Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Delegasi dari Jabatan Penyelidikan dan Inovasi (JPI), Universiti Teknologi MARA (UiTM) telah mengadakan program khidmat masyarakat (outreach) bersama-sama warga penyelidik UiTM Cawangan Perlis bagi memperkasakan bidang penyelidikan.
Ketibaan delegasi yang diketuai oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UiTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman disambut baik oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi dan Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan (PJIM&A), YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail serta barisan Jawatankuasa Eksekutif, UiTM Cawangan Perlis.
“UiTM Cawangan Perlis berasa teruja dengan kedatangan delegasi dari JPI ke UiTM Cawangan Perlis dalam usaha untuk meningkatkan ketampakan global dengan mempamerkan pencapaian melalui penerbitan berimpak tinggi, penjanaan idea bernas dan inovatif serta memperkasakan aktiviti pengkomersialan produk bermutu tinggi hasil penemuan saintifik dalam kalangan penyelidik UiTM, ” kata YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi ketika menyambut kehadiran delegasi dari JPI, UiTM.
Tambah beliau,
Pertemuan ini sudah pasti membakar semangat warga penyelidik untuk terus melakar banyak kejayaan dalam meningkatkan jumlah penerbitan ilmiah, perolehan geran, pendaftaran harta intelek, jaringan industri dan komuniti serta profesionalisme dalam diri warga pendidik.

Sementara itu, Pengarah Bahagian Pentadbiran Strategik dan Sumber Manusia, Encik Ts. Mohd Rafizi Rahman berkata, tujuan kehadiran delegasi JPI, UiTM adalah untuk memberikan taklimat mengenai pemerkasaan penyelidikan bersama-sama pensyarah UiTM Cawangan Perlis dan berkongsikan maklumat terkini berkenaan dengan tadbir urus JPI serta mempromosikan pelbagai pusat kecemerlangan yang terdapat di UiTM.
Ujar beliau,
Berslogankan “Pemangkin Idea”, pertemuan bersama-sama warga penyelidik UiTM Cawangan Perlis diharapkan dapat meneroka pelbagai bidang yang terdapat di pusat kecemerlangan dalam usaha meningkatkan keupayaan UiTM pada peringkat global.

Pengarah Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC), YBrs. Profesor Dr. Nor Azura Md Ghani dalam sesi perkongsiannya berkata, RMC dibangunkan untuk menguruskan aktiviti penyelidikan yang merangkumi aktiviti permohonan, penilaian, pemantauan, pengurusan dan mempelbagaikan sumber pembiayaan penyelidikan di UiTM.
Katanya,
Selain mempertingkat kecekapan tadbir urus berkaitan dengan penyelidikan dan geran, RMC sentiasa mengalu-alukan warga penyelidik untuk meneroka potensi geran nasional, antarabangsa, industri dan komuniti dalam usaha menghasilkan penyelidikan yang berkualiti.
Seterusnya, Pengarah Neksus Penyelidikan UiTM (ReNeU), YBrs. Profesor Ts. Dr. Asmah Awal pula menyatakan bahawa kini UiTM mempunyai enam tujahan bidang penyelidikan neksus yang merangkumi teknologi industri; logistik dan pengangkutan; teknologi siber; tenaga dan alam sekitar; kesihatan dan kesejahteraan serta kreativiti dan inovasi sosial.
Menurut beliau,
Di ReNeU UiTM, kami amat menggalakkan para penyelidik untuk meneroka dan mencadangkan bidang tujahan seperti yang dianjurkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi dalam usaha meningkatkan pencapaian penarafan UiTM pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Koordinator Harta Intelek BITCOM, YBrs. Dr. Muhamad Helmi Muhamad Khair dalam sesi perkongsian beliau telah menggalakkan para penyelidik untuk menyokong aktiviti pengkomersialan output penyelidikan dan inovasi serta pendaftaran harta intelek bagi menyokong visi UiTM sebagai hab perpindahan teknologi.
Beliau berkata,
BITCOM mampu membantu para penyelidik dalam proses pengurusan dan perlindungan harta intelek dan membentuk hubungan yang erat bersama-sama industri dan agensi kerajaan serta berusaha mencari peluang strategik untuk memasarkan produk penyelidikan.
Pengarah Penerbit UiTM, YBrs. Profesor Sr. Ts. Dr. Zulhabri Ismail pula mengalu-alukan penulisan ilmiah dan bukan ilmiah dalam kalangan warga penyelidik bagi memartabatkan nama UiTM dalam arena penerbitan.
“Di UiTM Press, kami meneliti setiap manuskrip yang dihantar bagi menjamin kualiti penulisan dan berusaha mempromosikan penerbitan dan jurnal UiTM dalam pelbagai platform,” katanya.

Timbalan Naib Canselor UiTM, YBrs. Profesor Ts. Dr. Norazah Abd Rahman dalam ucapannya menyeru agar para penyelidik meningkatkan permohonan kenaikan pangkat, memperkasakan kemahiran kepimpinan dan mengambil berat akan perihal UiTM.
Kata beliau,
UiTM Cawangan Perlis mempunyai pembimbing yang berkaliber seperti Profesor Dr. Haji Khudzir Haji Ismail yang merupakan mantan rektor universiti ini bagi menyuburkan kemahiran kepimpinan yang lebih efektif.
Beliau juga menggalakkan DNA penyelidikan dibentuk dalam diri penyelidik merangkumi aspek geran penyelidikan aktif, penerbitan berindeks, penyeliaan pascasiswazah, jaringan kolaborasi pintar, penyertaan ahli aktif entiti kecemerlangan, harta intelek dan impak penyelidikan kepada komuniti.
Ujar beliau lagi,
Saya juga berharap warga penyelidik dapat mengelakkan diri untuk bekerja sendirian dan tidak ambil peduli akan perihal UiTM, walhal kita sedia maklum bahawa tabiat kerja dalam berpasukan lebih menguntungkan dalam pelbagai aspek berkaitan dengan penyelidikan dan inovasi.
Turut hadir ialah wakil dari Atta-ur-Rahman Institute for Natural Product Discovery (AuRIns); Institut Patologi, Perubatan Makmal dan Forensik (I-PPerForM); Integrative Pharmacogenomics Institute (iPROMISE); Malaysia Institute of Transport (MITRANS); Accounting Research Institute (ARI); Smart Manufacturing Research Institute (SMRI) dan Institute for Big Data Analytics and Artificial Intelligence (IBDAAI).

