Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Pengangkutan awam merupakan nadi mobiliti masyarakat moden yang menjadi penghubung antara penduduk di bandar besar dengan kawasan luar bandar. Pengangkutan umum juga menjadi pemangkin dalam memacu dan membentuk pertumbuhan ekonomi bagi memenuhi permintaan yang semakin meningkat.

Namun demikian, dalam mengejar keberkesanan dan capaian yang luas, isu keselamatan penumpang, terutamanya wanita sering kali dipandang remeh. Pada tahun 2012, The Star melaporkan bahawa satu daripada empat wanita yang berulang-alik dengan menggunakan pengangkutan awam telah mengalami gangguan seksual.

Berdasarkan komposisi penumpang perkhidmatan rel, peratus penumpang wanita adalah sebanyak 53 peratus, manakala penumpang lelaki adalah sebanyak 47 peratus. Melalui tinjauan syarikat pengangkutan rel, majoriti golongan wanita melaporkan bahawa mereka telah diraba yang kebanyakan daripada insiden tersebut berlaku di dalam gerabak kereta api. Pada kebiasaannya, mangsa terdiri daripada golongan wanita muda, terutamanya pelajar sekolah dan universiti.

Untuk mengatasi isu ini, koc wanita diperkenalkan sebagai inisiatif untuk meningkatkan keselamatan dan keselesaan penumpang wanita. Pengasingan penumpang mengikut gender ini juga menjadi langkah ke arah pengangkutan awam yang lebih selamat dan inklusif.

Satu persoalan yang pastinya memerlukan jawapan yang tuntas ialah apakah kepentingan koc wanita? Penubuhan koc wanita dianggap sebagai usaha yang penting kerana peranannya yang bukan sekadar memberikan kemudahan fizikal; malah mencerminkan komitmen terhadap isu keselamatan sosial, hak asasi dan kesejahteraan wanita di ruangan awam.

Dalam masyarakat moden, apabila pergerakan wanita semakin aktif, cabaran keselamatan akan meningkat, terutamanya dalam persekitaran sesak seperti tren dan stesen. Oleh sebab itu, koc wanita merupakan tindak balas langsung terhadap realiti harian yang dihadapi oleh banyak pengguna wanita yang sering berhadapan dengan risiko gangguan seksual dalam pengangkutan awam yang padat.

Menurut Prasarana Malaysia Berhad, terdapat beberapa golongan yang dibenarkan untuk menggunakan koc wanita. Pertama, semua penumpang perempuan pelbagai umur dan kanak-kanak lelaki berusia 12 tahun dan ke bawah yang ditemani oleh penjaga wanita. Kedua, seluruh komuniti orang kelainan upaya (OKU), termasuklah penjaga diberikan keutamaan untuk menaiki mana-mana gerabak tren.

Konsep koc wanita bukanlah sesuatu yang baharu, malah telah lama diperkenalkan di beberapa negara. Konsep ini pertama kali diperkenalkan di Jepun seawal tahun 1912 apabila gerabak khas telah diperuntukkan bagi wanita untuk mengatasi masalah gangguan seksual yang semakin meningkat. Inisiatif ini telah memberikan impak kepada banyak negara lain untuk turut menyediakan koc khas bagi wanita.

Di India, koc wanita telah diwujudkan dalam perkhidmatan kereta api dan bas di bandar besar seperti New Delhi dan Mumbai untuk menangani masalah keselamatan yang sama seperti di Jepun. Bandar raya lain seperti Jakarta, Dubai, Mexico City dan Rio De Janeiro juga telah melaksanakan penggunaan koc wanita dengan berkesan dan efektif.

Negara lain seperti Mesir, Indonesia dan Brazil juga telah menggunakan koc wanita dalam sistem pengangkutan awam mereka. Walaupun pelaksanaannya berhadapan dengan pelbagai cabaran dan respons yang berbeza dari kalangan masyarakat, inisiatif ini secara umumnya bertujuan untuk memberikan ruang yang lebih selamat dan selesa bagi wanita dalam perjalanan harian mereka.

Di Malaysia, koc wanita pada mulanya hanya meliputi perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) apabila gerabak khas itu direalisasikan pada tahun 2010 dan berjaya menarik minat ramai penumpang wanita. Kejayaan ini sekali gus menyebabkan penubuhan Koc Wanita transit aliran massa (MRT) Kajang oleh Menteri Pengangkutan, Yang Berhormat Tuan Anthony Loke yang telah memperuntukkan koc khusus untuk memberikan penumpang wanita ruang yang lebih selamat dan selesa, terutamanya dalam perjalanan jarak jauh dan waktu puncak.

Kedudukan koc wanita adalah di bahagian tengah setiap tren MRT Laluan Kajang dan Putrajaya dengan menggunakan sebahagian daripada koc dua dan sebahagian daripada koc dua. Lokasi di tengah dipilih tren agar selaras dengan garis menunggu di platform serta untuk menyeragamkan keperluan operasi tren di semua stesen. Gerabak khas itu ditandakan dengan jelas melalui pelekat dan papan tanda berwarna merah jambu dan kebiasaannya diletakkan di tengah-tengah tren supaya penumpang dapat membezakan antara koc wanita dan koc biasa dengan jelas.

Kadar penggunaan koc wanita di Malaysia menunjukkan sambutan yang sangat baik. Sejak pengenalan koc wanita di MRT Kajang, penurunan jumlah aduan kes gangguan seksual terhadap penumpang wanita daripada lapas kes pada suku pertama tahun 2023 kepada tiga kes pada suku keempat. Jumlah aduan gangguan seksual juga telah berkurangan daripada purata 3.2 kes kepada dua kes sebulan. Walaupun terdapat cabaran dalam pelaksanaannya, maklum balas pengguna menunjukkan bahawa inisiatif ini membantu mengurangkan risiko gangguan seksual dan jenayah.

Kajian dan statistik menunjukkan bahawa insiden gangguan seksual di dalam tren atau kereta api merupakan masalah global yang memerlukan penyelesaian yang lebih proaktif. Malaysia tidak terkecuali dalam menghadapi cabaran ini. Pengenalan gerabak khas ini mendapat sambutan yang positif dan menunjukkan bahawa wanita berasa lebih selesa dan terjamin ketika menggunakan perkhidmatan tersebut. Inisiatif serupa juga diterapkan dalam perkhidmatan MRT Kajang meskipun menghadapi beberapa cabaran operasi.

Walaupun langkah ini dilihat sebagai usaha proaktif, isu berkaitan pelaksanaannya telah mencetuskan perdebatan hangat, terutamanya dalam media sosial X, Facebook dan TikTok. “Current women coach cannot fit in at all”, itulah antara luahan yang ditulis oleh pengguna harian koc wanita yang merasakan bahawa kapasiti gerabak khas untuk wanita adalah sangat terhad dan tidak mencukupi, terutamanya pada waktu pagi dan petang. Keadaan ini menyebabkan masalah seperti tempat duduk dan pemegang tali penyangkut tangan yang mencukupi memandangkan koc tersebut perlu menampung jumlah perjalanan melebihi 200 sehari.

Masalah itu bertambah teruk apabila terdapat segelintir penumpang lelaki yang berdegil untuk turut serta menaiki koc wanita pada waktu puncak, sekali gus menyebabkan peningkatan kes gangguan seksual. Waktu puncak yang sesak adalah waktu apabila pelaku mengambil peluang untuk merebut tempat duduk dan melakukan tindakan seksual yang tidak sewajarnya terhadap pengguna wanita. Apabila kereta api berada dalam kawasan gelap dan keadaan kosong, pesalah mula melakukan aksi tidak senonoh seperti pencabulan atau keadaan yang lebih teruk seperti rogol. Kebimbangan dan kelemahan emosi ketika menentukan, sama ada mereka berasa selesa dalam sesuatu situasi akan mengubah mobiliti mereka dan menyebabkan mereka mengelak daripada mengakses kawasan awam sepenuhnya.

Bagaimanakah kejadian tersebut boleh berlaku? Pastinya kerana pengawasan dan pemantauan oleh pihak berkuasa yang kurang konsisten, sama ada tiada pemasangan kamera kamera litar tertutup (CCTV) ataupun tiada kehadiran pengawal keselamatan di gerabak dan stesen. Walaupun terdapat kira-kira 1300 polis bantuan sedia ada yang sudah ditempatkan di 115 lokasi stesen pengangkutan awam di Lembah Klang, hal ini perkara ini masih terjadi atas kelemahan sistem polis bantuan yang sedia ada.

Selepas Menteri Pengangkutan mengumumkan bahawa denda akan dikenakan terhadap pengguna lelaki yang melepasi garisan koc wanita, pendebatan hangat antara pengguna lelaki dengan pengguna perempuan telah tercetus di media sosial. Ungkapan seperti “If this isn’t sexism, I don’t know what is.”,Buuuu sexism, sexism apply to both genders not female only!” dan “Ffs, is this a joke??!!” dapat dibaca dibawah hantaran Berita Harian. Segala tomahan dan tanggapan sosial boleh dibaca melalui aplikasi X apabila banyaj pengguna lelaki yang melihat bahawa koc wanita sebagai satu langkah yang diskriminatif.

Masalah berkaitan dengan koc wanita di Malaysia memerlukan penyelesaian yang komprohensif dan holistik bagi memastikan inisiatif ini benar-benar mencapai matlamatnya dalam menjamin keselamatan dan keselesaan penumpang wanita. Pertama, penguatkuasaan yang lebih ketat perlu dilaksanakan. Hal ini boleh dicapai melalui penambahan jumlah petugas keselamatan wanita di tren dan stesen yang bertanggungjawab memantau penggunaan koc wanita sepanjang waktu operasi. Larangan terhadap pengguna lelaki yang degil, tidak cakna dan menceroboh koc ini haruslah tegas dan tindakan melarang sama sekali untuk mereka menaiki koc ini perlu dibuat serta merta.

Teknologi seperti CCTV harus digunakan secara optimum untuk memastikan hanya penumpang wanita yang mengguna koc ini sambil memberikan kuasa kepada pegawai untuk bertindak segera terhadap sebarang pelanggaran peraturan. Walau bagaimanapun, kajian terdahulu masih menunjukkan bahawa responden wanita berasa lebih selamat apabila mereka sedang dipantau oleh polis atau pegawai terlatih dan bukannya melalui CCVT sahaja.

Seiring dengan itu, faktor keselamatan apabila pengguna boleh berjalan dengan bebas tanpa rasa takut perlu diambil kira ketika mereka bentuk ruang awam, sekali gus boleh menyampaikan mesej bahawa kawasan tertentu adalah untuk kegunaan kaum wanita sahaja. Penambahbaikan polisi dan peraturan sedia ada juga perlu dilakukan secara berteruskan. Akta Antigangguan Seksual 2022 mesti diperketatkan bagi memastikan mana-mana kehadiran penumpang lelaki dalam koc wanita sahaja akan dikenakan hukuman atau denda yang setimpal.

Pada zaman modenisasi ini, hampir semua penumpang membawa telefon bimbit. Kebanyakan pihak pengurusan telah menyediakan aplikasi yang akan memudahkan penumpang untuk membuat laporan secara dalam talian dan secara langsung kepada pihak pengurusan pengangkutan. Sebagai contohnya, Jabatan Polis Metropolitan Tokyo di Jepun telah menyediakan aplikasi yang menawarkan penggunanya melaporkan kes pencabulan yang berlaku dan mampu mengenal pasti tahap sesuatu kes jenayah.

Elemen reka bentuk yang menitikberatkan kebersihan dan penyelenggaraan yang baik di setiap gerabak dan platform merupakan satu daripada cara untuk mewujudkan suasana persekitaran anti gangguan seksual di kawasan pengangkutan awam. Reka bentuk gerabak pengangkutan awam yang mempunyai sistem butang panik, penggera dan telefon kecemasan dapat meningkatkan tahap keselamatan yang tinggi untuk pengguna wanita, khususnya ketika menaiki pengangkutan awam.

Selain itu, pendidikan dan kesedaran awam mengenai kepentingan koc wanita harus dipergiatkan. Kempen kesedaran melalui platform media massa dan digital dan institusi pendidikan perlu menekankan betapa pentingnya menghormati hak wanita serta peranan koc wanita dalam mengurangkan risiko gangguan seksual. Kerjasama bersama badan berkanun yang memperjuangkan hak wanita juga amatlah digalakkan kerana secara tidak langsung dapat menguatkan lagi usaha memperluaskan kesedaran dan advokasi mengenai pentingnya koc wanita.

Dalam jangka masa panjang, masih terdapat keperluan untuk menilai semula pelaksanaan koc wanita dan memperhalusi pendekatan yang lebih holistik dalam meningkatkan keselamatan pengangkutan awam secara keseluruhan. Masa hadapan koc wanita dalam pengangkutan awam bergantung pada isu semasa ditangani dan inisiatif ini dapat dikembangkan. Hal ini termasuklah mengatasi isu budaya yang mendasari gangguan seksual, meningkatkan keselamatan dalam semua koc, mewujudkan persekitaran yang selamat untuk semua penumpang tanpa mengira gender serta melahirkan generasi yang menghormati hak wanita.

Puan Iszyiana Syuhada Ismi,
Pelajar prasiswazah,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ts. Dr. Faridah Hanim Khairuddin,
Pensyarah,
Universiti Pertahanan Nasional Malaysia.

Profesor Madya Ts. Ir. Dr. Nur Izzi Md Yusoff,
Pensyarah kanan,
Universiti Kebangsaan Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.