Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangCerita lama atau dahulu kala atau lebih terkenal disebut sebagai hikayat boleh ditemukan dalam mana-mana bangsa di seluruh dunia. Suatu masa dahulu, hikayat menjadi hiburan kerana pengkisahannya dibaca dengan kuat di hadapan khalayak. Pada masa yang sama, cerita lama ini menjadi pengajaran kepada masyarakat kerana kandungannya menceritakan kisah hidup seseorang atau kejadian penting yang boleh diteladani dalam kehidupan.
Ciri utama bagi sesebuah karya hikayat ialah ceritanya yang panjang dan bersifat warisan, yakni disampaikan dari satu generasi ke satu generasi berikutnya. Format penceritaannya pula lazimnya adalah secara lisan dan selaras dengan pendekatan yang digunakan oleh tukang ceritanya yang digelar penglipur lara.
Kebanyakan kisahnya adalah sangat kuno atas beberapa faktor. Satunya daripadanya ialah plot cerita yang tidak pernah berubah dalam tempoh yang panjang di samping mengandungi unsur atau elemen unik yang bertahan dalam jangka masa lama dan merentasi budaya yang berbeza di semua benua.
Gaya cerita lama atau hikayat ini adalah senang untuk dihayati dan tidak menggesa khalayak untuk membuat pertimbangan dan kesimpulan yang logik dengan segera. Ceritanya menawarkan watak yang penuh dengan aktiviti, peristiwa dan perubahan yang berturutan antara satu sama lain.
Jalan penceritaannya juga mudah, tetapi pada masa yang sama, menjanjikan rahsia dan keajaiban seperti penggunaan frasa “pada zaman dahulu, apabila burung dan haiwan boleh bercakap” dan seterusnya. Cerita lama ini juga turut membawa khalayak ke dunia konsepsi yang membuatkan khalayak berasa tidak sedar bahawa mereka telah terkeluar dari rutin harian, namun masih membenarkan diri mereka memahami logik yang terkandung dalam kisah tersebut dan menghubungkannya dengan realiti kehidupan.
Oleh sebab itu, kisah purba kala ini sering dianggap sebagai warisan intelek sesebuah bangsa atau negara yang tidak pernah menjadi lapuk, tetapi sentiasa menawan emosi dengan kesederhanaan, imej yang menangkap dan falsafah yang mendalam. Sungguhpun begitu, tidak ramai yang memikirkan kandungan cerita sebegini atau memberikan perhatian dan mengambil berat, sama ada dari sudut aspek etikanya mahupun dari sumber pelbagai jenis pengetahuan, termasuklah ilmu matematik.
Dengan sebab demikian, hikayat atau kisah dahulu kala ini jarang-jarang mendapat tempat dalam pembelajaran kontemporari, termasuklah bidang matematik dalam pelbagai tahap pendidikan bermula dari peringkat prasekolah hinggalah menengah atas kerana kandungannya tidak dinilai sepenuhnya.
Sebetulnya, dalam kisah seperti itulah imaginasi begitu mudah berkembang, termasuklah tanggapan dan kaitannya dengan matematik. Ungkapan yang digunakan dan penyelesaian dalam situasi yang berbeza-beza sebagaimana yang dipersembahkan dalam kisah tersebut semuanya mempunyai hubungan dengan matematik.
Kajian yang dijalankan oleh ahli akademik Latvia yang bernama Ambainis dan Feldhūne pada tahun 1955 yang bertajuk “Latviešu tautas pasakas. Izlase” yang diterbitkan oleh Zinātņu akadēmijas izdevniecība, Rīga sebagaimana yang dikutip oleh Rudite Andersone dalam jurnal berjudul Through Fairy-Tales to Math in The Lessons yang diterbitkan oleh Acta Didactica Napocensia pada tahun 2009 mendapati bahawa kisah dahulu kala boleh dibahagikan kepada tiga jenis, iaitu dongeng keajaiban, dongeng haiwan dan dongeng dalam negeri.
Apa pun, analisis kandungan cerita dongeng ini membawa kepada kesimpulan bahawa semua jenis dongeng mengandungi tanggapan dan kaitan matematik apabila dongeng keajaiban didapati mendahului yang lain. Antara unsur atau elemen matematik yang terkandung dalam cerita seperti ini adalah seperti yang berikut:
Pertama, seorang anak lelaki berjalan sehingga sampai di persimpangan jalan. Di sana, dia perlu memilih jalan mana yang hendak dilalui.
Jika dia menoleh ke kanan, dia akan terserempak dengan beberapa peristiwa, manakala jika dia menoleh ke kiri, dia akan mengalami peristiwa yang agak berbeza. Namun begitu, jika dia pergi terus, maka dia akan berhadapan dengan beberapa peristiwa lain yang akan menantinya di sana.
Maka itu, anak tersebut ditawarkan dengan tiga syarat dan dia perlu memilih satu daripadanya. Di sini, kisah ini memberikan perwakilan kiasan yang dapat dilihat dengan jelas yang membentuk asas teori kebarangkalian.
Kedua, cerita dongeng yang dengan nyata mencerminkan kesalinghubungan antara saiz dengan ukuran yang digunakan dalam dimensi yang berbeza. Misalnya, saiz atau ukuran ibu jari digunakan bagi menggambarkan watak utama dalam kisah dongeng terkenal di Barat seperti Thumbeling atau Thumbelina yang menyatakan ukuran satu inci bagi menggambarkan ketinggian watak Tom Thumb dan sebagainya.
Ketiga, ungkapan dan perkembangan plot cerita dongeng yang boleh disusun mengikut bahagian matematik sebagaimana yang terkandung dalam kisah dongeng Latvia yang terkenal, iaitu Bear-Ears yang mengemukakan tanggapan “kumpulan”. Dalam kisah ini, terdapat tiga jenis kumpulan yang boleh disebut sebagai kumpulan dengan bilangan unsur yang pasti, kumpulan unsur tidak terbilang dan kumpulan yang tidak mengandungi unsur (kumpulan kosong).
Keempat, cerita dongeng yang mengungkapkan tanggapan matematik dalam bentuk asas aritmetik, algebra, geometri dan teori berangka sebagaimana yang boleh didapati dalam kisah dongeng popular Barat seperti Little Red Riding Hood, The Cat in Boots dan sebagainya. Sebagai contohnya, dalam kisah The Cat in Boots, penggunaan jujukan diketengahkan seperti anak lelaki sulung; anak lelaki kedua; adik bongsu; dan seterusnya. Penggunaan lokasi berunsurkan geometri juga ada diungkapkan dalam kisah tersebut seperti “di bawah batu besar” atau “dalam”.
Kelima, pendekatan teori nombor yang dilihat sering digunakan secara klise yang kerap dikaitkan dengan nombor “tiga”, misalnya tiga bersaudara atau bilangan seperti dua belas perompak atau empat puluh orang penyamun atau anak gadis yang berjalan melewati ketiga-tiga bilik satu demi satu.
Keenam, fungsi atau keselarasan fungsi dalam situasi yang menggambarkan fakta atau logik akal. Contohnya, lebih pendek tubuh wira yang ditonjolkan dalam kisah dongeng itu, maka lebih berani orang itu memenangi pertarungan atau juga dalam kesimpulan bahawa semakin kurang khalayak sasaran menyebut kejahatan atau keburukan sesuatu watak, maka semakin cepat khalayak itu mendapat manfaat daripada kisah yang disampaikan.
Ketujuh, unsur geometri yang diekspresikan dalam memberikan penerangan tentang sesuatu objek dan fenomena seperti bukit yang curam, untuk mengelilingi laut, untuk berjalan di seluruh kerajaan dan sebagainya.
Dalam alam Melayu, terdapat banyak cerita rakyat yang memuatkan pelbagai unsur matematik dalamnya. Satu daripadanya ialah Hikayat Awang Sulung Merah Muda. Unsur matematik yang boleh ditemukan dalam hikayat ini adalah berdasarlah teks lisan Pawang Ana dengan bantuan Raja Haji Yahya yang didokumentasikan oleh R.O. Winstedt dan A.J. Sturrock yang diterbitkan oleh Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd. pada tahun 1995 yang dijelaskan dalam jadual seperti yang berikut:
Jadual 1 Unsur ukuran dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Jadual 2 Unsur masa dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Jadual 3 Unsur nombor dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Jadual 4 Unsur nombor dan kebarangkalian dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Jadual 5 Unsur koheren dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Jadual 6 Unsur operasi dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.
Jadual 7 Unsur logik dan arah dalam Hikayat Awang Sulung Merah Muda.