Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangKuala Lumpur – Di bawah inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) Fasa 1, sehingga 30 September 2024 bagi negeri Sarawak, sebanyak 524 daripada 902 menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi, manakala 4376 daripada 4386 stesen pemancar sedia ada berjaya dinaik taraf.
Selain itu, 151,695 daripada 207,135 premis telah tersedia dengan capaian gentian optik dan kesemua 523 lokasi kini menikmati perkhidmatan Internet menggunakan teknologi satelit berasaskan Broadband Wireless Access (BWA).
Perkembangan ini dimaklumkan oleh Timbalan Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Teo Nie Ching, dalam jawapan beliau kepada soalan daripada Ahli Parlimen Julau di Dewan Rakyat semasa Mesyuarat Ketiga, Penggal Ketiga.
Secara khusus bagi Parlimen Julau, sebanyak lima menara komunikasi baharu telah siap dibina dan beroperasi, manakala 43 stesen pemancar sedia ada telah dinaik taraf. Sejumlah 952 premis kini tersedia dengan capaian gentian optik dan 46 lokasi telah dapat menikmati perkhidmatan Internet menggunakan teknologi BWA di bawah inisiatif Pelan JENDELA Fasa 1.
“Selain itu, sebanyak 43 lokasi juga telah dikenal pasti dalam kawasan Parlimen Julau untuk dinaik taraf secara berperingkat sehingga penghujung tahun 2025,” tambah beliau lagi.
Selain daripada inisiatif Pelan JENDELA, Kerajaan Negeri Sarawak melalui kerjasama dengan Sarawak Multimedia Authority (SMA) dan Sarawak Digital Economy Corporation Berhad (SDEC) sedang melaksanakan program pembinaan 600 menara baharu (SMART 600) bagi menambah baik liputan Internet di Sarawak.
Sehingga 30 September 2024, sambungan Internet di 19 lokasi telah dipertingkatkan melalui pembinaan menara baharu yang telah siap beroperasi, sementara 25 buah menara lagi masih dalam peringkat pelaksanaan di bawah inisiatif SMART 600 di kawasan Parlimen Julau.
YB Teo Nie Ching juga menyatakan bahawa pihaknya akan menyerahkan senarai 70 lokasi di bawah JENDELA Fasa 1 dan SMART yang memerlukan peningkatan sambungan Internet kepada Ahli Parlimen Julau selepas sesi soal jawab.
“Kerajaan, melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), komited untuk terus menambah baik perkhidmatan Internet dan infrastruktur komunikasi di seluruh negara,” ujar YB Teo Nie Ching.
Tambah beliau lagi, berdasarkan aduan yang diterima daripada orang ramai serta dapatan oleh MCMC mengenai isu liputan, beberapa penambahbaikan akan dilakukan, termasuk mengenal pasti lokasi yang sesuai untuk dimasukkan dalam JENDELA Fasa 2.
“MCMC turut meneliti teknologi baharu, termasuk direct-to-device yang menggunakan teknologi satelit Low Earth Orbit (LEO) bagi menyediakan perkhidmatan Internet untuk penduduk di luar bandar dan kawasan pedalaman.”
MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan, khususnya Kementerian Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak, Jabatan Tanah dan Survei serta SMA melalui pelbagai sesi mesyuarat, bengkel dan lawatan tapak sebagai kaedah fasilitasi untuk menyelesaikan isu dan cabaran di lapangan bagi memastikan perancangan berjalan lancar.