Oleh Akmal Sabarudin
1 Oktober 2024, 17:44

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bangi – Program antarabangsa Malaysia Business Innovation Study Tour 2024 anjuran Pusat Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Global dengan kerjasama Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM menjadi medan cetusan idea inovatif bagi menyelesaikan cabaran berkaitan perniagaan melalui kerjasama dengan rakan industri terpilih.

Program yang berlangsung selama 13 hari ini ditaja oleh New Colombo Plan dan melibatkan penyertaan 13 pelajar perniagaan dari Macquarie University, Australia bersama-sama dua rakan industri utama, iaitu Malaysia Palm Oil Berhad (MPOB) yang juga pemegang kursi–endowmen UKM-MPOB dan Brahim’s Food Services.

Kerjasama ini dikendalikan di bawah penyelarasan Timbalan Dekan Hal Ehwal Jaringan Industri dan Masyarakat, Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM, Profesor Madya Dr. Muhammad Hakimi Mohd Shafiai yang memberikan peluang kepada pelajar untuk memahami operasi perniagaan dan turut dibimbing dalam meneroka isu berkaitan dengan kelestarian perniagaan.

Program ini merangkumi beberapa siri lawatan termasuklah ke Brahim’s Food Services di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang yang membolehkan peserta program melihat penyediaan perkhidmatan makanan halal kepada 35 syarikat penerbangan antarabangsa, termasuklah tujuh syarikat penerbangan utama dunia.

Sesi penerangan pengendalian makanan halal di Brahim’s Food Services yang bertapak di KLIA, Sepang oleh Ketua Pegawai Operasi Brahim’s Food Services, Encik Faizal Rosli Dato’ Abdullah.

Peserta program turut berpeluang mendalami peranan MPOB dalam menggalakkan dan mengembangkan matlamat serta dasar negara untuk kesejahteraan industri kelapa sawit Malaysia melalui pendedahan tentang isu terkini berkaitan penyelidikan dan pembangunan kelapa sawit, pemindahan teknologi, pengkomersialan hasil penyelidikan serta kerjasama antarabangsa.

Slot libat urus antara pelajar dengan Malaysia Palm Oil Berhad (MPOB) yang dipimpin oleh Pengurus Wilayah Australia, Asia dan Oseania, Bahagian Pembangunan Ekonomi dan Industri, MPOB, Puan Rafizah Mazlan.

Di samping itu, program ini menyelitkan aktiviti kebudayaan, termasuklah lawatan ke komuniti orang asli Temuan di Lenggeng, Negeri Sembilan.

Sesi pengenalan budaya dan cara hidup orang asli suku Temuan disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Doris Padmini S. Selvaratnam dari Fakulti Ekonomi dan Pengurusan, UKM.
Salah seorang pelajar Macquarie Universiti mencuba aktiviti menyumpit yang merupakan salah satu budaya orang asli temuan di perkampungan Orang Asli Lenggeng, Negeri Sembilan.

Pada penghujung program, peserta program membentangkan beberapa cadangan penyelesaian dalam bentuk bicara tuntas kepada rakan industri berdasarkan hasil perbincangan dan pengalaman mereka di Australia yang mendapat maklum balas positif daripada MPOB dan Brahim’s Food Services.

Sesi bicara tuntas membentangkan idea inovasi dalam menangani isu perniagaan yang dikupas sepanjang program berlangsung.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.