Diterbitkan pada 28 November 2024, 12:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Pendidikan tidak seharusnya tertumpu di dalam bilik darjah semata-mata tetapi perlu menyesuaikan diri dengan perubahan besar di seluruh dunia, termasuklah tumpuan kepada kecerdasan buatan (AI), perubahan iklim, keterjaminan makanan atau geopolitik.

Menteri Besar Selangor Yang Berhormat (YB) Dato’ Seri Amirudin Shari berkata cabaran itu perlu didekati dengan minda terbuka dan menjadikan pendidikan sebagai penyelesaian utama bagi mempersiap generasi masa hadapan.

“Ini punca kita utamakan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET),” beliau berkata demikian ketika memberi ucapan alu-aluannya semasa Sidang Kemuncak Pendidikan Selangor (SES) dan Pesta Buku Antarabangsa Selangor (SIBF) 2024 yang bermula pada 27 November hingga 3 Disember ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, walaupun tumpuan lebih kepada bidang baharu, namun sektor TVET seperti perpaipan, pendawaian dan automatik tetap diteruskan dengan nilai lebih tinggi.

Bercakap mengenai bidang AI, beliau berkata, untuk mengukuhkan penerokaan bidang AI, Kerajaan Selangor memulakan program kerjasama dengan syarikat terkemuka seperti Apple, Siemens, Festo, Dassault Systemes, KNX dan Mendix.

“Pada tahun akan datang, kita akan perluaskan kerjasama ini, termasuklah dengan Google yang telah melabur dalam pembinaan pusat data di Selangor bagi meningkatkan kapasiti modal insan.” 

Dalam majlis yang sama, Duli Yang Maha Mulia (DYMM)  Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan merasmikan SES dan SIBF 2024.

Baginda Sultan Selangor turut menyampaikan plak penghargaan kepada wakil program Selangor International Fellowship daripada Mongolia, Algeria, Vietnam, Filipina, India dan Jepun.

Pesta buku pada kali ini sudah tentunya istimewa kerana terdapat tiga  program, iaitu Selangor R&D and Innovation Expo (SRIE), Selangor Edu, iaitu, Science, Technology, Engineering and Mathematics (STEM) dan Worldskills Malaysia Selangor 2024 yang berjalan secara serentak, 

Berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, baginda turut diiringi Menteri Besar Selangor yang kemudiannya mencemar duli melawat reruai pesta buku selain bermesra dengan pempamer dan pengunjung.

Pada tahun ini, pesta buku menyasarkan kehadiran sebanyak 300 000 pengunjung dengan lebih 400 reruai yang mewakili pelbagai jualan buku yang terdiri daripada penulis dan penerbit.

Pelbagai aktiviti menarik bersama-sama keluarga juga disediakan, termasuklah 15 cabutan bertuah bernilai RM500 pada setiap hari.

SIBF yang julung-julung kali dianjurkan pada tahun 2022 merupakan kesinambungan daripada Pesta Buku Selangor yang dianjurkan sejak tahun 2006.

Bermula tahun lalu, pentadbiran turut menganjurkan Pesta Buku Kanak-Kanak Selangor yang bertempat di Kompleks Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) yang melibatkan penyertaan penulis, penerbit dan penjual buku tempatan.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, YB Dato’ Setia Haji Haris Kasim; EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan YB Tuan Mohd Najwan Halimi; Penasihat Undang-undang Negeri Selangor YB Dato’ Salim Soib @ Hamid; Pegawai Kewangan Negeri YB Dr. Ahmad Fadzli Ahmad; dan Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), YBhg. Datin Paduka Mastura Muhammad.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi