Diterbitkan pada 3 September 2024, 10:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Bangi – Sebanyak 13 buah buku Laporan Pengurusan Pengetahuan Bahagian terbitan Agensi Nuklear Malaysia (Nuklear Malaysia) telah berjaya dilancarkan dalam Majlis Perhimpunan Bulanan bertemakan “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” anjuran Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM).

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan dalam ucapan pelancarannya berkata pengurusan pengetahuan merupakan elemen penting dalam memastikan aset pengetahuan, maklumat dan data berharga mengenai sains dan teknologi nuklear diurus dengan baik, disimpan dengan selamat seterusnya dapat diakses dengan mudah.

Ketua Pengarah Nuklear Malaysia, YBrs. Dr. Rosli Darmawan ketika menyampaikan ucapan pelancaran buku 13 buah buku Laporan Pengurusan Pengetahuan Bahagian.

“Pendokumentasian pelbagai sumber maklumat merupakan keutamaan yang perlu dilaksanakan bagi memastikan penyebaran maklumat sains dan teknologi nuklear dapat disebar luaskan kepada masyarakat”.

Penghasilan 13 buah buku Laporan Pengurusan Pengetahuan Bahagian adalah antara inisiatif Program Pengukuhan Pengurusan Pengetahuan dalam menyokong Wawasan Nuklear Malaysia 2030 (WNM2030) selain menjadi kunci kejayaan perancangan jangka panjang Teras Strategik Lima (5), Persekitaran Kondusif bagi Memupuk Bakat dan Kapasiti Penyelidikan dan Pembangunan dalam Sains dan Teknologi Nuklear yang ditekankan dalam WNM2030.

Buku karya pasukan penulis yang dilantik daripada setiap 13 bahagian di Nuklear Malaysia yang merangkumi Bahagian Pengurusan Maklumat (BPM), Bahagian Sokongan Teknikal (BST), Bahagian Keselamatan & Kesihatan Sinaran (BKS), Bahagian Agroteknologi dan Biosains (BAB), Bahagian Teknologi Industri (BTI), Bahagian Pengkomersilan Teknologi (BKT), Bahagian Perancangan & Hubungan Antarabagsa (BPA), Bahagian Teknologi Sisa dan Alam Sekitar (BAS), Bahagian Teknologi Perubatan (BTP), Bahagian Pemprosesan Sinaran (BTS), Bahagian Kejuruteraan (BKJ), Bahagian Sumber Manusia (BSM) serta Bahagian Khidmat Pengurusan (BKP) yang memperincikan perkembangan aktiviti, prestasi dan pencapaian bagi tahun 2023.

Bagi mengarusperdanakan sains dan teknologi nuklear, BPM dengan kerjasama Jawatankuasa Pengurusan Pengetahuan (JKKM) Nuklear Malaysia akan berusaha menerbitkan pelbagai bahan penerbitan berbentuk akademik, teknikal mahupun penerbitan umum yang mudah difahami oleh pelbagai lapisan masyarakat.

“Saya menyeru semua warga Nuklear Malaysia, khususnya Pegawai Penyelidik menyokong usaha ini dan menulis pelbagai bahan penerbitan yang juga merupakan satu daripada output aktiviti penyelidikan dan pembangunan agensi” ujar Dr. Rosli Darmawan.

Sebagai rekod, kejayaan penghasilan buku ini merupakan susulan daripada usaha peserta yang terlibat dalam Bengkel Pembangunan Laporan Pengurusan Pengetahuan 2023 dan Bengkel Pemurnian Laporan Pengurusan Pengetahuan 2024.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi