7 November 2024, 19:22

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur –  Penduduk di Malaysia yang semakin menua memberikan cabaran besar kepada sistem penjagaan kesihatan kerana apabila seseorang itu meningkat usia, risiko untuk mengalami masalah mata seperti mata kering, katarak, glaukoma dan degenerasi makula yang berkaitan dengan usia adalah tinggi.

“Pengesanan awal dan rawatan yang tepat adalah penting dalam menguruskan keadaan ini bagi mencegah kehilangan penglihatan,” ujar Pengerusi Bengkel “Slit Lamp by Structures” merangkap klinisian dalam Program Optometri dan Sains Penglihatan, Puan Faten Nasihah Mohamad dalam Bengkel “Slit Lamp by Structures” anjuran Program Optometri dan Sains Penglihatan, Fakulti Sains Kesihatan (FSK), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

“Bengkel ini ialah satu daripada usaha berterusan pihak penganjur untuk meningkatkan piawaian penjagaan mata di Malaysia kerana dengan adanya peningkatan kemahiran pengamal penjagaan mata, maka populasi yang menua di negara ini dapat menerima penjagaan terbaik untuk memelihara penglihatan dan kualiti hidup mereka,”

Menurut beliau,

Slit lamp merupakan instrumen oftalmik yang membolehkan pengamal penjagaan mata memeriksa kesihatan struktur mata dari kornea (bahagian hadapan mata) ke retina (bahagian belakang mata).

Bengkel berkenaan diadakan untuk meningkatkan pemahaman mengenai kemampuan fungsi slit lamp secara teori dan praktikal dan disertai oleh ahli optometri, pihak industri oftalmik, pelajar pascasiswazah dan prasiswazah.

“Dengan mendalami selok-belok penggunaan alat diagnostik ini, ahli profesional dalam bidang optometri dan sains penglihatan mampu memberikan perkhidmatan penjagaan mata kepada masyarakat dengan lebih baik,” jelas beliau lagi.

Sesi demonstrasi penggunaan slit lamp ketika pemeriksaan mata.

Bengkel yang diadakan itu merangkumi topik dari aspek pengoperasian asas hinggalah teknik lanjutan seperti melakukan pemeriksaan segmen anterior mata, menggunakan magnifikasi dan pencahayaan yang berbeza serta merekod dapatan pemerhatian yang diperoleh melalui slit lamp.

Beliau juga menyatakan bahawa bengkel ini turut membolehkan pengamal penjagaan mata menawarkan pemeriksaan mata yang lebih teliti dengan penggunaan slit lamp yang mampu meningkatkan ketepatan diagnosis serta membantu meningkatkan kesedaran orang ramai tentang kepentingan pemeriksaan mata secara berkala.

Peserta menjalankan sesi praktikal dengan menggunakan slit lamp untuk pemeriksaan segmen anterior mata.

Tambah beliau,

Penguasaan terhadap penggunaan slit lamp dapat memastikan landskap penjagaan kesihatan mata di Malaysia berkembang dengan lebih baik, sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat daripada segenap lapisan umur.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.