Diterbitkan pada 8 Oktober 2024, 21:25

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan tahniah kepada pemenang Pertandingan Menulis Esei Sains dan Teknologi Nuklear Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 yang telah mempamerkan prestasi cemerlang dalam menghasilkan karya esei yang berkualiti dan kreatif mengenai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Pertandingan yang dianjurkan oleh Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ini diadakan bersempena dengan Minggu Sains Negara (MSN) 2024 yang berlangsung pada 1 Jun 2024 hingga 30 Julai 2024.

Pertandingan yang terdiri daripada tiga kategori, iaitu menengah atas (tingkatan 4 dan tingkatan 5), menengah rendah (tingkatan 1 hingga tingkatan 3) dan penyertaan terbanyak ini diadakan untuk meningkatkan kesedaran guru dan pelajar menengah terhadap kepentingan dan sumbangan teknologi nuklear dalam menyokong SDG.

Senarai pemenang Pertandingan Menulis Esei Sains dan Teknologi Nuklear Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 bagi kategori menengah atas.

Bagi kategori menengah atas, johan pertandingan dimenangi oleh Farah Farzana Maulviridha dari Sekolah Menengah Integrasi Tahfiz Ilmuwan, Bangi, Selangor yang berjaya memenangi wang tunai berjumlah RM1,500 berserta sijil pemenang.

Tempat kedua pula menjadi milik Siti Norasikin Osman dari Sekolah Menengah Kebangsaan Sungkai, Sungkai, Perak yang memperoleh wang tunai berjumlah RM1,000 berserta sijil pemenang, manakala Muhammad Dannish Lian Harrisson Amat dari Sekolah Menengah Sains Kuching, Kuching, Sarawak memenagi tempat ketiga dan memperoleh wang tunai sebanyak RM700 berserta sijil pemenang.

Seterusnya, pemenang bagi tempat keempat, Aina Najwa Shahrina Aimee Shahrin dari Maktab Rendah Sains MARA Tun Ghafar Baba, Jasin, Melaka dan tempat kelima disandang oleh Nur Khairunisa Safeya dari SMK Sanzac, Kota Kinabalu, Sabah yang masing-masing memperoleh wang tunai sebanyak RM300 berserta sijil pemenang.

Bagi kategori menengah rendah pula, johan pertandingan dirangkul oleh Sara Sofea Mohd Shahril dari Sekolah Tun Fatimah, Johor Bahru, Johor yang memenangi wang tunai berjumlah RM1,500 berserta sijil pemenang.

Seterusnya untuk tempat kedua dimenangi oleh Samantha Neena Samuel dari SMK Sultan Abdul Samad, Petaling Jaya, Selangor yang memperoleh wang tunai sebanyak RM1,000 berserta sijil pemenang, manakala Sharmmen Sharvah Thevan dari SMK Pusat Bandar Puchong, Puchong, Selangor pula merangkul tempat ketiga dengan hadiah kemenangan sebanyak RM700 berserta sijil pemenang.

Tempat keempat menjadi milik Sumphoneo Siew Cheng Sheng dari Yayasan Sarawak International Secondary School Petra Jaya, Kuching, Sarawak dan DK Qaisara Qistina binti Mohd Fauzi dari SMK Seri Nibong, Nibong Tebal, Pulau Pinang memenangi tempat kelima yang masing-masing menerima wang tunai sebanyak RM300 berserta sijil pemenang.

Senarai pemenang Pertandingan Menulis Esei Sains dan Teknologi Nuklear Peringkat Kebangsaan Tahun 2024 bagi kategori menengah rendah.

Sementara itu, bagi kategori penyertaan terbanyak, Maktab Mahmud Yan, Yan, Kedah telah berjaya merangkul kemenangan, sekali gus memperoleh hadiah wang tunai berjumlah RM2000 berserta sijil pemenang.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi