Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Menurut Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Yang Berhormat (YB) Tuan Nga Kor Ming, sejumlah 13.91 juta tan sisa pepejal telah dihasilkan di Malaysia pada tahun 2021 dan jumlah tersebut meningkat kepada 14.25 juta tan dua tahun kemudian.
“Jumlah ini dijangka akan terus meningkat jika tiada tindakan untuk mengurangkan penjanaan sisa tersebut. Pada asasnya, setiap individu di negara ini menghasilkan 1.17 kilogram sisa pada setiap hari,” ujar YB Tuan Nga Kor Ming.

Keadaan penjanaan sisa pepejal yang agak tenat ini, tambah beliau, akan meningkatkan kos pengurusan sisa pepejal dan pembersihan awam di Malaysia.
“Kira-kira RM2 bilion ketika ini dibelanjakan pada setiap tahun bagi tujuan tersebut dan dijangka akan terus meningkat tahun demi tahun, yang bukan sahaja akan menekan sistem pengurusan sisa sedia ada, malah meningkatkan risiko pencemaran alam sekitar dan kesihatan awam,” tegas beliau.
Nga menyatakan sedemikian dalam ucapan beliau ketika menyempurnakan perasmian Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024 di kawasan tempat letak kereta Pasar Seni, Jalan Hang Kasturi pada 28 September lalu.
Beliau turut mengingatkan bahawa kebersihan awam amat penting bagi sesebuah bandar atau kawasan demi memastikan kesejahteraan penduduk dipenuhi tanpa keciciran.
“Persekitaran yang bersih dan bebas pencemaran dapat mengurangkan risiko penyakit, sekali gus meningkatkan kualiti hidup penduduk sesebuah bandar atau kawasan,” tambah beliau, sambil mengingatkan bahawa World Cleanup Day bukan hanya sebuah acara tahunan, malah dijadikan sebagai amalan hidup untuk memastikan persekitaran kita sentiasa bersih.
Turut hadir dalam program tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), YB Dr. Zaliha Mustafa; Ketua Setiausaha KPKT, YBhg. Datuk Wira M. Noor Azman Taib; Ketua Pengarah Jabatan Wilayah Persekutuan, YBhg. Dato’ Indera Noridah Abdul Rahim; Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri Maimunah Mohd. Sharif; wakil kementerian, agensi kerajaan, badan bukan kerajaan, para pelajar, komuniti dan masyarakat setempat.
Penyanyi terkenal, Hazama Azmi yang dilantik sebagai Duta Hari Cuci Malaysia, turut hadir dan mendendangkan lagu popularnya, Penglipur Lara.
Pada Hari Cuci Malaysia ini, tambah YB Tuan Nga Kor Ming, kita tidak hanya mengutip sampah, malah mahu memupuk budaya kesedaran pemeliharaan alam sekitar dan penjagaan kebersihan awam bersama-sama.
“Sampah yang dibuang di jalanan, pantai, hutan dan persekitaran merupakan krisis yang menunjukkan sebahagian daripada masyarakat kita masih belum cakna dan memandang remah soal kebersihan,” ujar YB Tuan Nga Kor Ming.
Persekitaran yang kotor, tambah beliau, disebabkan oleh gabungan pelbagai faktor, termasuklah pencemaran, masalah pengurusan sisa, kepadatan penduduk dan urbanisasi serta kelemahan tadbir urus.
“Tetapi, yang paling utama ialah perlakuan dan sikap individu yang suka membuang sampah merata-rata. Perlu disedari bahawa kaedah paling berkesan untuk menangani isu ini merupakan usaha sama, bermula daripada pembuat dasar dan perancang bandar sehinggalah penduduk setempat,” jelas beliau.
Mengenai kepentingan meraikan World Cleanup Day di Malaysia, YB Tuan Nga Kor Ming memberitahu bahawa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah menetapkan 20 September pada setiap tahun sebagai hari tersebut.
Acara global tahunan ini merupakan antara usaha untuk menangani isu pencemaran sisa yang kian bertambah dan meningkatkan kesedaran terhadap tindakan pembersihan awam di segenap lapisan masyarakat.
“KPKT melalui SWCorp menyertai program World Cleanup Day sejak tahun 2020 dan ini pertama kalinya menganjurkan program ini pada peringkat kebangsaan yang melibatkan 3961 orang sukarelawan di 39 lokasi di seluruh Malaysia,” tambah YB Tuan Nga Kor Ming.
Menurut beliau, aktiviti pembersihan kawasan serta audit sisa yang dilaksanakan dalam program tersebut berjaya mengumpulkan dan mengaudit 13 529 kilogram sisa.
“Jumlah Sukarelawan Hero Kebersihan SWCorp yang berdaftar juga meningkat sebanyak 89 peratus, iaitu 35 700 orang yang turut dijemput menyertai pelbagai program kesukarelawanan, termasuklah World Cleanup Day,” ujar Nga lagi.
Justeru, program Hari Cuci Malaysia World Cleanup Day 2024 adalah antara daya usaha menyambut seruan pada peringkat global. KPKT sebagai sebuah kementerian yang sentiasa ke hadapan menganjurkan Program Mega Pembersihan bersempena World Clean Up Day 2024, seiring dengan hasrat, dan aspirasi Kerajaan MADANI yang berteraskan kemampanan, dan kesejahteraan masyarakat.
Program ini berkonsepkan pelaksanaan gotong-royong mega secara bersepadu di seluruh negara yang meliputi skop pembersihan kawasan sekitar, pembersihan dan penutupan enam buah tapak pelupusan sampah haram, pelaksanaan kempen kitar semula, dan kesedaran penggunaan plastik guna sekali.

Sebelum itu, YB Dr. Zaliha Mustafa dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Tuan Nga Kor Ming kerana memilih Kuala Lumpur sebagai pihak berkuasa tempatan utama untuk lokasi majlis pelancaran Hari Cuci Malaysia 2024.
Mengenai rakyat Malaysia yang direkodkan membuang 38 ribu tan sisa pepejal atau secara puratanya 1.17 kilogram bagi setiap seorang, YB Dr. Zaliha Mustafa membuat perbandingan, jumlah ini boleh memenuhi Stadium Nasional Bukit Jalil yang memuatkan lebih 87 ribu penonton dalam masa 12 hari sahaja.
“Di Kuala Lumpur sahaja, sebanyak 2044 tan sisa dihasilkan oleh warga kota sehari dengan kos yang perlu ditanggung oleh DBKL kira-kira RM 226 juta setahun. Jumlah perbelanjaan ini sangat besar dan jika boleh dikurangkan, mungkin perbelanjaan tersebut dapat digunakan untuk pembangunan yang menguntungkan rakyat,” tegasnya.

Justeru, tambah YB Dr. Zaliha Mustafa, program ini bukan sekadar simbolik, tetapi juga satu inisiatif yang memperlihat komitmen kerajaan menjaga kesejahteraan alam sekitar di Malaysia, khasnya di Kuala Lumpur selaras dengan enam konsep Malaysia MADANI yang digagaskan oleh YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri.
“Majunya sesebuah bandar itu tidak hanya diukur dengan pembangunan fizikal yang pesat sahaja, tetapi juga melalui tahap kebersihan dan kesihatan persekitaran. Bandar raya yang bersih menjadi asas pada pembangunan ekonomi, dan sosial yang mampan,” kata beliau.
Sebagai Menteri yang “menjaga” Wilayah Persekutuan, YB Dr. Zaliha Mustafa menegaskan beliau amat menyokong usaha sebegini kerana seiring dengan visi Wilayah Persekutuan, termasuklah Kuala Lumpur sebagai CHASE City, iaitu akronim kepada Clean City, Healthy City, Advanced City, Safe City, dan Eco-friendly City yang merupakan kerangka atau framework beyond the idea of Only Smart City.
“Melalui CHASE City, kita akan memastikan kebersihan, kesihatan, keselamatan dan kelestarian alam turut diambil kira dalam pembangunan sesebuah bandar, selain elemen kemajuan teknologi. Visi ini akan menjamin kesejahteraan rakyat, serta kelestarian jangka panjang di Kuala Lumpur dan Wilayah Persekutuan keseluruhannya,” ujar beliau.
“Program seperti 1 Komuniti 1 Pusat Kitar Semula, atau 1C1R telah diperkenal bagi menyokong inisiatif ini dan telah memberikan impak besar kepada komuniti apabila pengumpulan barangan kitar semula dapat mengurangkan sisa pepejal dan memberi peluang kepada komuniti untuk menambah pendapatan,” katanya.
“Kita inginkan bandar yang pesat membangun, sekali gus selesa dan bersih untuk didiami. Saya berharap usaha ini tidak terhenti, dan akan menjadi pemangkin kepada usaha yang berterusan,” tegas YB Dr. Zaliha Mustafa yang mengharapkan penglibatan semua lapisan masyarakat, termasuk generasi muda sebagai agen perubahan untuk menjamin masa depan yang lebih bersih, dan mampan.
Program seperti ini juga, tambah beliau, amat penting untuk memastikan imej Malaysia kekal bersih dan indah, terutamanya apabila kita menghampiri Kepengerusian ASEAN pada tahun hadapan dan menjelang Tahun Melawat Malaysia pada tahun 2026. Ini adalah sebahagian daripada persiapan negara untuk menerima lebih ramai pelancong ke Malaysia.
“Kebersihan dan keindahan bandar raya kita, terutamanya Kuala Lumpur sebagai ibu negara dan pintu masuk utama negara akan mencerminkan komitmen negara kepada kedua-dua acara penting dan bersejarah ini,” ujar beliau yang telah mengarahkan Datuk Bandar memastikan penguatkuasaan dibuat kepada premis di Kuala Lumpur, khususnya premis makanan tentang kebersihan yang diamalkan oleh peniaga.