Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Kangsar – Penjenamaan semula varieti durian MDUR88 kepada varieti MS88 memberikan komersial dan harga pasaran yang tinggi kepada peringkat global.
Demikian menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Yang Berhormat (YB) Datuk Seri Haji Mohamad Sabu dalam sidang media semalam di MARDI Kuala Kangsar.
YB Datuk Seri Haji Mohamad Sabu menyatakan bahawa penjenamaan MARDI Super (88) diiktiraf sebagai satu daripada durian premium terbaik di Malaysia dan berpotensi untuk memasuki pasaran global dengan lebih agresif.

Jelas beliau, “Varieti MARDI Super (88) merupakan hasil penyelidikan dan inovasi oleh MARDI untuk memperkenalkan durian premium dengan ciri terbaik di dunia”.
Tambah beliau,
Penjenamaan MARDI Super (88) ini merupakan langkah strategik untuk memperkasakan industri durian dan hiliran seluruh negara. Selain itu, pengkomersialan yang tinggi juga dapat dinikmati oleh petani tempatan dengan membawa keuntungan yang tinggi, sekaligus membangunkan ekonomi negara.
Pada masa yang sama, beliau turut berharap varieti MARDI Super (88) berpotensi memasuki pasaran global seperti negara China, Singapura, Eropah dan Amerika Utara untuk memenuhi permintaan yang tinggi dengan menawarkan kualiti yang setanding.
Sementara itu, Pengerusi Pengelola MARDI, YBrs. Dr. Azman Ismail menyatakan bahawa pihak MARDI telah berjaya menjalankan penyelidikan hampir 15 tahun untuk mendapatkan hasil varieti Super (88) dengan nilai yang tinggi dan berkualiti kepada masyarakat tempatan.
Ujarnya,
Ini merupakan hasil penyelidikan yang amat memberangsangkan kepada pihak MARDI ynag bertungkus-lumus untuk mendapatkan durian premium yang bagus dan menarik perhatian masyarakat. Varieti durian Super (88) mempunyai keenakan rasa yang manis setanding dengan durian Black Thorn yang mampu menarik perhatian pengunjung untuk mendapatkannya dalam pasaran dengan harga yang berpatutan.

Program Duriotourism ini juga memberikan peluang kepada pengamal media dan pengunjung untuk melawat 20 varieti ladang durian, manggis dan rambutan untuk menikmati pengalaman manis di MARDI Kuala Kangsar.