13 September 2024, 21:29

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Malaysia berhasrat untuk mencipta masa hadapan digital yang lebih mampan selaras dengan visi dan misi negara untuk menjadi destinasi utama transformasi digital di rantau ini, kata Menteri Digital, Yang Berhormat (YB) Gobind Singh Deo sebelum merasmikan Malaysia Digital Content Festival (MYDCF) 2024 dan Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

“Aspirasi ini seiring dengan arus pendigitalan global yang semakin pesat apabila teknologi digital bukan sahaja mengubah landskap ekonomi, malah cara kita berinteraksi, bekerja dan menjalankan perniagaan,” kata beliau.

“Inovasi dan pembangunan bakat yang menyeluruh ialah kunci utama untuk mencapai visi dan misi tersebut. Inisiatif seperti MYDCF dan MyDigitalMaker merupakan langkah proaktif untuk memastikan inovasi, kreativiti dan bakat terus berkembang dalam kalangan rakyat Malaysia,” tambahnya lagi.

Menurut YB Gobind Singh Deo, tumpuan kepada inovasi dan pembangunan bakat dalam kalangan generasi muda adalah penting bagi mempersiapkan mereka untuk mengemudi ekonomi digital Malaysia yang dijangka menyumbang sebanyak 25.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar menjelang tahun 2025.

Pasaran kandungan kreatif dunia dijangka mencecah RM3.1 trilion menjelang tahun 2027 dengan kadar pertumbuhan tahunan (CAGR) sebanyak 9.97 peratus antara tahun 2020 hingga tahun 2027 yang merangkumi sektor filem, televisyen, permainan video, media sosial dan platform penstriman.

Industri permainan video atau e-sukan di Malaysia pula dijangka menjana pendapatan kira-kira RM3 bilion.

Dengan bilangan pemain yang semakin meningkat, Malaysia muncul sebagai pemain utama dalam pasaran permainan global, yakni sekitar 22.5 juta daripada 34.1 juta penduduk Malaysia adalah pemain aktif dan hampir separuh daripadanya, kira-kira 9.7 juta merupakan pengguna berbayar.

Industri ini dijangka mengekalkan kadar pertumbuhan tahunan sebanyak 7.55 peratus hingga tahun 2027 dan didorong oleh penggunaan telefon pintar yang meluas, jaringan Internet yang stabil dan populariti e-sukan yang semakin meningkat.

Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo menekankan pentingnya inovasi dan pembangunan bakat untuk mencipta masa depan digital yang mampan, selaras dengan visi negara sebagai destinasi utama transformasi digital di rantau ini dalam ucapan perasmian MYDCF 2024 dan Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur. 

Industri kandungan digital di Malaysia juga melibatkan lebih 10 ribu pekerja profesional dari lebih 300 studio di seluruh negara.

“Malaysia berjaya menarik pelaburan daripada studio besar seperti Electronic Arts/Codemasters, Streamline Studios, Bandai Namco, Playstation Studios, Larian Studios dan Virtuous,” ujar YB Gobind Singh Deo lagi.

Menteri Digital, YB Gobind Singh Deo dan Pengerusi MDEC, YB Syed Ibrahim Syed Noh mencuba permainan digital di satu daripada reruai di MYDCF dan MyDigitalMaker 2024.

Kedua-dua acara ini menjadi platform untuk memartabatkan ilmu teknologi digital dan mengetengahkan bakat serta inovasi generasi muda, selain berfungsi sebagai medan pertemuan antara bakat dengan pemain industri dalam bidang animasi, permainan digital dan konvensional, teknologi kreatif, komik dan e-sukan di bawah satu bumbung.

Turut hadir dalam majlis ini ialah Ketua Setiausaha Kementerian Digital, YBrs. Fabian Bigar; Pengerusi MDEC, YB Syed Ibrahim Syed Noh; Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Encik Amar Huzaimi Md Deris; dan Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia Berhad, Encik Zainal Abas.

Tahun lalu, MYDCF berjaya menarik lebih 20 ribu pengunjung serta penyertaan lebih 300 organisasi dan 10 jenama dari negara serantau yang menjadikannya sebagai platform utama untuk memacu ekonomi digital Malaysia.

Bertemakan “Tech Heroes Unleashed”, Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker yang dianjurkan bersama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Synapze Sdn. Bhd. merupakan inisiatif MyDigitalMaker yang bertujuan mentransformasikan pelajar sekolah daripada pengguna kepada pencipta teknologi digital.

Sejak tahun 2016, karnival ini telah memberi manfaat kepada lebih 150, ribu pelajar sekolah di seluruh negara dan lebih 2.5 juta pelajar sekolah telah menyertai pelbagai program seperti Digital Maker Hub, #CikguJuaraDigital, MetaSkool dan Digital Ninja.

Karnival MyDigitalMaker tahun pula ini dimulakan dengan acara satelit dari Mei hingga September 2024 dengan kerjasama Pusat Sains Negara, Karnival Pendidikan Digital Kelantan, Karnival Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) Negeri Sarawak, Karnival STEM Johor dan Karnival MaiREKA Kedah.

Pelbagai program lain turut diadakan seperti pameran Young STEAMist, Felda Robot Challenge, MetaSkool, Green Sprout Innovation Challenge, RacerBot Challenge, dan pertandingan seperti MakeX, F1 in Schools serta kerjasama global bersama-sama United Nations International Children’s Emergency Fund (UNICEF) dan Canva Australia untuk memperkasa peluang pembelajaran bagi pelajar dan guru.

MYDCF dan Karnival Antarabangsa MyDigitalMaker akan berlangsung dari 13 September 2024 hingga 15 September 2024.

 

Kredit foto: Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC)

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.