Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) menjadi fokus utama Tenaga Nasional Berhad (TNB) sebagai panduan berkaitan dengan tindakan yang perlu diambil oleh syarikat demi kelangsungan bekalan tenaga elektrik negara pada tahap yang tinggi sepanjang masa tanpa sebarang gangguan.
Demikian menurut Pengerusi Tenaga Nasional Berhad (TNB), YBhg. Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid semasa sesi perkongsiannya dalam Forum Ilmuan Malaysia Madani bersama Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim di Hotel Grand Hyatt malam semalam.
YBhg. Tan Sri Abdul Razak Abdul Majid berkata,
Pada masa ini, 50 peratus sumber penjanaan tenaga dalam negara bergantung pada sumber arang batu yang akan menghasilkan karbon dioksida, walaupun sumber tersebut bukanlah yang terbaik tetapi kuantiti arang batu banyak di seluruh dunia menyebabkan kosnya lebih murah berbanding dengan sumber lain.
Justeru, TNB merangka pelbagai program sebagai usaha untuk mengurangkan penggunaan arang batu dan pelepasan karbon seperti yang telah diputuskan oleh kerajaan dan TNB bahawa penggunaan arang batu dalam penjanaan tenaga akan berakhir pada tahun 2045.

Jelas beliau, hala tuju peralihan tenaga negara untuk mengurangkan pelepasan karbon terbahagi kepada tiga fasa, yakni sasaran pertama yang bermula pada tahun 2016 hingga tahun 2025 adalah untuk mengurangkan penggunaan arang batu; kemudian penggunaan gas asli sebagai pengganti bahan api yang lebih bersih pada tahun 2035 dan akhirnya negara disasarkan mencapai sifar karbon pada tahun 2050 dalam ekonomi dan industri.
Beliau turut menjelaskan tentang kepentingan menjaga keseimbangan trilema tenaga, iaitu keselamatan tenaga (energy security), keterjangkauan tenaga (energy equity) dan kelangsungan alam sekitar (environmental sustainability) tanpa kompromi.
Oleh itu, mekanisme tenaga yang boleh diperbaharui yang telah digariskan dalam NETR adalah untuk memastikan tindakan yang diambil oleh negara selaras dengan agenda dunia untuk mengurangkan pelepasan karbon.
Selain itu, antara usaha TNB melalui mekanisme mobiliti hijau termasuklah menggalakkan penggunaan kenderaan elektrik yang tidak menggunakan enjin pembakaran dalam yang menghasilkan karbon semasa pembakaran.
Ujar beliau,
TNB berasa bertuah kerana telah diberikan kepercayaan oleh kerajaan untuk memainkan peranan sebagai pemangkin dalam projek utama seperti suria hibrid melalui pemasangan panel suria terapung di empangan dan berjaya menjana bekalan elektrik dengan baik.
TNB juga mengambil inisiatif lain untuk mencapai pelepasan karbon sifar bersih pada tahun 2050 melalui penubuhan anak syarikat untuk mengawal selia penjanaan tenaga yang boleh diperbaharui bagi meningkatkan pemasangan panel suria di ladang suria, mewujudkan stesen cas kenderaan elektrik di pelbagai tempat dan pengenalan meter pintar bagi memudahkan para pengguna dalam urusan bil serta mengambil langkah pengawalan penggunaan bekalan elektrik secara kendiri.
Forum Ilmuan Malaysia Madani yang bertemakan “Peralihan Tenaga untuk Kesejahteraan Masa Depan Negara” anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi bersama TNB turut menampilkan dua ahli panel yang lain, iaitu Menteri Pendidikan Tinggi, Yang Berhormat Dato’ Seri Diraja Zambry Abdul Kadir dan pakar ekonomi, YBhg. Profesor Tan Sri Dato’ Seri Dr. Noor Azlan Ghazali.