Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangBangi – Persidangan Antarabangsa Nuklear, Sains dan Teknologi (INUSTEC 2024) anjuran Persatuan Nuklear Malaysia di Danau Golf Club, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bertujuan untuk mempromosikan dan menggalakkan percambahan ilmu, pertukaran maklumat, perkongsian idea dalam kalangan penyelidik, pensyarah, pemain industri dan pelajar dalam bidang nuklear dan tenaga.
Program yang diadakan selama tiga hari bermula pada 14 Oktober 2024 hingga 16 Oktober 2024 itu adalah selari dengan matlamat Dasar Teknologi Nuklear Negara 2030 yang telah dilancarkan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Yang Berhormat Tuan Chang Lih Kang pada 20 September tahun lalu.
“Pelbagai strategi dan inisiatif yang digariskan dalam pelan tindakan dasar dapat membina ekosistem teknologi nuklear yang berdaya tahan serta meletakkan asas yang kukuh untuk menggalakkan penggunaan teknologi nuklear yang selamat dan bertanggungjawab di Malaysia,” kata Presiden Persatuan Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Abdul Aziz Mohamed ketika berucap dalam program tersebut.
Tambah beliau, persidangan berkenaan dianjurkan untuk memperkukuh kerjasama dan pertukaran pengetahuan dalam bidang sains nuklear dan teknologi kerana sains nuklear dipercayai berpotensi untuk menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi, menyelesaikan krisis tenaga dan meningkatkan kualiti hidup masyarakat.
Sepanjang program tersebut berlangsung, sebanyak 59 kertas kerja penyelidikan dibentangkan yang melibatkan penyertaan dari pelbagai universiti, industri dan institusi termasuklah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa.
Antara tema pembentangan yang menjadi tumpuan adalah berkaitan dengan aplikasi sains nuklear dalam bidang perubatan, alam sekitar dan small modular reactor (SMR).
Selain itu, pertandingan nuclear youth competition (NYC) yang melibatkan wakil mahasiswa dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM), UKM dan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) turut diadakan.
Sebanyak 19 orang mahasiswa telah menyertai pertandingan tersebut yang memerlukan kreativiti mereka untuk mempersembahkan idea dan kajian berfokuskan teknologi baharu dalam bidang nuklear seperti SMR, kecerdasan buatan dan sebagainya.
Pihak yang turut bersama-sama dalam penganjuran program tersebut ialah Institute of Nuclear Engineer, iaitu badan bukan kerajaan yang bernaung di bawah Persatuan Nuklear Malaysia yang mengumpulkan graduan dalam bidang Kejuruteraan Nuklear di seluruh Malaysia bagi mempersiapkan tenaga mahir dan profesional jurutera nuklear.