Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangStrobilanthes crispa (L.) Blume ialah sejenis tumbuhan herba ubatan daripada famili Acanthaceae. Spesies ini dipanggil “pecah kaca” atau “pecah beling” kerana bunyi daunnya apabila diramas seperti kaca yang pecah.
Nama tempatan atau nama vernakular lain bagi S. crispa ialah jin batu (Malaysia), enyoh kilo, keci beling atau kejibeling, pokok batu karang (Indonesia), sambung getah, (Jawa), remek, reundeu beureum (Tanah Pasundan) dan hei mian jiang jun (China).
Tumbuhan ini berasal dari Madagaskar dan corak taburan spesies ini bermula dari Madagaskar, Jawa, Indonesia dan Malaysia. Spesies tumbuhan ini mudah membiak di tempat terbuka, kawasan tanah rendah, belukar, tepian sungai dan kawasan terbiar, selain sesuai ditanam di dalam pasu. Pokok pecah kaca boleh hidup di kawasan yang kurang mendapat cahaya matahari.
Spesies ini merupakan pokok herba yang tumbuh menegak dengan ketinggian yang boleh mencapai hingga dua meter tinggi. Daunnya agak keras, tersusun secara setentang dan berpasangan, berbentuk oval–elips–oblong dengan tepi daun bergigi. Ukuran daunnya kira-kira lima sentimeter hingga lapan sentimeter kali dua sentimeter hingga lima sentimeter.
Pangkal daunnya berbentuk kuneat, manakala apeks daun ini berbentuk tirus. Daun spesies ini juga mempunyai bulu atau trikom halus pada permukaan daun.
Daun pecah kaca berwarna hijau muda hingga hijau gelap jika sudah tua serta berkilat. Daun ini juga bergerigi pada bahagian tepi daun dan mempunyai permukaan yang kasar.
Spesies ini mempunyai pembungaan jenis spika padat yang pendek. Bunganya merupakan brakta yang merupakan pengubahsuaian daripada daun.
Buahnya jenis kapsul dengan ukuran 11 sentimeter panjang. Batangnya pula berwarna keunguan semasa muda dan bertukar kepada warna coklat apabila sudah matang.
Pecah kaca merupakan tumbuhan saka hijau yang telah lama dan banyak digunakan dalam rawatan tradisional kerana kehadiran bahan fitokimia yang berpotensi sebagai ubat-ubatan. Spesies ini diketahui mengandungi beberapa sebatian kimia dan bioaktif seperti flavonoid, asid fenolik, alkaloid dan glikosida–ester yang memberikan kesan terhadap sifat farmaseutikal. Walau bagaimanapun, kajian terdahulu melaporkan bahawa keadaan persekitaran mempunyai kesan yang besar terhadap kandungan dan komposisi fitokimianya.
Amalan perubatan tradisional yang menggunakan pecah kaca dilakukan dengan cara meminum air rebusan daun pecah kaca. Kaedah rawatan ini biasanya dilakukan untuk membantu dalam rawatan darah tinggi, buah pinggang dan kencing manis. Spesies ini juga pernah digunakan dalam rawatan tradisional untuk rawatan antidiabetik, diuretik, antilytic, merawat luka dan dijadikan julap.
Satu daripada cara penyediaan air rebusan daun pecah kaca dalam kaedah perubatan tradisional yang diamalkan oleh sesetengah masyarakat Melayu di Malaysia adalah seperti yang berikut:
Pecah kaca terbukti secara saintifik mempunyai sifat antioksidan yang tinggi untuk mengelakkan kanser. Tumbuhan ini juga selalunya dijadikan teh herba. Kandungan antioksidan dan polifenol yang terdapat dalam ekstrak tumbuhan ini berkemungkinan menyumbang kepada sifat antihiperglisemik dan antilipidemik.
Pecah kaca telah menarik minat banyak penyelidik untuk mengkaji kesan etnofarmakologi spesies tumbuhan ini dalam perubatan. Terdapat kajian mengenai kesan antidiabetik dan antihiperglisemik yang terdapat pada spesies ini pada tikus makmal.
Hasil kajian menunjukkan bahawa ekstrak teh pecah kaca mengurangkan aras glukosa darah dalam tikus hiperglisemik. Untuk tikus biasa pula, kehadirannya memperbaik kandungan lemak dalam badan tikus. Kajian lanjut perlu dijalankan dalam persekitaran praklinikal dan klinikal untuk membuktikan keberkesanannya pada manusia.
Selain itu, melalui kajian kes pembenihan in vitro dan in vivo didapati bahawa pokok pecah kaca dapat merencatkan pertumbuhan sel kanser seperti sel kanser kolon, sel kanser hati dan sel kanser payu darah dengan mengamalkan meminum air rebusan daripada ekstrak daun spesies ini. Daunnya dikatakan mengandungi sejumlah besar sebatian fenolik yang memainkan peranan sebagai pemusnah radikal yang dapat meningkatkan keupayaannya untuk membasmi tindak balas tekanan oksidatif.
Di samping itu, ekstrak daripada spesies tumbuhan ini yang dibuktikan oleh kajian terdahulu boleh dimanfaatkan dalam rawatan kanser, diabetes, jaundis, ulser dan buasir. Namun begitu, orang awam perlu mengambil perhatian bahawa beberapa kesan terapeutik daripada kegunaan perubatan tradisional tumbuhan ini pada masa ini tidak disokong atau disahkan oleh penyelidikan saintifik. Kajian yang lebih teliti haruslah dijalankan terlebih dahulu sebelum digunakan secara komersial dalam industri ubatan herba.
Jadual 1 Ringkasan potensi ubatan bagi pecah kaca berdasarkan kajian dan pengamalan ubatan tradisional terdahulu.
Daun pecah kaca juga merupakan spesies yang boleh dimakan. Daunnya boleh dijadikan sebagai ulam setelah direbus atau disajikan sebagai sayuran. Walaupun rasanya agak pahit, tetapi khasiatnya dipercayai boleh membantu dalam penjagaan kesihatan.
Selain digunakan sebagai ulaman, pecah kaca juga sering digunakan sebagai tanaman hiasan di kawasan perumahan, di tepi jalan, di dalam bangunan kedai, pejabat dan sebagainya. Daunnya yang memiliki kombinasi warna yang menarik, iaitu hijau tua dengan keunguan menjadikan spesies ini merupakan pilihan popular untuk memperindah halaman dan taman.
Tanaman ini juga tahan terhadap cuaca panas dan mudah dirawat, diurus dan dikendalikan, lalu menyebabkannya sesuai dijadikan sebagai tanaman hiasan. Namun demikian, walaupun banyak manfaatnya, penggunaannya sebagai ubat herba masih memerlukan penyelidikan secara saintifik dan nasihat daripada pakar perubatan untuk memastikan keselamatan pengguna.