Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPulau Pinang – Perkumpulan Siswa/i Pahang Darul Makmur (PERDAMA), Universiti Sains Malaysia (USM) berjaya menganjurkan sesi Sembang Santai bertemakan “Mahasiswa Sebagai Pemacu Kelestarian Bumi” baru-baru ini bagi memberikan inspirasi kepada mahasiswa untuk terus mengambil langkah proaktif dalam kelestarian bumi. .
Program yang diadakan secara dalam talian ini turut dianjurkan oleh Kelab Geografi USM dan Majlis Mahasiswa Anak Pahang, Universiti Malaysia Terengganu.
Acara ini menampilkan Pensyarah Bahagian Geografi, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh, USM, Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor sebagai penceramah utama yang berkongsikan pandangan yang mendalam tentang kepentingan menjaga kelestarian bumi serta peranan signifikan mahasiswa dalam memastikan kelangsungan ekosistem global.
Dalam sesi perkongsian, Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor menekankan bahawa mahasiswa memiliki tanggungjawab besar sebagai agen perubahan.
Beliau menyatakan,
Program ini adalah untuk mendorong mahasiswa menjadi pemacu utama dalam usaha memelihara bumi. Melalui langkah kecil yang dimulakan oleh mereka, kita dapat melihat impak besar terhadap alam sekitar, terutamanya ketika berada di luar kampus.
Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor turut memberikan penekanan kepada amalan hijau harian seperti pengurangan penggunaan plastik sekali guna, kitar semula dan penjimatan tenaga.
Menurutnya, mahasiswa bukan sahaja perlu menyedari akan cabaran alam sekitar, malah perlu menunjukkan kepimpinan dalam menyebarkan kesedaran ini kepada komuniti.
Sesi ini berjaya menarik perhatian mahasiswa, bukan sahaja dari USM, malah dari universiti lain yang ditunjukkan melalui perbincangan interaktif dalam sesi soal jawab yang mencerminkan tahap keprihatinan tinggi generasi muda terhadap isu kelestarian alam sekitar.
“Perkara yang dipelajari dan diamalkan di kampus seperti inisiatif hijau dan disiplin dalam menjaga alam sekitar perlu diteruskan dalam kehidupan harian,” tambah Dr. Nik Norliati Fitri Md Nor yang juga menyuarakan harapannya agar mahasiswa menjadi teladan kepada masyarakat di luar kampus.