Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Perlis melalui Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan (PJIM&A) telah menganjurkan The Symposium on Innovation and Creativity 2024 ke-14 (SIC-14).
Sebanyak 30 penyertaan telah diterima oleh pihak penganjur yang diwakili oleh warga UiTM Cawangan Perlis yang terdiri daripada mahasiswa, pelajar pascasiswazah dan pensyarah.
Pengumuman pemenang telah diumumkan pada 13 September 2024 lalu setelah sesi picing diadakan di hadapan para juri jemputan.
SIC-14 telah dirasmikan oleh Rektor UiTM Cawangan Perlis, YBrs. Profesor Madya Dr. Shukor Sanim Mohd Fauzi di Dewan Kuliah 6, Kompleks STAR, UiTM Cawangan Perlis.

Menurut beliau, penganjuran simposium tersebut amat bertepatan dalam menyediakan platform yang kondusif untuk kakitangan dan mahasiswa UiTM Cawangan Perlis, khususnya bagi memulakan langkah dalam dunia penyelidikan dan inovasi.
Ujar beliau,
Ibarat serampang dua mata, warga UiTM Cawangan Perlis boleh mengambil kesempatan ini untuk menambah kemahiran berkomunikasi dalam membentangkan idea bernas dan dapatan kajian saintifik sambil mendapatkan maklum balas daripada barisan juri profesional dan para penyelidik yang berpengalaman.
Beliau juga menyatakan bahawa pelibatan warga UiTM Cawangan Perlis dalam SIC-14 telah memenuhi hasrat Pelan Tindakan dan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021–2030 yang memperkenalkan konsep sains, teknologi, inovasi dan ekonomi (STIE) bagi menyokong pertumbuhan ekonomi negara agar lebih mampan.
Sementara itu, Timbalan Rektor Bahagian Penyelidikan, Jaringan Industri, Masyarakat, Alumni dan Keusahawanan, YBrs. Profesor Madya Dr. Wan Izhan Nawawi Wan Ismail teruja dengan penyertaan para peserta pada edisi kali ini.

Katanya,
Saya berasa amat gembira dengan penyertaan warga UiTM Cawangan Perlis dalam pertandingan ini yang mampu memberikan banyak nilai tambah dalam pelbagai aspek.
Tambah beliau,
Para pemenang yang bertuah berpeluang mewakili kontinjen UiTM Cawangan Perlis ke The Invention, Innovation and Design Exposition (IIDEX2024) yang akan diadakan di Dewan Berlian, UiTM Cawangan Selangor, Kampus Puncak Alam pada 4 November 2024 hingga 8 November 2024 nanti.
Koordinator Unit Pengurusan Inovasi dan Kepakaran (UPIK), YBrs. Dr. Ang Lee Sin pula berkata, SIC-14 menjadi pentas warga penyelidik untuk membudayakan aktiviti penyelidikan dan inovasi dalam usaha meningkatkan kepakaran dan profesionalisme golongan akademia serta melontarkan idea strategik dalam menyelesaikan masalah sosioekonomi yang berlaku pada hari ini.
Ujar beliau,
Membudayakan aktiviti penyelidikan dan inovasi melestarikan elemen daya saing dan kecekapan golongan akademia dalam memastikan negara ini tidak ketandusan idea bernas untuk memacu pertumbuhan negara.
Jelasnya,
Penganjuran program seumpama ini boleh menggilap potensi produk inovasi unggul untuk bertanding ke peringkat yang lebih tinggi, selain meninjau peluang pengkomersialan dan pendaftaran harta intelek.
SIC-14 telah diadili oleh juri jemputan profesional dari universiti luar yang terdiri daripada YBrs. Ts. Dr. Iszaidy Ismail, YBrs. Ts. Dr. Mohd Ilman Jais, YBrs. Dr. Norizan Mohamed Nawawi, YBrs. Ts. Dr. Ismahayati Adam, YBrs. Ts. Dr. ‘Aini Syuhada Md Zain dan YBrs. Dr. Mohd Fairul Sharin Razak.
Produk PEC PROCESS: A Novel Continuous Treatment System for Efficient Wastewater Treatment oleh YBrs. Dr. Zuliahani Ahmad berjaya memenangi tempat pertama; MYNUTRICAPSULE Irrigation System oleh Encik Azlan Abdul Aziz memperoleh tempat kedua dan A Composition and A Method of Producing A Rubber Tile oleh YBrs. Dr. Dalina Samsudin mendapat tempat ketiga dalam pertandingan SIC-14 berkenaan.
