Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHutan hujan tropika merupakan ekosistem yang sangat penting dan berperanan sebagai paru-paru bumi dengan menyerap karbon dioksida dan menghasilkan oksigen. Hutan juga merupakan “span” semula jadi kerana mampu menyerap, menyimpan dan membekalkan air bagi mengekalkan keseimbangan air dalam ekosistem bumi.
Pokok yang tumbuh menjulang tinggi menghasilkan “atap” hijau yang lebat, sekali gus mencipta suasana teduh yang lembap dan sejuk. Pada kebiasaannya, suhu di dalam hutan lebih sejuk berbanding dengan suhu di kawasan luar kerana hutan dapat mengekalkan kelembapannya melalui satu proses yang penting, iaitu sejat peluhan atau lebih dikenali sebagai evapotranspiration (ET).
ET merujuk gabungan proses penyejatan dan transpirasi, yakni air tersejat dari permukaan tanah, air atau tumbuhan. Perpeluhan atau transpirasi pula ialah proses tumbuhan kehilangan wap air melalui liang kecil daun yang dikenali sebagai stomata. Secara amnya, proses transpirasi berfungsi sebagai pengawal suhu pokok dan mengatur keseimbangan fisiologi pokok.
Semasa proses fotosintesis, stomata terbuka untuk menyerap karbon dioksida. Pada masa yang sama, air dalam bentuk wap juga dikeluarkan dari permukaan daun. Apabila air tersejat dari permukaan daun melalui stomata, penyejatan tersebut membawa haba dari daun ke atmosfera dan menyebabkan suhu daun menurun.
Proses ini adalah penting, terutamanya semasa cuaca panas kerana tanpa proses transpirasi, daun pokok boleh menjadi terlalu panas dan merosakkan tisu tumbuhan. Proses ini juga merupakan bahagian yang paling penting dalam kitaran air bumi. Berdasarkan kajian, proses ET mengambil lebih kurang 50 peratus daripada kehilangan air bumi ke atmosfera.
Untuk melihat hutan dapat menggunakan dan mengawal sumber air dengan lebih jelas, kajian mengenai cara pokok di hutan menguruskan sumber air di bawah pelbagai keadaan kelembapan telah dijalankan. Kajian ini menggunakan kaedah eddy covariance untuk mengukur kadar ET dan analisis isotop bagi menjejak sumber air yang digunakan oleh pokok.
Kaedah eddy covariance merupakan teknik pengukuran atmosfera yang digunakan untuk mengukur dan mengira golakan (turbulence) fluks secara menegak dalam lapisan sempadan atmosfera. Teknik ini sering digunakan dalam kajian hidrologi, meteorologi dan ekologi untuk menentukan kadar pertukaran gas seperti karbon dioksida, metana dan wap air antara permukaan bumi dengan atmosfera.
Kajian ini mendapati bahawa kadar ET yang dikeluarkan oleh pokok adalah stabil sepanjang tahun serta tidak menunjukkan sebarang perubahan yang ketara pada musim yang berlainan. Sepanjang kajian tersebut dilakukan, rekod menunjukkan berlakunya fenomena El Nino, namun kadar ET tidak menunjukkan penurunan yang drastik. Hal ini terjadi kerana hutan hujan tropika memerlukan kuantiti air yang banyak bagi menampung proses fisiologi pokok untuk terus tumbuh, berkembang dan bertahan dalam pelbagai keadaan persekitaran.
Satu penemuan penting daripada kajian ini ialah keupayaan pokok tropika dalam menukarkan sumber air mengikut musim. Semasa musim hujan, pokok menggunakan air dari lapisan tanah pada kedalaman 0 meter hingga 0.5 meter, namun pokok mula mendapatkan air dari lapisan tanah yang lebih dalam di bawah 0.5 meter semasa musim kemarau.
Analisis isotop stabil mendapati bahawa air yang digunakan oleh pokok ketika kemarau mungkin berasal daripada hujan yang turun beberapa bulan sebelumnya. Keadaan ini menunjukkan pokok tersebut mempunyai kemampuan yang luar biasa untuk bertahan dalam keadaan kering dengan menggunakan simpanan air yang tersimpan dalam lapisan tanah yang lebih dalam.
Dengan memanfaatkan sumber air yang tersimpan ini, pokok dapat terus hidup dan berkembang walaupun dalam keadaan kekurangan air yang teruk. Keupayaan ini mencerminkan daya tahan dan adaptasi yang tinggi terhadap perubahan iklim dan keadaan persekitaran yang mencabar.
Lebih menarik lagi, kajian tersebut menunjukkan bahawa hutan hujan tropika sangat bergantung pada simpanan air di dalam tanah yang terkumpul dari hujan yang turun beberapa bulan sebelumnya. Dalam tempoh kemarau, air hujan yang diterima dalam tempoh sebulan hingga dua bulan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan air pokok. Namun demikian, simpanan air di dalam tanah menjadi lebih mencukupi untuk menyokong proses transpirasi pokok dalam tempoh yang lebih panjang.
Keadaan ini menunjukkan pokok di hutan hujan tropika mempunyai daya tahan yang tinggi dengan memanfaatkan simpanan air di dalam tanah untuk bertahan dalam keadaan kering. Adaptasi ini adalah penting untuk kelangsungan hidup pokok dalam ekosistem yang sering mengalami perubahan cuaca yang ekstrem.
Penemuan ini juga memberikan gambaran yang penting tentang cara hutan hujan tropika bertindak balas terhadap perubahan iklim global. Corak hujan yang semakin tidak menentu akibat pemanasan global menyebabkan hutan lebih bergantung pada kemampuan pokok untuk menarik air dari lapisan tanah yang lebih dalam.
Walaupun hutan hujan tropika mampu mengekalkan kestabilan ET semasa tempoh kering, penurunan kadar hujan dalam jangka masa panjang berkemungkinan memberikan tekanan kepada sumber air bawah tanah. Oleh hal yang demikian, pemahaman tentang cara hutan hujan tropika menguruskan air adalah penting untuk memastikan kelangsungan fungsi ekosistem ini dalam menghadapi cabaran perubahan iklim.
Muhammad Nazhif Ismail, pelajar dari Universiti Malaysia Kelantan dan Dr. Marryanna Lion, Pegawai Penyelidik, Cawangan Ekohidrologi, Program Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Bahagian Perhutanan dan Alam Sekitar, Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia.