Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangHutan merupakan ekosistem yang kompleks dan dinamik, yakni pelbagai spesies flora dan fauna saling berinteraksi untuk mewujudkan keseimbangan ekologi dan kestabilan alam sekitar. Dalam ekosistem ini, pokok memainkan peranan yang sangat penting sebagai penyumbang utama dalam proses biologi seperti fotosistesis, kitaran karbon dan penyediaan habitat serta menjadi sumber makanan kepada hidupan liar.
Dirian pokok merujuk komposisi, struktur dan taburan pokok dalam suatu kawasan hutan. Dirian pokok di dalam hutan boleh berubah akibat pelbagai faktor.
Dinamik dirian pokok di dalam hutan pula merujuk perubahan yang berlaku pada dirian ini dari semasa ke semasa akibat pertumbuhan, kematian dan regenerasi pokok. Dinamik dirian pokok secara langsung akan mempengaruhi kesihatan, kestabilan dan fungsi ekosistem hutan.
Faktor yang Mempengaruhi Dinamik Dirian Pokok
Dinamik dirian pokok di dalam hutan dipengaruhi oleh pelbagai faktor yang boleh dikelaskan kepada dua kategori utama, iaitu faktor semula jadi dan faktor antropogenik ataupun faktor yang dipengaruhi oleh perbuatan manusia.
Faktor semula jadi utama yang dilihat memberikan impak yang besar kepada dinamik dirian pokok di dalam hutan ialah perubahan iklim dunia yang menyebabkan kenaikan suhu, perubahan pola hujan serta peningkatan frekuensi dan intensiti kemarau. Peningkatan suhu bumi dan intensiti kemarau dapat meningkatkan kadar kematian pokok di dalam hutan.
Sama seperti manusia, pokok memerlukan air untuk hidup selain gas karbon dioksida, cahaya matahari dan nutrien. Ketiadaan air akan mengganggu proses fisiologi tumbuh-tumbuhan dan menyebabkan tumbuhan mati akibat kegagalan hidraulik dan kebuluran karbon. Apabila keadaan ini berlaku, spesies pokok yang kekurangan daya tahan terhadap perubahan ini berkemungkinan akan mati, manakala spesies yang lebih adaptif akan terus berkembang.
Selain itu, fenomena semula jadi seperti kebakaran, ribut, serangan patogen dan penyakit pada pokok merupakan sebahagian daripada dinamik semula jadi yang mempengaruhi keseimbangan dirian pokok di dalam hutan. Sebagai contohnya, kebakaran membuka ruang untuk spesies yang lebih bertoleransi dengan api untuk tumbuh.
Kejadian ribut pula berupaya mengubah komposisi dirian hutan secara signifikan. Apabila ribut melanda, pokok yang tinggi dan mempunyai kestabilan yang lebih rendah akan tumbang, sekali gus menarik pokok yang berhampiran dengannya. Fenomena ini akan membuka ruang di dalam hutan yang akan memangkin pertumbuhan pokok baharu, terutamanya daripada spesies perintis yang memerlukan keaamatan cahaya yang tinggi untuk tumbuh.
Sebagai contohnya, di Hutan Simpan Sungai Menyala, Port Dickson, Negeri Sembilan, analisis terhadap data jangka panjang daripada plot seluas dua hektar yang ditubuhkan mendapati bahawa ribut telah menyebabkan perubahan yang ketara kepada dirian pokok di hutan tersebut. Bilangan pokok, keluasan pangkal dan isi padu pokok mengalami pengurangan, masing-masing sebanyak 44 peratus, 52 peratus dan 50 peratus. Regenerasi hutan dilihat berlaku di dalam hutan tersebut selepas peristiwa ribut dengan pemerhatian pertambahan bilangan pokok.
Seterusnya, proses penyebaran benih juga memainkan peranan yang penting dalam menentukan regenerasi dan mempengaruhi struktur dirian dan komposisi pokok. Biji benih pokok di dalam hutan disebarkan oleh haiwan, angin dan air. Biji benih yang tersebar dengan baik akan meningkatkan peluang untuk regenerasi dan pertumbuhan pokok baharu, sekali gus dapat mengekalkan kepelbagaian spesies pokok di dalam hutan.
Pokok di hutan hujan tropika di Asia Tenggara lazimnya mengalami satu fenomena unik, iaitu pembungaan secara besar-besaran. Ketika fenomena ini berlaku, kebanyakan spesies pokok daripada keluarga Dipterokarpa bersama-sama 41 keluarga tumbuhan yang lain akan berbunga secara serentak. Fenomena yang berlaku pada selang masa antara satu tahun hingga 11 tahun ini merupakan strategi pokok tersebut dalam memastikan peratusan anak benih untuk bercambah adalah tinggi dan seterusnya menjamin kemandirian spesies tersebut.
Faktor antropogenik seperti pembukaan kawasan hutan untuk pelbagai tujuan juga merupakan satu daripada faktor yang menyebabkan kehilangan dirian pokok secara besar-besaran. Pembukaan hutan untuk ladang atau penebangan haram menyebabkan perubahan drastik dalam kepelbagaian spesies dan mengurangkan keupayaan hutan untuk pulih dengan cepat.
Di samping itu, pencemaran udara, tanah dan air akibat aktiviti manusia turut mengakibatkan pertumbuhan pokok terganggu dan menyebabkan kematian pokok dalam skala yang besar.
Pengurusan hutan yang lestari seperti usaha pemulihan semula hutan atau penghutanan semula dapat mempengaruhi dinamik dirian pokok dengan membenarkan hutan pulih dan mengekalkan keseimbangan ekosistem.
Peranan Dinamik Dirian Pokok dalam Ekosistem Hutan
Pokok bukan sahaja berfungsi sebagai penyedia oksigen melalui proses fotosintesis, malah memainkan peranan penting dalam kitaran karbon, kestabilan tanah, penyediaan habitat dan makanan kepada pelbagai spesies hidupan liar. Dinamik dirian pokok di dalam hutan yang sihat adalah penting untuk memastikan ekosistem hutan terus berfungsi dengan baik.
Dinamik dirian pokok mempengaruhi biodiversiti hutan secara langsung. Komposisi pokok yang berubah-ubah menyediakan pelbagai habitat untuk haiwan dan tumbuhan lain. Sebagai contohnya, spesies pokok yang matang menyediakan naungan dan sumber makanan untuk hidupan liar, manakala pokok yang tumbuh semula mencipta habitat untuk spesies yang bergantung pada tumbuhan muda seperti serangga pemakan daun.
Pokok membantu dalam kitaran nutrien melalui proses pereputan daun dan batang pokok yang mati. Keadaan ini menyumbang kepada pengayaan tanah dan seterusnya mengekalkan kesuburan ekosistem hutan. Selain itu, pokok juga berfungsi untuk menyerap karbon dari atmosfera, sekali gus menjadikannya sebagai penyumbang penting dalam mitigasi perubahan iklim global.
Sementara itu, akar pokok turut memainkan peranan yang besar dalam mengukuhkan tanah, mengurangkan hakisan dan mencegah tanah runtuh, terutamanya di kawasan lereng atau di sepanjang sungai. Apabila dinamik dirian pokok terganggu akibat aktiviti antropogenik seperti pembukaan kawasan hutan atau kebakaran hutan, kestabilan tanah berisiko terjejas, mengakibatkan kemusnahan terhadap ekosistem tempatan serta mengakibatkan bencana yang lebih besar seperti tanah runtuh dan banjir.
Implikasi Perubahan Dinamik Dirian Pokok
Perubahan dinamik dirian pokok memberikan implikasi yang besar terhadap ekosistem hutan. Setiap spesies pokok di dalam hutan mempunyai peranan masing-masing dan hidupan di dalam hutan saling bergantung antara satu sama lain. Perubahan dalam komposisi pokok boleh menjejaskan spesies flora dan fauna lain yang bergantung pada pokok tersebut.
Sebagai contohnya, kajian awal menunjukkan bahawa perubahan iklim dalam jangka masa panjang akan mempengaruhi proses pembungaan pokok di dalam hutan. Kegagalan pokok untuk berbunga dan berbuah akan mengancam kemandirian spesiesnya dan seterusnya menjejaskan hidupan lain yang bergantung pada spesies pokok tersebut sebagai sumber makanan atau tempat tinggal. Rantaian kebergantungan ini akan mengancam keseluruhan ekosistem hutan itu secara amnya.
Di samping itu, perubahan dinamik dirian pokok mampu menjejaskan perkhidmatan ekosistem yang disediakan oleh hutan. Masyarakat sedia maklum bahawa hutan menyediakan pelbagai perkhidmatan seperti penyerap karbon, pusat tadahan air dan penyediaan sumber asli. Perubahan kepada dinamik dirian pokok di dalam hutan boleh mengakibatkan gangguan kepada manusia, terutamanya komuniti yang bergantung pada hutan untuk menjalani kehidupan harian dengan baik.
Dinamik dirian pokok di dalam hutan merupakan proses yang berterusan serta dipengaruhi oleh pelbagai faktor semula jadi dan aktiviti manusia. Pemahaman yang mendalam tentang perubahan dalam dirian pokok bukan sahaja penting untuk mengekalkan biodiversiti dan fungsi ekosistem hutan, malah untuk mengatasi cabaran seperti perubahan iklim dan degradasi hutan. Dinamik dirian pokok dapat dikekalkan untuk kesejahteraan ekosistem global dan kehidupan manusia yang bergantung padanya melalui pengurusan hutan yang lestari dan usaha pemulihan ekosistem yang berkesan.