Diterbitkan pada 9 September 2024, 10:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Arau Universiti Teknologi MARA (UiTM)  Cawangan Perlis melalui Bahagian Pentadbiran dan Perpustakaan Dato’ Jaafar Hassan (PDJH) telah mengadakan program perkongsian ilmu tentang tatacara permohonan kelulusan pembelian peralatan dan pengesahan melalui Jawatankuasa Penilaian Projek dan Teknikal Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan Elektronik Negeri (JITEN).

Sesi perkongsian berkenaan disampaikan oleh Penolong Pegawai Teknologi Maklumat Tertinggi, Puan Norshakina Johari dan dihadiri oleh pemohon pelbagai pusat tanggungjawab di UiTM.

Beliau berkata JITEN berfungsi untuk meluluskan permohonan perolehan UiTM Cawangan berdasarkan skop bidang berkaitan dengan ICT, alat pandang dengar, peralatan elektronik pejabat dan peralatan telekomunikasi mengikut had nilai perolehan, iaitu hingga RM500,000.

JITEN memantau perkembangan program ICT dan elektronik di UiTM serta memahami keperluan dan kekangan yang dihadapi dalam proses pelaksanaannya.

“Antara skop penilaian teknikal yang dilakukan oleh JITEN termasuklah meluluskan spesifikasi, mengesyorkan analisis teknikal, mengesahkan jalanan ujian, pertukaran model dan penggantian peralatan yang hilang,” tambah beliau.

Beliau juga berkata antara punca permohonan JITEN ditolak adalah disebabkan oleh ketidaksempurnaan mengisi maklumat dan menyediakan dokumen yang diperlukan.

Puan Norshakina Johari berkongsi maklumat permohonan JITEN di Bilik Seminar PDJH 2, UiTM Cawangan Perlis.

“Pemohon perlu berhati-hati semasa mengisi maklumat spesifikasi pembelian alatan ICT dan elektronik dengan betul dan sempurna kerana kegagalan tersebut akan melambatkan proses permohonan JITEN,” jelasnya lagi.

“Pemohon juga digalakkan berunding atau mendapat khidmat nasihat daripada pakar bidang yang telah dilantik oleh Jawatankuasa JITEN bagi memudahkan proses penyediaan dokumen sokongan,“ cadang beliau.

Beliau menasihati pemohon untuk menyediakan surat permohonan, borang permohonan, spesifikasi peralatan, kajian pasaran dan katalog peralatan dengan betul sebelum dibentangkan kepada mesyuarat bulanan JITEN.

“Surat kelulusan akan dikeluarkan setelah semakan spesifikasi dijalankan dan ahlijawatankuasa JITEN mengesahkan dalam sistem eProcurement Plus sebelum pemohon melaksanakan proses perolehan mengikut prosedur kewangan,“ kata beliau.

“Proses permohonan kelulusan pembelian dan pengesahan spesifikasi JITEN tamat setelah pemohon mengesahkan ujilari peralatan yang dipohon,“ tambahnya lagi.

Sebelum mengakhiri perkongsian, beliau berharap pemohon dapat mengikut prosedur permohonan JITEN bagi merancakkan proses pengajaran dan pembelajaran serta kajian saintifik dijalankan di UiTM.

Turut hadir menyaksikan perkongsian beliau adalah Pegawai Keselamatan Kanan, Encik Muhamad Ridzuan Hadziar dan Pustakawan PDJH, Encik Khairil Izwan Hasan.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi