Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangSejak beberapa dekad kebelakangan ini, industri animasi telah mengalami beberapa fasa perubahan dalam penghasilan sesebuah produksi animasi seiring dengan kepesatan teknologi semasa. Bermula daripada penghasilan animasi secara lukisan tangan sehinggalah kepada teknologi imej janaan komputer atau computer generated imagery (CGI), teknologi memainkan peranan yang besar dalam merevolusikan cara produk animasi itu dihasilkan, ditonton dan seterusnya dijiwai. Evolusi teknologi ini bukan sahaja mencorak aspek teknikal penghasilan karya animasi, malah menambah nilai daya tarikan dan kebolehcapaian yang seterusnya menjadi tunjang kepada dunia hiburan digital masa ini.
Lukisan Tangan
Bermula sekitar awal abad ke-20, penghasilan animasi adalah bersifat intensif buruh kerana penghasilannya yang merumitkan. Para juruanimasi perlu menghasilkan lukisan tangan di atas setiap helaian kertas secara teliti sehinggalah terhasilnya ilusi pergerakan yang dipanggil teknik animasi sel atau animasi tradisional. Setiap helaian yang dilukis secara berturutan ini memerlukan 24 helaian untuk menghasilkan animasi berdurasi satu saat mengikut kadar kerangka atau frame rate filem.
Walaupun memerlukan masa, kemahiran dan kesabaran yang tinggi untuk dihasilkan, namun kaedah ini tetap menjadi penemuan yang penting dalam lipatan sejarah animasi amnya dan yang bercorak dua dimensi (2D) khususnya. Karya filem animasi seperti Snow White and The Seven Dwarfs (tahun 1937) dan Cinderella (tahun 1950) merupakan contoh keberhasilan kaedah ini yang dipelopori oleh studio animasi terkemuka, Walt Disney.
Kemunculan Animasi Komputer
Kemunculan komputer peribadi pada sekitar tahun 1960-an sehingga tahun 1970-an telah mencetuskan satu permulaan era baru dalam pembikinan animasi. Kualiti animasi janaan komputer pada peringkat permulaannya dilihat agak terlalu ringkas dan terhad akibat ketidakmatangan teknologinya. Walaupun demikian, keterbatasan ini sedikit sebanyak telah menjadi asas yang kukuh sebagai pemangkin inovasi selanjutnya.
Pada tahun 1995, Pixar Animation Studios telah berjaya menerbitkan filem berbentuk tiga dimensi (3D) yang pertama, iaitu Toy Story. Filem ini telah membuka mata masyarakat tentang potensi besar animasi janaan komputer yang kelihatan lebih dinamik, realistik dan terperinci dari segi visual yang tidak mampu tercapai melalui kaedah tradisional.
Teknologi Perakam Gerak
Teknologi animasi menjadi semakin matang melalui kemajuan dari segi perkakasan dan perisian animasi 3D. Antara teknologi perkakasan animasi yang menjadi pelopor dalam bidang ini termasuklah teknologi perakam gerak atau motion capture yang mampu merakamkan pergerakan manusia sebenar dan diaplikasikan ke atas watak digital.
Pada tahun 1999, pengarah filem Hollywood tersohor George Lucas berjaya mengadaptasikan teknologi tersebut dalam penghasilan animasi karektor digital Jar Jar Binks dalam filem Star Wars: Episode 1 – The Phantom Menace. Pengarah filem James Cameron seterusnya berjaya membawa teknologi ini pada suatu tahap yang lebih tinggi melalui penghasilan filem Avatar pada tahun 2009 yang berjaya merakamkan pergerakan badan dan memek muka dengan lebih lancar, realistik, ekspresif dan terperinci.
Perisian dan Peralatan Animasi
Pembangunan perisian animasi yang semakin sofistikated telah mewujudkan persaingan yang lebih bersifat demokrasi yang memberikan ruang yang lebih terbuka kepada penggiat animasi dari pelbagai latar demografi. Kewujudan perisian komersial berbayar 2D seperti Adobe Animate, Toon Boom Harmony dan 3D seperti Autodesk Maya, Autodesk 3DS Max yang kebanyakannya diguna pakai oleh studio animasi terkemuka sudah mencapai tahap kematangan dan membolehkan penggiat animasi tempatan untuk menghasilkan kualiti animasi yang setaraf piawaian antarabangsa.
Sementara itu, perisian sumber terbuka yang tidak berbayar seperti Blender juga kini menjadi semakin popular pada peringkat global dan kian mendapat tempat dalam kalangan penggiat animasi tempatan untuk menghasilkan karya animasi secara hobi atau profesional dengan bajet yang lebih berpatutan. Penawaran perisian seumpama ini secara tidak langsung mampu menjimatkan kos penerbitan sesebuah animasi dan menggalakkan pertambahan penggiat baharu dalam industri animasi.
Realiti Maya dan Realiti Terimbuh
Kemunculan realiti maya atau virtual reality (VR) dan realiti terimbuh atau augmented reality (AR) telah merentasi sempadan baharu dalam industri animasi. VR telah memberikan peluang kepada penonton untuk merasai sendiri pengalaman immersive melalui sudut pandang 360 darjah yang tidak mungkin terhasil menerusi media tradisional.
Sementara itu, AR pula berupaya mengintegrasikan elemen animasi dengan dunia nyata secara interaksi dalam aplikasi permainan dan pembelajaran digital. Kematangan teknologi ini secara tidak langsung melonjak batas sempadan penceritaan, sama ada menerusi kualiti penyampaian ataupun pengalaman naratif yang bersifat interaktif dan keterlibatan.
Kecerdasan Buatan
Penggunaan kecerdasan buatan atau artifical intelligence (AI) dalam animasi kian menjadi fenomena baharu yang mencetuskan revolusi dan turut mengundang kontroversi apabila membabitkan etika penghasilan animasi. Perisian bantuan AI ini berkemampuan untuk mengautomasikan pelbagai aspek dalam proses pembikinan animasi seperti menjana pergerakan badan secara realistik dan penghasilan mimik muka yang lebih terperinci dan ekspresif.
Teknologi AI yang dilihat berkembang secara drastik dalam industri kreatif amnya tidak hanya menjimatkan masa dan kos penghasilan sesuatu animasi, malah berupaya memberikan penggiat animasi untuk lebih fokus terhadap aspek lain seperti kreativiti dan kuantiti penghasilan.
Masa Hadapan Animasi
Kesimpulannya, gabungan kecanggihan teknologi dan animasi telah membawa dimensi baharu dalam anjakan kreativiti dan inovasi. Teknologi animasi yang semakin berkembang menerusi fasa evolusi dan revolusi ini secara tidak langsung telah merangsang pertumbuhan industri animasi tempatan dan global.
Persaingan dalam menghasilkan kandungan animasi yang berkualiti kini juga menjadi kian rancak. Menerusi penggunaan AI, penerokaan pengalaman immersive baharu menerusi AR dan VR serta kematangan teknologi perisian animasi yang kian berterusan, masa hadapan industri animasi kini dilihat semakin menyinar merentasi sempadan. Natijah daripada evolusi dan revolusi teknologi, penggiat animasi kini semakin mudah untuk menghasilkan animasi dengan kualiti dan kuantiti tanpa membataskan kreativiti mereka.
Biodata Penulis
Kamal Bahrin Sudin sudah berkecimpung dalam industri animasi 3D lebih daripada dua dekad dan pernah terlibat dalam projek animasi dari pelbagai skala. Sepanjang kerjayanya, beliau pernah berkerja di syarikat pemula, studio animasi berskala sederhana, selain pernah memiliki studio animasi sendiri sehinggalah ke agensi besar korporat dan telah memenangi pelbagai anugerah antarabangsa. Sejak awal kerjayanya, beliau telah menyaksikan perubahan industri animasi negara ketika mula bertapak, diterima ramai dan seterusnya berkembang pada peringkat global seiring dengan perubahan teknologi semasa.
Beliau sering dijemput untuk berkongsi pengalaman dengan menjadi pakar rujuk, panel penilai dan tenaga pengajar profesional dan sambilan di beberapa buah institusi pendidikan tinggi tempatan, termasuklah di luar negara sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk mengajar secara tetap sebagai pensyarah kanan di Taylor’s University.