Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memaklumkan bahawa situasi jangkitan COVID-19 dan influenza di negara ini masih terkawal dengan tiada peningkatan kes yang memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan tiada kematian dilaporkan.
Menurut KKM, pada Minggu Epidemiologi (ME) 51/2024 (15 hingga 21 Disember 2024), sebanyak 1477 kes dilaporkan, dengan penurunan sebanyak 14.23 peratus berbanding dengan 1722 kes pada ME 50/2024. Pengisian katil bukan kritikal pula menurun daripada 0.16 peratus kepada 0.13 peratus dan pengisian katil ICU menurun daripada 0.14 peratus kepada 0.10 peratus.
Bagaimanapun, jelas KKM lagi tiada kes kematian COVID-19 dilaporkan sejak 25 April lalu dengan jumlah kumulatif kekal sebanyak 58 kematian.
Selain itu, tiada kes varian baharu dikesan dan varian SARS-CoV-2 yang sedang menular di Malaysia merupakan varian Omicron dan subvariannya.
Bagi jangkitan influenza, hasil survelan berasaskan makmal mendapati 139 daripada 856 sampel influenza-like illness (ILI) di klinik kesihatan (16.24 peratus) serta lapan daripada 67 sampel Severe Acute Respiratory Infections (SARI) di hospital (11.94 peratus), adalah dikesan positif bagi virus influenza pada ME 50/2024.
“Daripada sampel yang dikesan positif influenza, 32 peratus adalah terdiri daripada jenis influenza A, manakala 26 peratus adalah influenza B,” kata KKM dalam kenyataan rasminya.
Walaupun jangkitan influenza tidak wajib kata KKM, untuk dilaporkan atau dinotifikasikan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 [Akta 342] namun KKM sentiasa memantau kes influenza di seluruh negara.
Peningkatan kes COVID-19 dan influenza di Malaysia pada hujung tahun adalah fenomena yang dijangka sepenuhnya selaras dengan peningkatan jangkitan saluran pernafasan yang turut dilaporkan di negara lain, terutamanya yang bermusim sejuk seperti Jepun.
“Oleh itu, pihak berkuasa di negara berkenaan biasanya menggalakkan orang ramai untuk mengambil vaksin influenza pada setiap kitaran musim,” ujarnya.
Walaupun Malaysia beriklim tropika, KKM mengingatkan rakyat negara ini oleh kerana sempadan negara kini dibuka seperti biasa untuk perjalanan keluar dan masuk dari pelbagai negara, termasuk negara-negara bermusim sejuk.
Justeru, KKM berkata, orang ramai dinasihatkan untuk mengambil langkah proaktif dalam menjaga kesihatan diri serta mencegah jangkitan atau penularannya kepada orang lain semasa persiapan ketika musim perayaan.
Antara langkah pencegahan yang boleh diambil termasuklah kerap mencuci tangan dengan sabun atau menggunakan pensanitasi tangan; mengamalkan adab batuk yang baik dengan menutup mulut dan hidung semasa batuk atau bersin; memakai pelitup muka terutamanya bagi individu yang berisiko tinggi untuk mendapat jangkitan atau yang bergejala; serta mendapatkan vaksinasi influenza secara tahunan.
Jelas KKM, orang ramai perlu segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di kemudahan kesihatan kerajaan ataupun swasta sekiranya mengalami gejala seperti demam, batuk dan selesema yang berpanjangan.