Diterbitkan pada 10 November 2024, 09:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Yan – Dalam usaha mempromosikan kelestarian di Kampung Raga, program Nadi Lestari 1.0 anjuran Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dengan kerjasama E-Idaman Sdn. Bhd. (EISB) telah diadakan selama dua hari, bermula pada 8 November 2024 hingga 9 November 2024.

Program yang dirasmikan oleh Dekan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, UKM, YBrs. Profesor Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab itu telah disertai oleh 150 orang peserta yang terdiri daripada penduduk tempatan, pelajar FKAB serta pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Yan, Sekolah Kebangsaan Langkasuka dan beberapa sekolah lain di sekitar Kampung Raga.

“Kampung Raga berpotensi untuk dijadikan sebagai Kem Rahsia Alam ketiga FKAB, sekali gus membuka peluang kepada pelajar antarabangsa untuk mengenali budaya Malaysia melalui program keluarga angkat,” kata YBrs. Profesor Ir. Dr. Mohd Syuhaimi Ab ketika merasmikan program berkenaan.

Tambah beliau, program seumpama ini dapat menyemai kesedaran tentang kepentingan kelestarian alam sambil membina hubungan yang erat antara komuniti dengan institut pengajian tinggi.

Ujar beliau,

Program Nadi Lestari 1.0 diharapkan dapat memberikan impak yang positif kepada komuniti Kampung Raga dan menjadi pencetus semangat kepada semua pihak untuk memperluas amalan kelestarian.

Katanya, kelestarian bukan sahaja tentang menjaga alam, tetapi mendidik masyarakat untuk bersama-sama mencipta masa hadapan yang lebih baik.

Sepanjang program tersebut berlangsung, pelbagai aktiviti telah dijalankan termasuklah aktiviti kitar semula, pengomposan Bokashi, gotong-royong serta aktiviti STEM FKAB seperti “Profesor ke Desa” dan “IG-Home”.

Sesi taklimat mengenai teknik pengomposan Bokashi dengan menggunakan sisa makanan.
Program STEM FKAB bersama-sama murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah di sekitar Yan.

Antara aktiviti utama dalam program itu ialah aktiviti gotong-royong bagi menceriakan kampung berkenaan dan pembinaan Taman Nadi Lestari yang kini menjadi pusat tarikan komuniti.

Pada masa yang sama, EISB turut menyediakan sangkar kitar semula bagi memudahkan penduduk di Kampung Raga mengitar semula sisa, selain pertandingan kutipan barangan kitar semula yang menawarkan hadiah menarik kepada penduduk yang mengumpulkan barangan kitar semula yang paling banyak.

Selain itu, program tersebut turut memperkenalkan teknik pengomposan Bokashi yang memberikan penyelesaian mesra alam untuk menangani sisa dapur organik.

Para peserta juga berpeluang mempelajari cara untuk membina tong kompos dan teknik pengasingan sisa organik yang betul untuk mengurangkan sisa yang tidak diperlukan melalui aktiviti “IG-Home” yang menekankan elemen kelestarian dan mendidik komuniti tentang kaedah yang praktikal dan mudah dilaksanakan.

Program STEM “Profesor ke Desa” pula adalah antara aktiviti interaktif untuk kanak-kanak seperti mewarna dan menghias bingkai lampu yang bukan sahaja menyeronokkan, malah berupaya menyemai pemahaman awal mengenai kreativiti dan pelestarian.

Sekitar perasmian Taman Nadi Lestari UKM–EISB.

Dari segi perancangan sebagai siri tahunan, pihak penganjur merancang untuk melaksanakan Program Nadi Lestari 2.0 dengan skala yang lebih besar pada tahun hadapan untuk terus menyebarluaskan mesej kelestarian pada peringkat komuniti.

Turut hadir dalam program berkenaan ialah Pengurus Unit Perkhidmatan Idaman Yan, Encik Mohd Abd Khodeer Abd Moin; Pemangku Ketua Jabatan Komunikasi Korporat EISB, Puan Cik Embun Majid; Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan, Industri dan Masyarakat, UKM, YBrs. Profesor Madya Ts. Dr. Siti Aminah Osman; Pengarah Program Nadi Lestari 1.0, YBrs. Ts. Dr. Abdullah Amru Indera Luthfi serta tenaga pengajar FKAB, YBrs. Dr. Iszan Hana Kaharudin, YBrs. Dr. Mohd Hafiz Baharuddin, YBrs. Ts. Dr. Aizat Mohd Taib, YBrs. Sr. Ts. Dr. Noraini Hamzah dan YBrs. Dr. Azreena Abu Bakar.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi