Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBangi – Dalam usaha untuk melatih pemimpin yang berketerampilan, berupaya mengurus dan seterusnya menyokong sektor keselamatan nuklear global dalam kalangan peserta pascasiswazah, Kursus Pendidikan Perlindungan Sinaran dan Keselamatan Sumber Sinaran ke-18 atau 18th Post Graduate Educational Course on Radiation Protection and Safety of Radiation Sources (PGEC) telah diadakan di Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia), baru-baru ini.
Peserta yang merupakan pegawai profesional muda dan terlibat sepenuhnya dalam bidang sinaran dari lebih 19 buah negara Asia serta rantau Pasifik bukan sahaja dilatih untuk menghadapi situasi kecemasan, malah didedahkan kepada pengurusan komunikasi krisis yang berkesan, sekali gus membolehkan para peserta dapat bersedia dari aspek penyelarasan maklumat yang jelas, tepat dan cekap dalam menghadapi situasi genting serta tekanan yang tinggi, misalnya kemalangan loji nuklear.
Tiga orang ahli panel undangan, iaitu Puan Habibah Adnan, Puan Norzehan Ngadiron dan YBrs. Dr. Haizum Ruzanna Sahar dari Nuklear Malaysia merangkap komunikator nuklear dipertanggungjawabkan untuk melatih dan membimbing para peserta dalam latihan simulasi tersebut.
“Kami ingin memastikan para peserta pascasiswazah PGEC tidak hanya menguasai teori semata-mata, tetapi bersedia dari segi praktikal dalam menghadapi situasi sebenar,” kata Puan Habibah Adnan ketika menyampaikan sesi taklimat.
Tambah beliau, komunikasi krisis berkesan merupakan kunci utama dalam penyelesaian konflik serta teknik komunikasi yang efektif dan penggunaan media yang tepat ialah elemen penting untuk memastikan ketelusan maklumat kepada orang awam.
Menerusi sesi latihan simulasi tersebut, peserta telah dibahagikan kepada beberapa kumpulan untuk menyelesaikan senario yang diberikan dalam tempoh yang ditetapkan.
Jelas beliau, senario yang diberikan kepada setiap kumpulan adalah berbeza bagi melihat kreativiti para peserta dalam mengaplikasikan teori mengenai Pelan Persediaan dan Tindak Balas Kecemasan dan strategi komunikasi yang telah dipelajari sebelumnya.
Sejak tahun 2000, Malaysia telah berjaya melatih lebih daripada 972 orang peserta antarabangsa di seluruh dunia dalam pelbagai program yang dianjurkan.
Kerjasama strategik Agensi Atom Antarabangsa dan Kerajaan Malaysia menerusi Nuklear Malaysia, khususnya dalam penganjuran kursus PGEC berhasil memperkukuh pelaksanaan piawaian keselamatan antarabangsa dan seterusnya memantapkan bidang perlindungan radiologikal pada peringkat global.