Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama Biotropics Malaysia Berhad telah menganjurkan Majlis Penyampaian Anugerah National Kesum Initiative 2.0.
Program itu diadakan sebagai tanda penghargaan terhadap pelibatan pelbagai pihak dalam usaha menyokong inisiatif yang diadakan dengan menganugerahkan hadiah wang tunai kepada penyelidik yang paling berdaya saing serta berjaya mendapatkan dana bagi menjalankan penyelidikan awal tentang kesum dan produk yang berkaitan dengannya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Penyelidikan dan Inovasi, UKM, YBhg. Profesor Dato’ Dr. Wan Kamal Mujani ketika merasmikan program berkenaan menyatakan bahawa program ini sangat bermanfaat dan beliau amat mengalu-alukan perkongsian penyelidikan yang berkualiti tinggi dan dapat menjadi aset penting kepada universiti.
Ujar beliau,
Saya berharap program sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang untuk memberikan inspirasi kepada semua penyelidik untuk lebih berdaya saing bagi mencapai kecemerlangan pada peringkat yang seterusnya.
Ketua Pegawai Eksekutif Biotropics Malaysia Berhad, Puan Haliza Ramli berkata, objektif program National Kesum Initiative ini diadakan adalah untuk menyediakan platform kepada para penyelidik bagi melontarkan idea, berkongsikan hasil penyelidikan, kemudian dinilai dari segi keaslian dan impak penyelidikan berkaitan dengan kesum dan seterusnya diberikan penganugerahan berdasarkan kriteria tertentu.
Dekan Fakulti Sains Kesihatan merangkap Pengerusi National Kesum Initiative, YBrs. Profesor Dr. Suzana Shahar pula berkata, program seumpama ini dapat memberikan impak yang ketara kepada komuniti tertentu dan hasil penyelidikan yang dilakukan diharapkan dapat diteruskan pada fasa yang seterusnya seperti percubaan klinikal, prapengkomersialan atau pengkomersialan.
Penubuhan National Kesum Initiative sejak tahun 2019 telah menjadi platform unggul untuk para penyelidik berkongsikan penemuan projek penyelidikan yang berimpak tinggi berkaitan dengan potensi kesum dalam pelbagai aspek.
Program kemuncak ini merupakan hasil kesinambungan daripada kejayaan program siri pertama yang melibatkan 28 penyertaan dan 12 pembentangan akhir dalam kalangan penyelidik.