Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangTrend peningkatan penyakit jangkitan kelamin dalam kalangan orang muda atau generasi muda merupakan isu yang membimbangkan. Hal ini dikatakan demikian kerana mereka merupakan antara penyumbang utama kes penyakit jangkitan kelamin di seluruh dunia.
Penyakit jangkitan kelamin juga tidak mempunyai tanda dan gejala yang jelas, lalu menjadikan masalah ini lebih sukar untuk dikesan. Tambahan pula, pemikiran orang muda juga masih tidak matang sepenuhnya, termasuklah keupayaan untuk membezakan antara risiko dengan ganjaran. Oleh sebab itu, mereka cenderung aktif secara seksual dan terlibat dalam tingkah laku yang berisiko tinggi.
Dari perspektif rakyat Malaysia, pandangan tentang penyakit jangkitan kelamin adalah amat rumit. Walaupun terdapat peningkatan kepelbagaian maklumat mengenai PHK yang boleh diperoleh melalui kempen kesihatan awam dalam talian atau Internet, masih terdapat sejumlah besar stigma dalam kalangan rakyat Malaysia yang sering dikaitkan dengan penyakit jangkitan kelamin. Kewujudan stigma ini mengakibatkan banyak pihak sukar untuk mendapatkan ujian untuk mengenal pasti masalah dan menjalanu rawatan sekiranya dijangkiti penyakit jangkitan kelamin.
Malangnya, individu yang tidak mengetahui tentang status penyakit jangkitan kelamin kerana tidak melakukan ujian akan menyumbang kepada jangkitan penyakit jangkitan kelamin baharu yang ketara. Di samping itu, diagnosis penyakit jangkitan kelamin yang lewat telah terbukti mengakibatkan peningkatan morbiditi, kematian dan kos penjagaan kesihatan.
Bagi melaksanakan dasar kesihatan awam dan langkah pencegahan yang lebih berkesan, pengetahuan tentang jumlah kes semasa penyakit jangkitan kelamin diperlukan. Berdasarkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), seramai 1000 remaja yang berumur 13 tahun hingga 17 tahun disahkan positif bagi penyakit jangkitan kelamin seperti sifilis, gonorea, chancroid dan human immunodeficiency virus (HIV) sejak tahun 2018 hingga tahun 2022.
Jumlah kes penyakit jangkitan kelamin yang agak tinggi dalam tempoh lima tahun ini menunjukkan kepentingan penambahbaikan terhadap pendidikan kesihatan seksual yang sedia ada bagi golongan remaja. Di samping itu, impak penyakit jangkitan kelamin terhadap kalangan remaja turut membimbangkan, kerana sesetengah penyakit jangkitan kelamin boleh mendatangkan kesan buruk terhadap keupayaan reproduktif dalam kalangan individu muda.
Dalam kalangan orang muda di Malaysia, termasuklah pelajar prasiswazah di universiti, masih terdapat jurang pengetahuan terhadap penyakit jangkitan kelamin. Berdasarkan kajian yang dilakukan di dua buah institusi pengajian tinggi di Negeri Sembilan dan Selangor, hanya 21 peratus pelajar mengetahui tentang trichomoniasis, walaupun penyakit ini merupakan satu daripada penyakit jangkitan kelamin yang paling lazim di seluruh dunia. Terdapat juga kajian lain yang memperlihat bahawa hampir separuh (47.6 peratus) daripada responden tidak mengetahui bahawa penyakit jangkitan kelamin boleh hadir tanpa sebarang gejala dan tanda yang jelas.
Baru-baru ini, Menteri Pengajian Tinggi, Yang Berhormat Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir menyatakan yang terdapat peningkatan yang membimbangkan dalam bilangan jangkitan HIV dalam kalangan pelajar pengajian tinggi berumur 18 – 25 tahun. Berdasarkan makluman kes yang dilaporkan kepada Kementerian Kesihatan Malaysia, 214 pelajar di institusi pengajian tinggi awam atau swasta telah dijangkiti HIV pada tahun 2020. Angka itu menurun sedikit pada tahun 2021 kepada 186 individu, tetapi menunjukkan trend menaik pada tahun 2022 (221 individu) dan tahun 2023 (224 individu).
Sehubungan dengan itu, penilaian tahap pengetahuan, sikap dan amalan mereka adalah penting dalam mengawal peningkatan kes penyakit jangkitan kelamin. Baru-baru ini, kumpulan penyelidikan penulis telah menjalankan kajian keratan rentas secara dalam talian yang melibatkan 575 pelajar prasiswazah daripada lima buah universiti awam dari seluruh Malaysia (satu universiti mewakili setiap zon; utara, selatan, tengah, timur dan Borneo).
Hasil kajian menunjukkan bahawa 67 peratus pelajar mempunyai tahap pengetahuan yang lemah terhadap penyakit jangkitan kelamin, 75.5 peratus pelajar mempunyai tahap sikap yang baik terhadap penyakit jangkitan kelamin, manakala 96.7 peratus pelajar tidak pernah melakukan hubungan seksual.
Terdapat perbezaan yang signifikan bagi tahap pengetahuan dan sikap dalam kalangan pelajar sains kesihatan atau sains dan pelajar bukan sains kesihatan atau bukan sains. Selain itu, dapatan kajian juga menunjukkan tiada perkaitan antara tahap pengetahuan dengan sikap terhadap amalan pencegahan penyakit jangkitan kelamin.
Kesimpulannya, intervensi dalam pendidikan seksual sedia ada perlu dinilai semula oleh pihak berkuasa seperti KPM atau Kementerian Pengajian Tinggi bagi meningkatkan tahap pengetahuan pelajar prasiswazah atau golongan muda terhadap penyakit jangkitan kelamin. Tindakan tersebut juga haruslah tertumpu kepada pelbagai kumpulan sasaran dan mempunyai objektif tersendiri agar tahap kesihatan dan kesejateraan seksual yang baik dalam kalangan remaja, ahli keluarga dan masyarakat dapat dicapai.
Dr. Vanitha Mariappan,
Pensyarah Kanan,
Program Sains Bioperubatan,
Pusat Kajian Toksikologi dan Risiko Kesihatan (CORE),
Fakulti Sains Kesihatan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.