Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPegaga atau nama botaninya Centella asiatica (L.) Urban merupakan spesies tumbuhan daripada famili Umbelliferae yang hidup secara semula jadi di pelbagai negara di Asia Tenggara, Madagaskar, India, Sri Lanka, China, Mexico dan sebahagian Afrika Selatan. Nama tempatannya di Malaysia ialah pegaga, penggaga, pegaga tekukur dan pegaga ular.
Di India, tumbuhan ini dipanggil gotu kola, di Thailand dikenali sebagai buabok, di Filipina pula pegagan, manakala di China dikenali sebagai ching chow sui, lei gong gen, ji xue cai dan beng da wan. Nama Inggeris bagi pegaga ialah pennywort dan Asiatic centella.
Di Malaysia, terdapat tiga jenis spesies tumbuhan yang mempunyai nama tempatan pegaga, iaitu Centella asiatica, Merremia emarginata dan Hydrocotyle asiatica. Ketiga-tiga spesies ini berbeza genus dan famili. Centella asiatica lebih popular kerana penggunaannya dalam masakan, perubatan herba dan tanaman hiasan.
Pegaga tumbuh secara liar dan boleh ditemukan di kawasan yang lembap seperti di sekeliling tasik, kolam dan sawah padi. Pegaga sering dijadikan sebagai ulam-ulaman kerana khasiat nutrisi dan ubatannya.
Spesies tumbuhan ini disarankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai satu daripada tumbuhan yang sangat penting untuk dipelihara dan ditanam kerana manfaatnya. Di Malaysia, walaupun pegaga digunakan sebagai herba penyembuh bagi rawatan tradisional bagi beberapa jenis penyakit, spesies ini lebih popular sebagai ulam berbanding dengan herba ubatan.
Nilai Ekonomi dan Etnobotani Pegaga
Pegaga mengandungi sebatian aktif seperti triterpenoid glikosida (terutamanya asiaticoside, asid asiatik, dan asid madecassic), flavonoid, minyak meruap (vallerin, camphor, cineole dan sterol tumbuhan), pektin, asid amino, alkaloid hydrocotyline, myositol, asid bramik, asid sentellik, asid isobrahmik dan asid betulik. Pegaga boleh dijadikan teh herba, minuman tenaga atau kordial. Bahan aktif pegaga juga diekstrak dan dikembangkan menjadi pil atau krim.
Di Madagascar, pegaga dikeringkan, dikisar dan digunakan untuk merawat epilepsi, hipertensi, senak, masalah kulit, malaria, demam, asma, sifilis, bronkitis dan luka. Pada masa ini, pegaga digunakan sebagai ramuan dalam ubat-ubatan herba dan kosmetik di Eropah, Amerika Selatan dan Jepun.
Sebatian yang ditemukan pada spesies ini merupakan bahan aktif yang mempunyai banyak manfaat dan berpontensi untuk digunakan sebagai sumber bahan ubatan. Sebatian ini juga mengandungi bahan seperti flavonoid, sterol, tanin dan alkaloid.
Pegaga juga digunakan dalam perubatan tradisional dalam merawat penyakit kusta, luka, skleroderma, ulser kulit, merendahkan tekanan darah dan melawan jangkitan hepatitis. Pegaga juga digunakan dalam penjagaan kulit kerana ekstrak tumbuhan ini kaya dengan antioksidan yang dikenali dengan banyak nama. Bahan tersebut membantu dalam pembentukan kulit yang lebih mulus dan menjadikan seseorang itu lebih muda daripada usia sebenar.
Kajian turut menunjukkan bahawa ekstrak pegaga mampu merencatkan pertumbuhan beberapa bakteria seperti Bacillus subtilis, Sthaphylococcus aureus, Escherichia coli, Pseudomonas aeruginosa dan Shigella sonnei serta kulat seperti Aspergillus niger, Candida albicans, Aspergillus flavus dan Penicillium citrinum. Selain sifat antimikrobi, pegaga dikatakan mempunyai sifat antikeradangan, antiresah, antidiabetes, meningkatkan keupayaan kognitif dan melegakan aktiviti sistem saraf pusat.
Penggunaan Pegaga di Malaysia
Terdapat perbezaan dalam penggunaan pegaga di Malaysia, terutamanya dalam kalangan masyarakat Melayu, India dan Cina.
Masyarakat India
Pegaga dijadikan sebagai tonik kesihatan dan diamalkan dalam sistem perubatan tradisional Ayurveda. Pegaga dipanggil Brahmi yang digunakan untuk meningkatkan fungsi otak, mengurangkan tekanan dan merangsang daya ingatan. Selain itu, pegaga dipercayai membantu meredakan masalah kulit serta meningkatkan kesihatan jantung.
Pegaga mungkin digunakan dalam bentuk serbuk atau teh herba dan kadangkala dicampurkan dengan bahan lain untuk dijadikan ramuan kesihatan. Tonik herba pegaga dipercayai dapat memperbaik keseimbangan badan dan menyokong gaya hidup yang sihat.
Masyarakat Cina
Pegaga sering dijadikan sebagai minuman penyejuk badan yang dikenali sebagai Chíh lún cǎo atau Ji Xue Cao dan dipercayai dapat menyejukkan badan serta memperbaik peredaran darah. Pegaga juga digunakan sebagai tonik untuk meningkatkan kesihatan kulit, terutamanya dalam rawatan jerawat dan masalah kulit lain.
Tumbuhan ini juga diambil sebagai suplemen untuk menguatkan fungsi otak dan sistem saraf, seiring dengan penggunaan dalam perubatan Melayu dan India. Pegaga kadangkala dijadikan bahan dalam sup herba atau tonik yang diambil untuk memperbaik kesihatan dalaman dan meredakan ketegangan.
Masyarakat Melayu
Pegaga dianggap sebagai herba yang berkhasiat dan digunakan dalam perubatan tradisional untuk pelbagai tujuan kesihatan. Di Malaysia, pegaga dijadikan sebagai ulam yang dimakan secara mentah yang digunakan untuk meningkatkan kesihatan kulit, membantu dalam penyembuhan luka, memperbaik peredaran darah dan meningkatkan daya ingatan.
Pegaga sering dimasukkan ke dalam jamu dan minuman herba yang diambil untuk mengekalkan kesihatan badan. Pegaga turut menjadi ramuan penting dalam amalan perubatan berpantang bagi wanita selepas bersalin.
Air rebusan pegaga digunakan untuk membersihkan dan menyegarkan badan serta mempercepat pemulihan selepas bersalin. Selain itu, pegaga kadangkala dimasukkan dalam hidangan tradisional seperti ulam atau jus untuk dimakan bersama-sama nasi atau makanan lain.
Walaupun pegaga lebih dikenali dalam konteks perubatan tradisional, tumbuhan ini juga mempunyai kepentingan dalam beberapa upacara kebudayaan dan tradisi di Malaysia, terutamanya dalam masyarakat Melayu. Dalam majlis adat, pegaga kadang-kadang digunakan sebagai ulam dalam majlis kenduri atau acara adat istiadat perkahwinan atau kenduri doa selamat. Dalam upacara ini, makanan ulam-ulaman segar dianggap sebagai simbol kesihatan dan kesejahteraan.
Pegaga sebagai Pokok Hiasan
Pegaga bukan sahaja digunakan dalam perubatan tradisional dan masakan, malah dijadikan tumbuhan hiasan kerana mempunyai bentuk daun yang menarik, berwarna hijau cerah dan tumbuh secara menjalar serta berkelompok yang menjadikannya sesuai untuk landskap atau taman hiasan. Spesies ini tidak memerlukan penjagaan yang rumit dan boleh tumbuh dalam pelbagai keadaan.
Pegaga di dalam pasu gantung
Pegaga mempunyai sifat menjalar dan mempunyai daun yang kecil dan membulat yang sesuai untuk dijadikan sebagai tanaman gantung. Daunnya yang lebat dan berkilat boleh menghasilkan rupa yang menarik apabila tumbuh menjuntai keluar daripada pasu.
Pasu gantung yang berlubang di bahagian bawah biasanya digunakan untuk saliran yang baik. Pegaga perlu diletakkan di kawasan yang menerima cahaya matahari tidak langsung kerana tumbuhan ini lebih sukakan kawasan yang agak teduh. Tumbuhan ini perlu disiram secara berkala untuk memastikan tanah sentiasa lembap, tetapi tidak terlalu basah.
Pegaga sebagai tanaman penutup bumi
Oleh sebab pegaga tumbuh dengan cepat dan menjalar secara meluas, tumbuhan ini berpotensi dijadikan sebagai tanaman penutup tanah atau tanaman sempadan di taman.
Pegaga memberikan kesan yang rapi dan menarik serta menambahkan elemen hijau kepada taman. Pegaga juga boleh meliputi kawasan kosong antara pokok bunga atau tanaman lain.
Pegaga di dalam akuarium atau kolam air
Pegaga tumbuh dalam keadaan separa berair, lalu menjadikannya sesuai untuk ditanam di dalam akuarium atau kolam air. Daunnya yang hijau cerah akan terapung di atas permukaan air dan memberikan suasana semula jadi yang indah.
Pegaga juga boleh ditanam di dalam pasu kecil dan diletakkan di dalam akuarium atau kolam kecil. Akarnya berada di dalam air, manakala daunnya terapung di permukaan.
Pegaga di dalam terarium
Terarium ialah bekas kaca kecil yang menyerupai mini ekosistem. Pegaga sesuai untuk dijadikan tumbuhan dalam terarium kerana bersaiz kecil dan tahan dengan kelembapan tinggi.
Untuk terarium, pilih bekas kaca terbuka atau tertutup. Gunakan tanah yang subur dan tambahkan lapisan batu kecil atau pasir di bawah tanah untuk saliran. Tanam pegaga bersama-sama tumbuhan kecil lain seperti lumut atau pakis kecil untuk mencipta mini landskap yang menarik. Pegaga perlu disemburkan untuk mengekalkan kelembapan di dalam terarium.
Pegaga di dalam pasu hiasan
Pegaga juga boleh dijadikan sebagai tumbuhan hiasan dalaman dengan meletakkannya dalam pasu kecil di sudut rumah, di meja atau di tingkap. Keadaan ini akan memberikan suasana yang segar dan estetik kepada sesuatu ruangan. Gunakan pasu kecil yang mempunyai lubang saliran untuk mengelakkan air bertakung. Letakkan di kawasan yang mendapat cahaya matahari tidak langsung seperti di tingkap atau ruang tamu.
Pegaga dalam taman menegak
Pegaga sesuai dijadikan tumbuhan dalam taman menegak (vertical garden). Konsep ini memerlukan tumbuhan disusun di dalam rak atau bekas yang melekat pada dinding.
Kelebihan tumbuhan ini yang menjalar dan tumbuh rapat menjadikannya sesuai untuk mencipta lapisan hijau yang padat di dinding. Gunakan rak atau panel dinding yang direka khas untuk taman menegak.
Pastikan dinding diletakkan di kawasan yang menerima teduhan atau cahaya matahari tidak langsung. Pegaga perlu disiramkan air secara berkala kerana dinding adalah lebih cepat kering berbanding dengan tanah.
Pelbagai Resepi dan Hidangan Berasaskan Pegaga
Pegaga ialah tumbuhan yang sering digunakan dalam masakan tradisional, terutamanya dalam hidangan ulam-ulaman dan jus yang menyegarkan. Menu yang dihidangkan menunjukkan kepelbagaian cara pegaga boleh dinikmati – daripada ulam mentah yang tradisional, sup yang berkhasiat dan kerabu yang segar kepada jus yang menyihatkan. Pegaga juga kaya dengan nutrien dan memberikan banyak manfaat kesihatan, lalu menjadikannya pilihan popular dalam masakan Malaysia.
Kesimpulannya, pegaga mempunyai pelbagai kegunaan dan manfaat kepada manusia. Oleh hal yang demikian, lebih banyak kajian perlu dilakukan untuk meneroka potensi spesies pegaga untuk dikomersialkan dalam industri ubatan. Spesies ini juga mempunyai potensi untuk dikembangkan dalam industri tanaman landskap dan industri makanan tradisional yang estetik selain mempunyai keistimewaan tersendiri berbanding dengan spesies tumbuhan lain.
Profesor Dr. Noraini Talip,
Taman Botani Bangi,
Fakulti Sains dan Teknologi,
Universiti Kebangsaan Malaysia.