Diterbitkan pada 25 November 2024, 14:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Pakar Perunding Kanan Ortopedik, Fakulti Perubatan, Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Mejar Bersekutu (PA) Profesor Dr. Mohd Yazid Bajuri mencatatkan pencapaian luar biasa apabila dianugerahkan Ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang visual informatik dalam Majlis Konvokesyen UKM yang ke-52.

Pencapaian tersebut bukan sahaja menonjolkan kepakaran beliau dalam bidang perubatan, malah dalam bidang teknologi maklumat, sekali gus membuktikan bahawa beliau merupakan seorang ahli profesional yang serba boleh kerana berjaya menggabungkan dua disiplin yang berbeza untuk memberikan impak yang besar dalam dunia perubatan.

Kajian PhD beliau yang memfokuskan integrasi teknologi visual dalam pengimejan perubatan telah membuka ruang baharu dalam penggunaan teknologi maklumat dalam bidang ortopedik serta memanfaatkan teknologi pengimejan dan pemodelan visual yang inovatif untuk meningkatkan ketepatan diagnosis serta rawatan dalam bidang perubatan ini.

Sesi pakar bedah menguji latihan realiti maya untuk mengumpul data penilaian.

Hasil daripada penyelidikan beliau telah memberikan manfaat yang besar dalam mempertingkat cara seorang doktor mendiagnosis penyakit dan merancang rawatan yang lebih tepat, khususnya dalam bidang perubatan yang melibatkan tulang dan sendi.

Keputusan beliau untuk meneroka bidang visual informatik, yakni suatu cabang ilmu yang menggabungkan konsep pengimejan komputer dan sains data telah menunjukkan keupayaan beliau untuk berfikir di luar kotak dan meneroka teknologi canggih yang dapat meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan.

Proses pembedahan yang dijalankan dalam bentuk realiti maya.

Kejayaan yang dimiliki oleh beliau turut memberikan inspirasi kepada ahli profesional perubatan lain untuk menggabungkan kemahiran dan pengetahuan dalam bidang teknologi bagi mencapai kecemerlangan dalam amalan perubatan.

Di samping kejayaan akademik, beliau turut menyandang jawatan sebagai Timbalan Pengetua Kolej Tun Dr. Ismail, UKM yang memainkan peranan penting dalam membimbing dan memberikan inspirasi kepada mahasiswa di universiti berkenaan.

Sebagai seorang pemimpin di kolej kediaman, beliau amat komited untuk memastikan para pelajar mendapat pendidikan yang berkualiti serta mendalami nilai kepimpinan dan pembangunan diri.

Kejayaan beliau juga memaparkan betapa pentingnya gabungan antara perubatan dengan teknologi dalam membentuk masa hadapan penjagaan kesihatan serta membuka peluang kepada penyelidik lain untuk meneroka kerjasama antara disiplin yang berbeza demi menghasilkan inovasi yang dapat memperbaik kualiti hidup masyarakat.

Dalam hal ini, kejayaan beliau turut membuktikan bahawa kejayaan akademik tidak terhad kepada satu bidang sahaja dan seseorang ahli profesional itu boleh memberikan sumbangan yang besar dalam pelbagai aspek kehidupan.

Menerusi kejayaan ini juga menunjukkan bahawa beliau bukan hanya seorang pakar ortopedik yang diiktiraf, malah seorang penyelidik yang berani meneroka cabaran baharu dalam bidang visual informatik, sekali gus menjadi contoh teladan kepada generasi muda yang ingin meneroka pelbagai bidang ilmu secara menyeluruh.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi