Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram
Langgan SekarangPutrajaya – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan satu kes yang disahkan positif cacar monyet atau monkeypox (mpox) varian Clade II di negara ini, semalam.
Demikian antara kenyataan yang dikeluarkan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan pada hari ini.
Beliau berkata, pesakit tersebut merupakan seorang lelaki tempatan yang mula menunjukkan gejala demam, sakit tekak dan batuk pada 11 September, manakala ruam mula muncul pada 12 September.
“Pesakit tersebut tiada sejarah perjalanan ke luar negara dalam tempoh 21 hari sebelum gejala timbul dan kini sedang dalam pengasingan. Beliau berada dalam keadaan stabil serta semua kontak bagi pesakit ini sedang dan status kesihatan mereka akan dipantau mengikut prosedur operasi standard semasa yang ketat,” katanya.
Menurut beliau, daripada 58 kes disyaki mpox yang telah dirujuk kepada KKM sepanjang tahun ini, satu kes disahkan positif mpox varian Clade II pada 16 September 2024 dan semua 10 kes di Malaysia sejak 26 Julai 2023 hingga kini adalah daripada Clade II sahaja.
Beliau mengingatkan orang awam untuk meningkatkan kesiapsiagaan bagi membolehkan orang ramai memainkan peranan dengan meningkatkan kawalan kesihatan kendiri.
Tambah beliau, pengamal perubatan di barisan hadapan juga perlu terus peka terhadap individu bergejala ruam dan lepuh yang datang mendapatkan rawatan, terutamanya dalam kalangan kumpulan berisiko tinggi.
“Bagi kes yang disyaki mpox, calit lepuh, oral dan sampel darah atau serum perlu dihantar ke makmal yang menyediakan perkhidmatan ujian pengesanan virus mpox,” jelas beliau.
Katanya, kes disyaki mpox hendaklah dinotifikasi ke Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) berhampiran melalui Sistem e-Notifikasi agar siasatan lanjut serta langkah pencegahan dan kawalan dapat dijalankan.
Terdahulu, katanya, mpox telah diisytiharkan sebagai Kecemasan Kesihatan Awam yang Menjadi Kepentingan Antarabangsa (PHEIC) buat kali kedua pada 14 Ogos 2024 berikutan penularan varian Clade Ib virus ini yang lebih pantas di Republik Demokratik Congo dan beberapa buah negara jiran di rantau Afrika.
Beliau memaklumkan KKM telah mengaktifkan Bilik Gerakan Mpox di Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis (CPRC) Kebangsaan pada 16 Ogos 2024 dan akan terus memantau situasi Mpox serta menyelaraskan langkah kesiapsiagaan dan respons yang berkenaan.