Diterbitkan pada 4 Disember 2024, 16:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Dengkil – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) berpeluang menganjurkan program Jangkauan Luar Pendidikan Nuklear (NEO) bersempena dengan program Santuni MADANI dan Selangor Penyayang bagi mendidik dan meningkatkan pemahaman masyarakat terhadap kepentingan serta sumbangan bidang sains dan teknologi nuklear terhadap kemajuan negara.

Dalam program berkenaan, sebanyak empat aktiviti utama telah berjaya dilaksanakan, iaitu pameran kenali sinaran (radiasi), permainan sains dan teknologi (S&T) nuklear, kuiz S&T nuklear serta pertandingan mewarna kanak-kanak.

Menerusi pameran kenali sinaran, pengunjung berpeluang melihat demonstrasi secara langsung mengenai penggunaan alat meter tinjau digital bagi mengesan sinaran mengion dan diberikan pendedahan terhadap fungsi alat dan kaedah mengambil bacaan sinaran latar belakang.

Selain itu, permainan S&T nuklear seperti nuclear word search, nuclear maze dan nuclear puzzle berasaskan konsep sains mudah berupaya memberikan pengalaman yang menyeronokkan selain menguji kecerdasan minda kanak-kanak dalam mencari penyelesaian masalah sains.

Kanak-kanak kelihatan teruja ketika bermain permainan S&T nuklear.

Aktiviti kuiz S&T nuklear pula memberikan peluang kepada para pengunjung, khususnya pelajar dan guru untuk menguji pengetahuan masing-masing dan merangsang pemikiran kritikal tentang sains nuklear.

Sementara itu, pertandingan mewarna kanak-kanak yang diadakan bertujuan untuk menggalakkan perkembangan kreativiti dan semangat bersaing secara sihat dalam kalangan kanak-kanak.

Meskipun acara berkenaan hanya dibuka kepada 20 penyertaan terawal bagi setiap kategori, namun jumlah penyertaan yang diterima adalah hampir 50 orang peserta, sekali gus membuktikan golongan cilik di Kampung Sungai Buah mempunyai minat yang mendalam terhadap aktiviti kreatif.

Selain program NEO, Nuklear Malaysia turut menampilkan pelbagai produk hasil penyelidikan dan inovasi agensi ini, misalnya pameran projek komuniti Struktur Hidrodinamik Terapung Biokomposit (SHARK), produk padi, produk biobaja, anak benih pisang berangan serta beberapa produk hasil penyelidikan inovatif yang lain.

Antara produk penyelidikan Nuklear Malaysia.

Untuk rekod, program Santuni MADANI dan Selangor Penyayang merupakan program khas untuk memupuk semangat keprihatinan dan kebajikan dalam kalangan masyarakat menerusi aktiviti pemeriksaan kesihatan secara percuma, pembahagian bantuan makanan kepada pihak yang memerlukan serta pameran dan bengkel pendidikan.

Acara yang berlangsung selama separuh hari itu turut menyaksikan pelibatan daripada pelbagai agensi kerajaan dan syarikat swasta seperti Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor, Akademi Vokasional McDonald’s Malaysia dan pelbagai agensi lain.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Timbalan Ketua Pengarah, Program Perkhidmatan Teknikal, YBrs. Ts. Dr. Ishak Mansor; Pengarah Kanan, Program Pengurusan, YBrs. Dr. Shukri Mohd; dan para pegawai dari Nuklear Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi