Diterbitkan pada 1 Januari 2025, 07:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Melaka – Pemeteraian Surat Niat antara Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) dengan Universitas Pembangunan Nasional Veteran Jakarta (UPNVJ) baru-baru ini menandakan komitmen strategik untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang penyelidikan, pertukaran staf dan pelajar serta pelbagai aktiviti akademik masa depan.

Majlis menandatangani Surat Niat ini dirasmikan oleh Dekan Fakulti Teknologi Kejuruteraan dan Pembuatan Industri (FTKIP) UTeM, Prof. Ir. Ts. Dr. Hambali  Arep dan Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar dan Kolaborasi UPNVJ, Dr. Nanang Alamsyah yang mewakili Dr. Muchamad Aktaviandri, Pemangku Dekan Fakulti Kejuruteraan UPNVJ, Indonesia.

Prof. Ir. Ts. Dr. Hambali berkata kerjasama ini membuka lembaran baharu dalam memperkukuh hubungan antara kedua-dua institusi dan dapat meningkatkan lagi ketampakan UTeM pada peringkat antarabangsa melalui kerjasama seumpama ini.

UTeM giat merancang program bercorak global serta sentiasa bersedia menerima kerjasama dari luar negara yang akan terus mengangkat kepakaran dalam negara untuk kebaikan sejagat.

Delegasi UTeM dan UPNVJ bertukar-tukar cenderamata selepas selesai menandatangani Surat Niat.
Delegasi PNVJ bergambar bersama-sama dengan mahasiswa dan staf FTKIP, UTeM.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama ini, Seminar Pemindahan Ilmu turut diadakan dengan tema “Implementasi Sistem Informasi Geografi (GIS) dalam Kejuruteraan Industri dan Rantaian Pembekalan”.

Seminar yang diketuai oleh Dr. Yulizar Widiatama ini menarik lebih 50 mahasiswa dan penyelidik UTeM yang mendalami teknik aplikasi GIS dalam penerokaan mineral baharu untuk pembangunan serta kitar semula selain mengoptimumkan proses berkaitan dalam bidang kejuruteraan industri dan pengurusan rantaian bekalan.

Antara peserta pertukaran ilmu yang hadir ketika sesi bengkel.

Dr. Yulizar Widiatama turut berkongsi pandangannya mengenai peluang kerjasama ini serta menegaskan komitmen UPNVJ untuk meneruskan perancangan berkaitan dengan penyelidikan bersama-sama dengan UTeM dan program-program lain yang akan dirancang bersama.

“UTeM mempunyai banyak contoh dan amalan terbaik yang boleh dipelajari. Kami juga berharap agar delegasi dari FTKIP UTeM dapat membuat lawatan balas ke UPNVJ untuk meneruskan kolaborasi akademik ini.”

Dr Al Amin Mohamed Sultan, Pensyarah Kanan di Fakulti Teknologi dan Kejuteraan Industri dan Pembuatan, merangkap Ketua Projek yang mewakili UTeM berkata, seminar ini juga turut merangkumi pengisian teknikal mengenai penggunaan Google Earth Engine untuk analisis data satelit dalam eksplorasi mineral.

Teknologi ini berpotensi besar untuk diaplikasikan di Malaysia dalam mengenal pasti kawasan eksplorasi sumber mineral yang tepat dan berkesan, menjadikannya satu inovasi yang bermanfaat untuk pembangunan sumber daya negara.

Delegasi dari UPNVJ juga berpeluang melawat makmal dan fasiliti UTeM, di mana mereka menyaksikan kemudahan penyelidikan canggih yang dimiliki oleh universiti tersebut.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi