center.

Bagi memastikan kemudahan yang dibangunkan adalah mesra OKU, penubuhan Smart Rise Therapy Center telah dibangunkan dengan merujuk kepakaran dari sekumpulan pensyarah, penyelidik dan klinisian dari Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh Pensyarah Kanan di Program Terapi Cara Kerja dan juga Penyelidik di Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, YBrs. Profesor Madya Dr. Masne Kadar.

Menurut YBrs. Profesor Madya Dr. Masne Kadar,

Kepakaran yang terdapat di FSK, UKM merangkumi pelbagai bidang sains kesihatan dari aspek pencegahan, saringan dan diagnosis serta pelbagai perkhidmatan terapi dan intervensi yang disampaikan oleh pensyarah dan klinisian berpengalaman luas dalam bidang masing-masing.

Sementara itu, YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob menyatakan bahawa kerjasama pintar antara UKM dengan Smart Rise Therapy Center sebagai pihak industri seperti ini amat digalakkan dan patut dicontohi.

Langkah ini adalah penting bagi memastikan kepentingan dan kebajikan golongan OKU terjaga dan dapat mengelakkan dari tindakan sesetengah pihak kurang bertanggungjawab yang menawarkan perkhidmatan kesihatan atau terapi yang tidak terbukti keberkesanannya”.

Ujar YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob lagi, beliau sangat terkesan dengan tindakan sesetengah pihak yang cuba mengambil kesempatan dan mengaut keuntungan terhadap golongan OKU dengan menawarkan perkhidmatan yang tiada asas atau diragui keberkesanannya, begitu juga dengan perkhidmatan yang disampaikan oleh pengamal yang tidak memiliki kepakaran seperti didakwa.

“Tindakan ini akan hanya merugikan golongan OKU tersebut dan mungkin juga akan membawa kepada kemudaratan terhadap kesihatan mereka. Oleh hal yang demikian, sesuatu harus dilakukan dan perlu terdapat mekanisme bagi mengawal perkara seperti ini dari terus berlaku”, tegas beliau.

Perbincangan antara YB Senator Tuan Isaiah D. Jacob bersama-sama wakil dari FSK, UKM dan petugas dan Pengarah Smart Rise Therapy Center.

Menurut Pengarah Smart Rise Therapy Center, Encik Muhammad Ismail Ibrahim, Smart Rise Therapy Center ditubuhkan dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan termasuklah penilaian, terapi, intervensi dan pendidikan awal kepada kanak-kanak berkeperluan khas yang disesuaikan dengan keperluan golongan ini.

Pusat ini akan menjadi “one-stop-therapy-center” apabila hampir semua jenis perkhidmatan pemeriksaan atau penilaian, terapi, intervensi dan pendidikan awal ditawarkan di pusat ini.

“Jenis perkhidmatan yang ditawarkan pula akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut kepada permintaan dan keperluan”, jelasnya lagi.

Turut hadir dalam lawatan ini termasuklah Pensyarah Kanan Program Optometri, FSK, UKM, Profesor Madya Dr. Haliza Abdul Mutalib dan wakil dari Klinik Terapi Cara Kerja, FSK, UKM, Puan Nur Rafidah Mohamed.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.