Diterbitkan pada 20 September 2024, 17:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Johor Bharu – “Dalam landskap teknologi moden dan pesat pada masa ini, amalan perlindungan sinaran yang baik perlu diberikan penekanan untuk memastikan keselamatan pekerja, orang awam dan alam sekitar terjamin.”

Demikian penegasan yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan ketika menyampaikan ucapan perasmian dalam Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran (RPCW) 2024 di Holiday Villa, Johor Bahru, hari ini.

Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Teknologi) Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), YBhg. Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan ketika berucap dalam Majlis Perasmian Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2024.

Beliau berkata, pemerhatian dan pemahaman terhadap amalan semasa, inovasi teknologi terkini dan trend masa hadapan menyumbang ke arah pemahaman tentang panorama perlindungan sinaran yang sentiasa berevolusi.

Tambah beliau,

Dasar Teknologi Nuklear Negara (DTNN) yang diperkenalkan oleh MOSTI adalah bertujuan menangani isu tersebut di samping memperluas tahap sumbangan teknologi nuklear kepada produktiviti negara bagi menyokong aspirasi menjadi sebuah negara yang progresif dan mampan menjelang tahun 2030.

Ujar beliau, kepentingan amalan keselamatan perlindungan yang terbaik tidak boleh sama sekali dikompromikan dalam apa-apa jua keadaan dan pelbagai inovasi perlu dihasilkan untuk meningkatkan keselamatan dan perlindungan sinaran.

RPCW 2024 merupakan program anjuran Agensi Nuklear Malaysia dan Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia dengan kerjasama Jabatan Tenaga Atom serta disokong oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dan bertemakan “Enhancing Radiation Safety Practices: Innovations and Emerging Technologies.”

Persidangan yang diadakan selama empat hari mulai 17 September 2024 hingga 20 September 2024 itu menghimpunkan sebanyak 200 orang para profesional dan pengamal sinaran mengion dari seluruh Malaysia.

RPCW 2024 merupakan satu platform yang ideal bagi semua pihak untuk berkongsikan idea, ilmu dan strategi terbaik dan menjadi sebagai satu daripada acara yang penting untuk mencapai agenda negara selaras dengan DTNN, iaitu  mengarusperdanakan penggunaan teknologi nuklear secara aman ke arah mempertingkat daya saing industri, memperkukuh kesejahteraan rakyat dan memelihara sumber asli dan alam sekitar.

Program ini juga telah menerima nilai mata pemberat (CEP) yang diiktiraf oleh Jabatan Tenaga Atom Malaysia yang membolehkan peserta yang mengikuti program ini sepenuhnya layak untuk memperbaharui Lesen Pegawai Perlindungan Sinaran (RPO) di Malaysia dan seterusnya mengekalkan kompetensi mereka sebagai pengamal sinaran.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Pengarah Program Penyelidikan dan Pembangunan Teknologi, Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Muhammad Rawi Mohamed Zin; Presiden, Persatuan Perlindungan Sinaran Malaysia, YBrs. Ts. Dr. Husaini Salleh dan Pengerusi, Jawatankuasa Penganjur Persidangan dan Bengkel Perlindungan Sinaran 2024, YBrs. Dr. Nor Pa’iza Mohamad Hasan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi