Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjung Karang – Sekumpulan penyelidik dari Program Terapi Cara Kerja, Pusat Kajian Rehabilitasi dan Keperluan Khas, Fakulti Sains Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang diketuai oleh YBrs. Dr. Dzalani Harun telah menggembleng tenaga bagi memperkasakan komuniti Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) melalui program Modul Aktiviti Cara Kerja (MACK).
Modul tersebut mengandungi panduan berstruktur untuk menjalankan aktiviti cara kerja yang meliputi aspek fizikal, produktiviti, sosial dan riadah yang sesuai untuk golongan warga emas.

Kajian di bawah tajaan Geran Universiti Penyelidikan, UKM ini dilaksanakan selama 14 minggu yang melibatkan empat buah PAWE, iaitu PAWE Setiawangsa, PAWE Titiwangsa, PAWE Sungai Udang dan PAWE Tanjung Karang dengan penyertaan sebanyak 28 orang.
Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Warga Emas, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Encik Mohd Mahir Mohd Tahir yang mewakili Pengarah Bahagian Warga Emas, JKM dalam ucapannya memberikan sokongan penuh terhadap pelaksanaan program MACK dan mencadangkan agar program ini diperluas ke PAWE lain untuk memberikan manfaat kepada lebih banyak warga emas.

Menurut beliau, program MACK adalah selari dengan dasar warga emas negara yang memfokuskan pembangunan prasarana bagi menyokong penuaan warga emas yang sihat dan aktif kerana Malaysia dijangkakan menjadi negara menua pada tahun 2030.
Sementara itu, Penyelia PAWE Tanjung Karang, Encik Zubari Hussin berkesempatan memberikan maklum balas yang positif terhadap penganjuran program MACK tersebut dengan menyatakan bahawa program ini telah memberikan banyak manfaat kepada warga emas yang merupakan ahli PAWE bukan sahaja dari segi kesihatan dan kesejahteraan kualiti hidup warga emas, malah dapat memberikan keyakinan kepada ahli keluarga yang terlibat untuk menghantar warga emas ke PAWE.

Dalam perkembangan lain, kumpulan penyelidik UKM sedang mengkaji keberkesanan program MACK secara lebih mendalam dengan melakukan kajian perbandingan terhadap empat buah PAWE yang berlainan.
Seterusnya, perbincangan lanjut bersama-sama pihak JKM juga akan dilakukan bagi menilai kebolehlaksanaan program MACK secara meluas untuk membantu meningkatkan kefungsian dan kesejahteraan warga emas di kesemua PAWE di Malaysia.
Turut hadir dalam program berkenaan ialah Penolong Pengarah, Bahagian Warga Emas, JKM, Puan Sabariah Yusuf; Penolong Pegawai Pembangunan Masyarakat, Encik Khairul Hisham Arifin dan ahli dari keempat-empat PAWE yang terlibat.