Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangGombak – Sebanyak 20 orang penyelidik dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Kampus Kuala Lumpur dan wakil projek Eco Campus bagi setiap pusat tanggungjawab (PTJ) mengadakan lawatan ke Garden8.Malaysia untuk berkongsikan pengetahuan dan kemahiran kepada usahawan makanan dalam menawarkan pilihan menu sihat kepada pelanggan melalui bimbingan pakar dalam bidang dietetik, perkhidmatan makanan dan perniagaan.

Lawatan tersebut merupakan lawatan balas yang dilaksanakan selepas kumpulan komuniti Garden8.Malaysia menyertai program Usahawan Makanan Sihat “Right Diet for You” anjuran Pusat Kajian Penuaan Sihat dan Kesejahteraan (H-CARE), Fakulti Sains Kesihatan (FSK), UKM Kampus Kuala Lumpur dengan kerjasama strategik Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia dan Pusat Aktiviti Warga Emas.
Lawatan yang julung-julung kalinya diadakan oleh H-CARE itu merupakan satu daripada perancangan aktiviti fasa satu yang telah dirancang bagi kumpulan penyelidikan Geran Kelestarian UKM yang diketuai oleh YBrs. Profesor Madya Dr. Zahara Abdul Manaf.
Objektif Geran Kelestarian ini ialah mensasarkan sasaran yang digariskan dalam Pelan Strategik Kelestarian UKM 2023 yang menekankan keperluan untuk meningkatkan usaha ke arah kelestarian di kampus.
Untuk menangani isu berkenaan, kajian berkenaan dengan hal ini telah dijalankan bagi melancarkan inisiatif Kampus Lestari yang memfokuskan aktiviti kitar semula dan menilai kesannya terhadap pengetahuan dan tingkah laku mengenai kehidupan lestari dalam kalangan pelajar dan kakitangan di UKM Kampus Kuala Lumpur.
Projek ini melibatkan pelajar dan kakitangan dari Fakulti Sains Kesihatan, Fakulti Pergigian dan Fakulti Farmasi serta kediaman pelajar Kolej Tun Syed Nasir sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran dan kokurikulum.
Menurut wakil penduduk, Encik Iqmal Fajri Danial dan isterinya, Puan Aida Haniza, penubuhan fasa satu Garden8.Malaysia merupakan kerjasama daripada lapan keluarga di Taman Perwira, Gombak Setia, Selangor untuk mencantikkan lorong belakang rumah mereka yang mula dlaksanakan bagi mengisi masa lapang kawasan kejiranan sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac tahun 2020 lalu.
Setelah kejayaan penubuhan Garden8 fasa satu, kini Garden8 telah berjaya mengembangkan inisiatif mereka kepada lima fasa yang melibatkan 44 buah rumah warga setempat.

Kebun Komuniti Garden 8 bukanlah kebun yang hanya memiliki lebih daripada 100 tanaman pelbagai jenis sayuran, herba dan bunga, malah kebun ini menjadi ikon sebuah taman rekreasi yang selamat dan mempunyai pelbagai fungsi, misalnya sebagai laluan pejalan kaki, hiasan taman, sudut permainan tradisional dan kolam ikan untuk memastikan penduduk mempunyai gaya hidup yang sihat dari segi fizikal dan mental.

Lawatan ini turut memberikan inspirasi kepada para penyelidik dan wakil PTJ yang terlibat mengenai konsep urban farming, aktiviti kitar semula, pelibatan ahli, teknologi yang digunakan dan cara ini dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar bagi diadaptasi di UKM Kampus Kuala Lumpur.
Pembelajaran yang diterapkan oleh Kebun Komuniti Garden8 sepanjang lawatan ini termasuklah penggunaan sistem pengumpulan air hujan, mengitar semula sisa makanan di rumah dan di kebun untuk dijadikan baja kompos, mengitar semula bahan plastik, tin dan kertas serta penggunaan tenaga solar bagi menerangi ruang kebun tanaman pada waktu malam, sekali gus menjana pendapatan daripada penjualan hasil tanaman di Pasar Ahad pada hari Ahad terakhir setiap bulan.
Di samping itu, lawatan ini juga sangat penting bagi pelaksanaan fasa kedua Geran Penyelidikan Kelestarian UKM yang akan melibatkan pewujudan kebun organik yang boleh dimakan, menubuhkan stesen kitar semula, pengkomposan dan pengumpulan air hujan di sekitar UKM Kampus Kuala Lumpur.