Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) mengumumkan Jurnal Sains Nuklear Malaysia (JSNM) kini beralih sepenuhnya menggunakan platform Sistem Jurnal Terbuka atau Open Journal Systems (OJS) bagi memudahkan proses penghantaran manuskrip, editorial dan penerbitan serta pengurusan jurnal.
OJS merupakan inisiatif utama dalam Projek Pengetahuan Awam yang dimanfaatkan secara meluas oleh pengguna di seluruh dunia dan menawarkan platform yang fleksibel kepada penulis untuk menghantar manuskrip penyelidikan mereka dengan lebih mudah tanpa sebarang halangan serta paparannya yang mesra pengguna juga membolehkan penulis menguruskan sumbangan karya mereka dengan selamat.
Menerusi sistem dalam talian yang intuitif ini, penulis dapat memantau status semasa semakan manuskrip selain mengurangkan kerumitan bagi proses penerbitan.
Platform ini juga tidak hanya mempercepat proses semakan, bahkan bersifat lebih telus, menyediakan ruang perbincangan dan meningkatkan komunikasi dua hala antara penulis dengan editor.
Dengan adanya OJS, pengguna dapat mengakses atau menerbitkan karya mereka dengan lebih mudah, sama ada dari dalam atau luar institusi serta meningkatkan kualiti penyampaian jurnal dan memperluas penyebaran ilmu pengetahuan secara global.
Sebagai jurnal antarabangsa, JSNM menyasarkan karya penyelidikan asas dan terapan serta artikel berkaitan dengan sains dan teknologi nuklear.
Jurnal tersebut juga bertujuan untuk menyalurkan maklumat dan perkembangan terkini mengenai teknologi nuklear dan mempromosikan pertukaran idea dalam kalangan penyelidik.
JSNM yang diterbitkan dua kali setahun itu membincangkan pelbagai topik penting, misalnya kejuruteraan nuklear dan pengurusan, teknologi perubatan dan fizik kesihatan, aplikasi industri, agroteknologi dan biosains, air, tenaga dan alam sekitar, teknologi pemprosesan sinaran. keselamatan sinaran, sekuriti dan kesihatan, matematik, sains komputer dan teknologi maklumat.
Sebagai rekod, JSNM menjadi peneraju, khususnya dalam penerbitan penyelidikan berkenaan dengan kegunaan aman teknologi nuklear sejak tahun 1983 bagi memudahkan penyebaran pengetahuan dan inovasi baharu bidang teknologi nuklear serta meningkatkan kesejahteraan rakyat sejajar dengan aspirasi “Nuklear untuk Rakyat”.