2 Oktober 2024, 10:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Seoul – Bersempena dengan Persidangan Sistem Global untuk Persatuan Komunikasi Mudah Alih (GSMA) Mobile 360 peringkat Asia Pasifik 2024 yang berlangsung di Seoul, Korea Selatan, Menteri Komunikasi, Yang Berhormat (YB) Fahmi Fadzil menekankan peri pentingnya peranan kecerdasan buatan (AI) dan keterhubungan digital (digital connectivity) dalam membentuk masa depan negara yang lebih maju. 

Dalam ucaptama beliau pagi tadi yang bertajuk “Membina Tulang Belakang Digital yang Dikuasakan oleh AI”, beliau menjelaskan visi kerajaan untuk membina sebuah negara yang berteknologi tinggi didorong oleh inovasi dan kemajuan infrastruktur.

Dalam usaha merealisasikan visi ini, YB Fahmi Fadzil menegaskan tiga teras utama, iaitu dasar berpandangan jauh (forward-thinking), pembangunan infrastruktur mampan dan pembangunan kemahiran dalam kalangan masyarakat.

Beliau juga memetik Rancangan JENDELA Malaysia sebagai contoh komitmen kerajaan dalam memperluas liputan internet ke seluruh negara menjelang tahun 2025 yang kini telah berjaya menghubungkan ribuan isi rumah kepada Internet berkelajuan tinggi.

YB Fahmi Fadzil juga menekankan bahawa Malaysia komited untuk merealisasikan visi ini melalui pelbagai inisiatif strategik dan kerjasama pelbagai pihak. 

Para pengendali rangkaian mudah alih di Malaysia memainkan peranan penting dalam pelaksanaan Rancangan JENDELA, menghubungkan komuniti, memperkasakan perniagaan, serta membolehkan individu terlibat sepenuhnya dalam ekonomi digital.

“Tambahan pula, Malaysia sedang bersiap sedia untuk melancarkan rangkaian 5G kedua negara yang menumpukan kepada penyebaran pantas dan kos efektif serta menggalakkan penggunaan teknologi 5G dan 5G-Advanced dalam kalangan perusahaan tempatan,” tambah beliau.

Beliau turut mengumumkan bahawa pencapaian besar dalam perkembangan ini ialah penyiaran secara langsung 5G-Advanced yang pertama di Malaysia semasa Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 dengan kerjasama CelcomDigi dan U Mobile.

Pencapaian ini menunjukkan potensi transformasi kesalinghubungan generasi akan datang dan kemampuan Malaysia dalam memanfaatkan teknologi 5G untuk penyiaran masa nyata berkualiti tinggi.

Selain itu, Maxis telah merevolusikan pengalaman sukan di SUKMA 2024 dengan teknologi Smart Watching dan Smart AI Analytics, yang didayakan oleh 5G-Advanced.

YB Fahmi Fadzil mengakhiri ucapannya dengan menekankan bahawa kolaborasi antara negara di rantau Asia dari segi pendigitalan dan keterhubungan digital amat diperlukan, terutamanya ketika Malaysia akan mempengerusikan ASEAN pada tahun depan. 

Sebagai rekod, GSMA ialah sebuah organisasi global yang menyatukan ekosistem mudah alih yang bertujuan untuk meneroka, membangunkan dan menyampaikan inovasi.

Visi GSMA adalah untuk membuka sepenuhnya potensi keterhubungan digital supaya masyarakat, industri dan komuniti setempat dapat berkembang maju. 

Kredit Foto: BERNAMA
Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.