1 Oktober 2024, 14:42

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Timun padang atau timun tikus atau nama botaninya Coccinia grandis (L.) Voigt merupakan spesies tumbuhan daripada kumpulan angiosperma, divisi Magnoliophyta, kelas Magnoliopsida, order Cucurbitales dan famili Cucurbitaceae. Spesies ini berada dalam famili yang sama dengan buah tembikai dan timun.

Timun tikus boleh ditemukan di Afrika, India, Filipina, Kemboja, China, Indo-China, Indonesia, Malaysia, Myanmar, Thailand, Vietnam, Papua New Guinea, Wilayah Utara Australia, Micronesia, Fiji, Guam, Saipan, Hawaii, Senegal, Somalia, kepulauan Marshall, Samoa, Sri Lanka, Tonga dan Vanuatu.

Spesies ini juga mempunyai nama tempatan yang lain, iaitu timun padang. Selain itu, terdapat beberapa nama vernakular bagi spesies ini seperti papasan (Filipina), labu Ivy, scarlet-fruited gourd, ivy gourd (English), yasai karasuuri (Japan) dan phak tamlueng, khae doh dan phak khaep (Thailand).

Spesies ini dikatakan berasal daripada famili anggur kerana ciri daun dan kehadiran sulur (tendril), namun tumbuhan bukan daripada famili Vitaceae. Timun tikus merupakan spesies tumbuhan jenis diesius dan tumbuhan herba saka berkayu yang boleh membesar setinggi 20 meter. Pertumbuhannya agak cepat dan boleh membesar sehingga empat inci hanya dalam masa satu hari.

Timun tikus ialah spesies tumbuhan pemanjat atau liana dengan bantuan sulur tunggal yang keluar daripada aksilari batang. Sulurnya jenis ringkas dan kuat melilit pada sokongan untuk membolehkan tumbuhan ini memanjat. Spesies ini juga mempunyai akar umbi dan akar bawah tanah.

Sulur tunggal yang keluar daripada aksilari batang seperti yang ditunjukkan oleh anak panah putih.

Daun timun tikus biasanya mempunyai lima lobus bersaiz dua inci hingga 3.5 inci x 1.6 inci hingga 3.5 inci, berbentuk oval (bujur telur) atau ovat–kordat atau palmat berlobus serta tepi daunnya serata, yakni terdapat dentat (dentate) atau tepinya bergerigi atau bergigi (toothed margin).

Panjang bilah lamina daunnya antara 6.5 sentimeter (cm) hingga 8.5 cm dan lebar 7 cm hingga 8 cm. Daunnya tersusun secara berselang-seli. Permukaan daunnya bersisik kerana terdapat kehadiran trikom. Daun timun tikus juga akan sentiasa berwarna hijau.

Daun timun tikus mempunyai lima lobus dan tepi daunnya bergerigi.

Bunga bagi timun tikus adalah tunggal, berwarna putih uniseksual dan berbentuk loceng. Saiz bunganya 1.5 cm hingga dua cm x satu cm hingga 1.2 cm. Bunga betina dan jantan muncul di aksil pada tangkai daun dan mempunyai tiga stamen. Bunga spesies ini kembang mekar pada Ogos sehingga September pada setiap tahun.

Bunga tunggal berwarna putih.

Buah timun tikus licin dan berjenis beri. Isinya berwarna hijau ketika muda dan merah bata apabila matang atau masak. Buahnya berbentuk oblong–ovoid hingga ovoid–elips yang bersaiz 2.5 milimeter (mm) hingga 6 mm x 3 mm. Buahnya kelihatan seperti buah timun kecil. Batangnya biasanya berbulu, bergerigi dan batangnya keluar daripada batang yang mempunyai ubi di dalam tanah.

Buah timun tikus yang berisi (kiri) dan berwarna hijau ketika muda (kanan).

Spesies perenial dan pemanjat ini sangat mudah membiak di kawasan terbuka yang menerima sinaran penuh cahaya matahari. Timun tikus sering ditemukan di kawasan belukar, hutan malar hijau yang kering dan adakalanya di kawasan terbiar yang mempunyai semak samun, terutamanya yang mempunyai tempat untuk spesies ini memanjat dan berpaut. Sekiranya timun tikus tumbuh di atas pagar bangunan dan kediaman, rimbunan pokok ini seharusnya dibuang kerana boleh menyebabkan kerosakan pada pagar yang tidak mampu menampung berat pokok dan buahnya.

Pokok timun tikus tumbuh membiak dan berada di lapisan paling atas daripada tumbuhan lain. Pokok ini juga sering dilihat menutupi pagar dan talian elektrik dengan rimbunan dedaunnya.

Timun tikus tumbuh dalam kelompok sehingga membentuk lapisan yang tebal, menutupi tumbuhan lain yang berada di bawahnya daripada cahaya matahari dan boleh membunuh tumbuhan tersebut. Spesies ini boleh mengancam kawasan semula jadi dan sukar diuruskan walaupun selepas rawatan dengan racun herbisid kerana mudah tumbuh semula daripada akar yang berada jauh ke dalam tanah.

Walau bagaimanapun, spesies ini boleh dikawal secara fizikal dan kimia.  Kawalan fizikal memerlukan untuk mencabut tumbuhan ini bersama-sama akarnya, mengeluarkan dan memusnahkan semua batang dan buahnya. Racun kimia pula boleh digunakan untuk mengawal spesies pokok ini daripada terus membiak dan tersebar.

Walaupun spesies ini lebih dianggap sebagai rumpai, namun timun tikus juga boleh dijadikan tumbuhan hiasan kerana bentuk daun, bunga dan buahnya yang menarik tetapi memerlukan sokongan yang kuat untuk spesies ini memanjat serta memerlukan penjagaan rapi untuk dipangkas. Spesies ini memerlukan cahaya matahari secara langsung, memerlukan hanya sedikit air dan boleh membesar serta boleh merebak dengan cepat di samping hidup subur di kawasan tanah berpasir terbuka yang kaya dengan humus.

Daun yang berwarna hijau dan tumbuh merimbun.

Pembiakan timun tikus boleh dilakukan dengan menggunakan dua hingga tiga biji benih yang ditaburkan dalam bekas semaian. Biji benih tumbuhan ini biasanya bercambah dalam tempoh dua hingga empat minggu pada suhu 20 darjah Celsius.

Biji benih yang bercambah sehingga ketinggian 12 cm hingga 15 cm boleh dipindahkan ke tanah yang memerlukan sedikit siraman dan pembajaan. Jika menggunakan keratan batang pula, keratan sepanjang 12 cm hingga 15 cm boleh terus sahaja ditanam dan disiram dengan air agar memudahkan pengeluaran akar.

Di Asia Tenggara, yakni di zon tropika dan sub-tropika, terutamanya di India, Malaysia dan Indonesia, spesies ini ditanam untuk pucuk atau daun mudanya dan buahnya yang boleh dimakan serta untuk kegunaan perubatan. Buah mudanya bewarna hijau muda, manakala buah masak yang berwarna merah boleh dimakan mentah dan dijadikan ulaman atau dimasak dan ditambah dalam masakan. Pucuk lembut yang dicelur boleh dihidangkan sebagai sayuran atau dimasak tumis.

Di India, buah timun tikus yang belum matang dimakan sebagai ulaman atau dimasak untuk dijadikan sambal tradisional, selain dimasukkan dalam masakan kari. Timun tikus juga digoreng bersama-sama rempah yang dicampur masala atau direbus terlebih dahulu dalam periuk tekanan dan kemudiannya digoreng. Tumbuhan ini juga digunakan dalam ramuan sup berasaskan sayur-sayuran bersama-sama kacang lentil.

Buah timun tikus yang belum matang juga boleh dijadikan jeruk. Daun muda dan bahagian batang yang lembut pula dimasak dan dijadikan masakan sup, terutamanya dalam masakan masyarakat Thai. Masyarakat Thai juga menggunakan timun tikus sebagai satu daripada ramuan hidangan sup jernih yang dikenali sebagai kaeng jued tum lueng, manakala masakan karinya dipanggil kaeng khae dan kaeng lieng.

Timun tikus telah digunakan dalam sistem perubatan tradisional selama berabad-abad lamanya. Penggunaan tradisionalnya yang paling biasa adalah untuk merawat penyakit diabetes melitus yang telah terbukti secara saintifik bersama-sama aktiviti farmakologinya. Spesies ini dilaporkan mempunyai beberapa sebatian yang aktif secara biologi dan mempunyai potensi antidiabetes, antimikrob, antiobesiti, antioksidan, antiradang, antikanser, analgesik, antinociceptive, antipiretik, antihelmintik, penyembuhan luka, antiulcerogenic, hepatoprotective dan aktiviti imunomodulator tanpa kesan sampingan yang jelas.

Secara tradisional, jus akar dan daun spesies ini telah digunakan untuk rawatan diabetes. Jus batangnya dititiskan ke dalam mata untuk merawat katarak, manakala buahnya digunakan sebagai ubat mata.

Infusi daripada daun timun tikus boleh diberikan kepada wanita mengandung yang mengalami kelewatan melahirkan bayi. Air rebusan daunnya pula diminum untuk rawatan penyakit gonorea dan selesema.

Daun timun tikus digunakan secara luaran sebagai bahan tuaman untuk merawat kulit yang melecur. Demahan tumbuhan yang dihancurkan pula boleh digunakan secara luaran pada kawasan yang terjejas untuk melegakan kesakitan sakit kepala dan reumatik. Ekstrak akueus timun tikus menunjukkan ciri hipoglisemik, hipolipidemik dan kehadiran bahan poliprenol daripada spesies tumbuhan ini menunjukkan potensi tumbuhan ini sebagai julap.

Kesimpulannya, walaupun timun tikus dilihat sering tumbuh secara liar di kawasan belukar dan semak samun, namun spesies ini mempunyai potensi ubatan yang tinggi dan mempunyai nilai pemakanan yang tidak asing bagi sesetengah masyarakat, terutamanya bagi masyarakat di India, Malaysia dan Indonesia. Timun tikus meskipun kecil tetap berisi dan penuh dengan khasiat tersendiri.

Profesor Dr. Noraini Talip dan Encik Mohamad Ruzi Abdul Rahman,
Taman Botani Bangi,
Fakulti Sains dan Teknologi, 
Universiti Kebangsaan Malaysia. 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.