Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 14 Oktober 2024, 11:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur — Rangkaian Tenaga ASEAN (APG) berperanan penting dalam memacu peralihan tenaga di seluruh rantau, lalu menjadikannya sebagai tonggak utama dalam usaha ASEAN mencapai sasaran pelepasan karbon sifar bersih (net-zero carbon emission).

Projek kerjasama ini bertujuan mengintegrasikan sumber tenaga boleh baharu di seluruh Asia Tenggara bagi memastikan keselamatan tenaga, kemampuan dan kelestariannya untuk jangka masa panjang.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Tenaga Nasional Berhad (TNB), YBhg. Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan ketika berucap di sesi pleno pembukaan persidangan “Membentuk Peralihan Tenaga Serantau – Dari Malaysia ke Dunia” menekankan pentingnya pendekatan tenaga yang seimbang.

Beliau juga mengetengahkan keperluan untuk menangani dilema tiga penjuru tenaga (energy trilemma) — kelestarian, keselamatan tenaga dan kemampuan — yang terus menjadi rangka kerja kritikal dalam pembangunan dasar tenaga di ASEAN.

“Letusan tenaga boleh baharu dalam kapasiti penjanaan tenaga akan membantu kita mencapai sasaran pelepasan sifar bersih yang telah dipersetujui oleh negara-negara ASEAN, termasuklah Malaysia, kata YBhg. Datuk Ir. Megat Jalaluddin.

Negara-negara ini sedang berhadapan dengan dilema tiga penjuru tenaga, di mana pembuat dasar perlu mengimbangi kelestarian, keselamatan bekalan tenaga dan kemampuan menghasilkan tenaga bersih.

Beliau menekankan bahawa ASEAN mempunyai kedudukan yang baik dalam menerajui penjanaan tenaga boleh baharu seperti negara seperti Vietnam dan Laos  yang memanfaatkan tenaga hidro, serta Malaysia dan Indonesia yang memanfaatkan tenaga solar.

Menurut beliau, APG membolehkan negara anggota berkongsi sumber, sekali gus membina pasaran tenaga yang kompetitif di rantau ini.

“Rangkaian Tenaga ASEAN menawarkan peluang strategik untuk mendemokrasikan penjanaan dan pengagihan tenaga di kalangan negara anggota, dan memberikan manfaat bersama kepada semua,” tambah beliau. 

Penyelarasan rangka kerja peraturan di seluruh ASEAN adalah penting bagi kejayaan rangkaian ini, memandangkan setiap negara beroperasi menggunakan rangka dasar masing-masing. Menyelesaikan perbezaan ini adalah kunci untuk membuka potensi penuh APG.

Mengukuhkan pandangan YBhg. Datuk Megat Jalaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy Berhad, YBhg. Datuk Sharbini Suhaili, menekankan kepentingan memanfaatkan sumber semula jadi ASEAN untuk tenaga hijau di samping menegaskan bahawa kerjasama dalam rantau ini adalah penting bagi mencapai matlamat penyahkarbonan.

“Walaupun banyak negara ASEAN telah menetapkan rangka kerja dan sasaran penyahkarbonan, adalah penting bagi kita untuk memanfaatkan sumber semula jadi dan berdagang dalam kalangan anggota ASEAN bagi mencapai sasaran ini secara kolektif,” kata YBhg. Datuk Sharbini.

Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Tenaga Malaysia, YBhg. Dato’ Ir. Ts. Razib Dawood, turut berkongsi pandangan ini dengan menekankan potensi besar ASEAN dalam tenaga boleh baharu seperti solar, angin dan hidro.

Beliau menyatakan bahawa projek tenaga boleh diperbaharui ASEAN berada dalam kedudukan yang baik untuk menarik pelaburan, dengan potensi untuk mewujudkan 5.8 juta pekerjaan baharu di seluruh rantau ini menjelang tahun 2050.

“ASEAN boleh menerajui inovasi teknologi, terutamanya dalam tenaga hijau, dengan membina rangka kerja tenaga rentas sempadan bagi berkongsi sumber tenaga boleh baharu,” kata YBhg Dato’ Razib.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Encik Anwar Syahrin Abdul Ajib mengakui kerumitan yang terlibat dalam peralihan tenaga, terutamanya apabila melibatkan pelbagai negara.

Beliau menekankan bahawa walaupun inovasi adalah penting, menguruskan gangguan dan cabaran teknikal adalah sama penting.

“Transformasi tenaga ialah perjalanan yang panjang dan dalam dunia yang penuh dengan kawalan terhadap inovasi, kita perlu menangani keupayaan teknikal untuk menyokong permintaan tenaga yang semakin meningkat, terutamanya dengan kehadiran pusat data dan kemasukan industri baharu yang memerlukan lebih banyak penggunaan tenaga,” kata Encik Anwar Syahrin. 

Presiden GE Gas Power untuk Asia, Encik Ramesh Singaram menyimpulkan sesi pleno dengan menggesa tindakan segera terhadap perubahan iklim.

“Generasi akan datang pasti akan bertanya: ‘Adakah kita bertindak dengan cukup pantas? Adakah kita telah berbuat cukup?’ Dekad lalu adalah mengenai memahami krisis iklim, tetapi dekad seterusnya mestilah tentang tindakan dan kerjasama,” kata Encik Ramesh.

Persidangan selama tiga hari di Enlit Asia 2024 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) ini menyaksikan perbincangan yang rancak mengenai usaha ASEAN untuk mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang tahun 2050.

Sesi panel meneroka pelbagai tema, termasuklah integrasi tenaga boleh baharu, meningkatkan daya tahan grid dan kepentingan kerjasama serantau dalam mempercepatkan peralihan tenaga.

Dengan ASEAN terus bergerak ke arah matlamat iklimnya, kejayaan projek seperti APG akan menjadi kunci dalam memastikan rantau ini bukan sahaja mencapai sasaran penyahkarbonannya, tetapi juga mewujudkan masa hadapan tenaga yang mampan, selamat dan mampu milik untuk semua.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi