Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Sebanyak 85 orang peserta dari golongan kurang upaya intelektual (ID) telah menjalani pemeriksaan kesihatan dalam program Healthy Athletes UKM-SOM 2024 yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Special Olympics Malaysia (SOM).
Program pada kali ini menawarkan pemeriksaan kesihatan secara menyeluruh kepada peserta dari Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan Pulau Pinang dalam tiga disiplin utama, iaitu penglihatan, terapi fizikal serta pemeriksaan kesihatan kaki dan podiatri.
Program ini turut mendapat sokongan daripada 123 orang sukarelawan yang terdiri daripada pegawai perubatan, optometris, ahli fisioterapi, ahli terapi cara kerja, ahli akademik dan pelajar FSK, UKM serta wakil dari agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan.
P&G dan Watsons selaku penaja utama program ini juga telah menyumbang sebanyak RM15,000.00, selain La Calisto Sdn. Bhd., MCDonald’s dan alumni UKM yang turut berganding bahu dalam menjayakan dan memastikan program ini berjalan dengan lancar.
HAP merupakan inisiatif yang dibangunkan untuk menyediakan pemeriksaan kesihatan menyeluruh dan pendidikan kepada atlet special olympics dalam suasana yang mesra, menyeronokkan dan tidak menimbulkan tekanan.