Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan dakwaan sebuah portal berita yang mengatakan keempat-empat bilik pembedahan di Blok Pusat Jantung dan satu daripada empat bilik pembedahan jantung di Blok Utama Hospital Sultan Idris Shah (HSIS) Serdang berada dalam keadaan tidak berfungsi.
Merujuk laporan media pada 3 Disember lalu, menurut KKM, Kompleks Dewan Bedah di Pusat Jantung Serdang (PJS) yang mempunyai empat bilik bedah telah beroperasi sepenuhnya semenjak 14 Ogos 2024.
Menjelaskan mengenai perkara itu KKM berkata, kesemua bilik bedah di PJS telah lancar beroperasi dengan jumlah terkini keseluruhan bilangan pembedahan adalah sebanyak 760 kes.
Di samping itu, HSIS Serdang mempunyai 20 bilik pembedahan di Blok Utama dan empat daripadanya merupakan bilik pembedahan jantung.
“Semasa kes pembedahan jantung dijalankan sepenuhnya di empat bilik pembedahan di PJS, kes bukan pembedahan jantung pula dijalankan di bilik pembedahan di Blok Utama HSIS Serdang,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Begitu juga kata KKM, semasa perkhidmatan di lima buah makmal jantung invasif dan Mesin MRI 3.0 Tesla di PJS juga berfungsi dengan baik.
Justeru, KKM sentiasa memantau status pengoperasian dan kefungsian dewan bedah dan perkhidmatan sokongan di kemudahan KKM, termasuklah memastikan aspek penyelenggaran secara berkala dijalankan.