Diterbitkan pada 7 Disember 2024, 16:32

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Puncak Alam – Pusat Pengajian Fisioterapi, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam telah menganjurkan program tanggungjawab sosial universiti bertemakan “Senaman Antenatal: Kesihatan dan Kesejahteraan Ibu Hamil” yang memberikan tumpuan kepada kepentingan senaman antenatal dan pemakanan yang seimbang bagi menyokong kesihatan ibu dan bayi.

Program yang ditaja oleh Pantai Integrated Rehab, Cikbee Kids Sdn. Bhd. dan Physiogo Sdn. Bhd. itu telah disertai oleh 20 orang ibu hamil bersama-sama pasangan masing-masing.

Selain senaman antenatal yang berupaya membantu mengurangkan ketidakselesaan seperti sakit pinggang dan kekejangan kaki, para peserta turut didedahkan kepada pemakanan yang sihat bagi membantu ibu hamil menjalani kehidupan yang lebih sihat sepanjang kehamilan serta mengurangkan risiko komplikasi semasa kehamilan.

Dalam program itu juga, ilmu mengenai penyusuan susu ibu secara eksklusif turut dikongsikan kepada ibu hamil sebagai persediaan awal sebelum bersalin.

Menurut penasihat program, YBrs. Dr. Nur Farhana Md Yunus, kedua-dua elemen, iaitu senaman dan pemakanan adalah sangat penting bagi memastikan kesejahteraan ibu hamil, manakala ilmu mengenai penyusuan susu ibu secara eksklusif juga bertujuan untuk memastikan ibu hamil dapat membuat persediaan awal dari segi mental dan fizikal bagi merealisasikan penyusuan eksklusif.

Sementara itu, pengarah program, Puan Rozita Hani Mohd Haris berkata, pemakanan yang betul merupakan asas untuk perkembangan bayi yang sihat dan membantu ibu kekal bertenaga dan bersedia dengan sepenuhnya untuk menjalani proses kelahiran.

Pada masa yang sama, ceramah pemakanan semasa hamil yang disampaikan oleh Pegawai Dietetik, Puan Norashima Rajab memberikan pendedahan kepada para peserta mengenai panduan keperluan nutrisi yang penting bagi ibu hamil, selain diajar cara untuk merancang pemakanan yang seimbang bagi mengurangkan risiko sepanjang kehamilan.

Sesi ceramah mengenai penjagaan pemakanan ibu hamil yang disampaikan oleh Puan Norashima Rajab.

Selain pemakanan, ceramah tentang penyusuan susu ibu turut disampaikan oleh kaunselor penyusuan berdaftar, Puan Nur Farah Izzati yang memberikan panduan praktikal seperti teknik lekapan yang betul dan pengurusan stok susu ibu.

Ujar beliau,

Kami ingin memastikan ibu hamil memahami bahawa penyusuan susu ibu bukan sahaja penting untuk bayi, malah untuk kesihatan ibu kerana susu ini membantu bagi mengurangkan risiko kanser payudara dan ovari, sekali gus membantu mengecutkan rahim selepas bersalin.

Puan Nur Farah Izzati ketika menyampaikan ceramahnya.

Program pada kali ini turut menawarkan sesi senaman dengan menggunakan gym ball yang merangkumi senaman regangan, mobiliti dan kekuatan otot yang dikendalikan oleh ahli fisioterapi Hospital Al-Sultan Abdullah merangkap alumni fisioterapi UiTM, Puan Siti Asmahani dan Puan Afiqah Najihah.

Sesi praktikal senaman antenatal dengan menggunakan gymball.

Peserta program, Joanne Shalini (37 tahun) berkata,

Selain senaman, kini saya faham betapa pentingnya pemakanan yang seimbang dan penyusuan susu ibu dengan adanya program ini yang sangat lengkap dan memberikan panduan yang berguna.

Nazatul Nur Shafiqa (21 tahun) pula berkata,

Sebagai ibu buat pertama kali, maklumat tentang pemakanan dan laktasi sangat membantu saya untuk lebih bersedia bagi menyusukan bayi.

Timbalan Dekan Hal Ehwal Pelajar, FSK, UiTM Puncak Alam, Encik Romizan Jathin dalam ucapan penutupan program mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pusat Pengajian Fisioterapi atas penganjuran program ini.

Ujar beliau,

Tanpa sokongan daripada semua pihak, program ini tidak akan dapat berlangsung dengan jayanya.

Sesi penyampaian gymball kepada peserta oleh Encik Romizan Jathin.

Pusat Pengajian Fisioterapi, FSK, UiTM Puncak Alam merancang untuk memperluas program ini ke kawasan lain dan mengadakan sesi susulan khusus untuk ibu selepas bersalin dengan menumpukan pemulihan fizikal, pemakanan selepas bersalin dan sokongan laktasi bagi menyokong kesejahteraan ibu dan bayi melalui pendidikan kesihatan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi