Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSerdang – Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Institut Darul Ridzuan (IDR) memperkukuh hubungan strategik dalam bidang pembangunan usahawan tani dan perkongsian analitik data melalui pemeteraian memorandum persefahaman (MoU), semalam.
Majlis tersebut disaksikan oleh Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian, dan Industri Makanan Negeri Perak, Yang Berhormat Dato’ Haji Mohd Zolkaply Harun di Pavilion Negeri Perak yang didirikan bersempena dengan Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia (MAHA) 2024.
Perjanjian ini menandakan langkah penting dalam memajukan sektor pertanian melalui penggunaan teknologi moden serta pembangunan kapasiti usahawan tani di Perak.
Kerjasama ini dijangka membuka jalan untuk pelaksanaan penyelidikan bersama, pemindahan teknologi serta menyediakan khidmat nasihat teknikal yang dapat memperkasakan masyarakat tani dengan teknologi pertanian yang cekap dan berdaya saing.
IDR selaku badan pemikir negeri Perak akan memainkan peranan utama dalam menyelaraskan strategi pembangunan sosioekonomi negeri melalui inisiatif berimpak tinggi, manakala MARDI akan menyumbang kepakaran teknikalnya dalam memacu kemajuan industri pertanian.
Memorandum ini juga akan membina asas untuk kerjasama yang lebih erat dalam bidang penyelidikan dan pengembangan sektor pertanian yang menjadi satu daripada tunjang penting dalam usaha Perak mencapai matlamat keterjaminan makanan selaras dengan satu daripada agenda utama Pelan Perak Sejahtera 2030, iaitu sekuriti makanan.
MARDI diwakili oleh Ketua Pengarah MARDI, YBhg. Dato’ Dr. Haji Mohamad ZabawiAbdul Ghani, manakala IDR diwakili oleh Ketua Eksekutif Institut Darul Ridzuan, Dr. Maisarah binti Ahmad.