Diterbitkan pada 12 Oktober 2024, 16:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Perlis (JKNP) telah menganjurkan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Perlis 2024 di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis, hari ini.

Program berkenaan telah dirasmikan oleh Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Perlis, YBrs. Dr. Ghazali Chik.

Majlis perasmian Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Perlis 2024 telah dirasmikan oleh YBrs. Dr. Ghazali Chik di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

“Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia pada 10 Oktober setiap tahun merupakan usaha kerajaan untuk memantapkan pengetahuan dan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan penjagaan kesihatan mental,” kata Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika menyampaikan ucapannya.

YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika menyampaikan ucapannya bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Perlis 2024 di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Menurut beliau, kesihatan mental ialah hak asasi bagi setiap individu untuk dilindungi daripada risiko kesihatan mental serta akses kepada penjagaan yang berkualiti, boleh diterima dan penyertaan dalam komuniti.

Beliau juga berkata, program yang bertemakan “Utamakan Kesihatan Mental di Tempat Kerja“ ini adalah relevan dengan situasi yang dihadapi oleh para pekerja yang merangkumi aspek kesejahteraan emosi psikologi dan sosial.

Kata beliau,

Persekitaran kerja yang tidak sihat atau tidak kondusif boleh menyumbang kepada pelbagai kesan negatif, menjejaskan kesihatan mental, mengganggu kehidupan, mengurangkan produktiviti serta meningkatkan ketidakhadiran bekerja jika tidak ditangani dengan berkesan.

Dalam menangani hal tersebut, beliau memaklumkan bahawa Akta Kerja 1955 telah memperkenalkan faedah seperti cuti untuk menjaga kesihatan mental pekerja.

Tambah beliau,

Masalah kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa sering disebabkan oleh tekanan dalam aspek pembelajaran dan faktor persekitaran sekeliling dan untuk menangani masalah ini, pihak universiti perlu menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif dan selamat serta mengamalkan pendekatan mesra dalam interaksi.

Beliau juga berkata, warga akademia juga digalakkan untuk aktif bertanya tentang masalah yang dihadapi oleh mahasiswa bagi meringankan beban tugas dan memastikan kestabilan emosi mereka.

Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Perlis 2024 diisi dengan pelbagai inti pati program yang menarik, misalnya aktiviti “chairobik” yang diketuai oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi, UiTM Cawangan Perlis, Puan Azzura Kamarudin; Forum Kesihatan Mental, permainan dalam talian dan pameran reruai.

Forum Kesihatan Mental yang turut disiarkan secara langsung menerusi Facebook rasmi JKNP telah disampaikan oleh Penolong Pendaftar (Hal Ehwal Islam), al-Fadil Ustaz Mohd Rizal Hanafi; Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa, Universiti Malaysia Kelantan, YBrs. Profesor Dr. Huzili Hussin dan Pegawai Psikologi, UiTM Cawangan Perlis, Puan Rozainun Mahmod.

Forum Kesihatan Mental bersempena dengan Sambutan Hari Kesihatan Mental Sedunia Peringkat Negeri Perlis 2024 disampaikan oleh al-Fadil Ustaz Mohd Rizal Hanafi, YBrs. Profesor Dr. Huzili Hussin dan Puan Rozainun Mahmood.
Antara peserta yang menyertai program “chairobik” di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.
Pameran kesihatan di Dewan Seri Semarak, UiTM Cawangan Perlis.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua Penolong Pengarah Kanan, JKNP, YBrs. Dr. Izwana Hamzah; Timbalan Rektor Bahagian Hal Ehwal Akademik, UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Ahmad Fikri Mohd Kassim; Penolong Pendaftar di Bahagian Hal Ehwal Pelajar, UiTM Cawangan Perlis, Encik Ahmad Muaz Mahzair serta para pegawai dari JKNP dan UiTM Cawangan Perlis.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi